Isnin, Mac 31, 2014

Misi 2 serampang - Membawa Johan dan HIKMAH ke Aceh

Salam semua. Sukacita dimaklumkan saya dan keluarga baru sahaja kembali semalam dari satu perjalanan 8 hari 7 malam di Aceh. Kalau ikutkan saya masih amat kepenatan untuk melakar apa-apa cerita. Namun disebabkan tarikh hari ini 31/3 istimewa, ada faktor 313 maka biarlah diberikan sedikit perasa.





Tujuan asal perjalanan ini dibuat adalah untuk membawa anak kecil kami Muhammad Alauddin Johan menjejaki makam pengasas kerajaan Samudera dan Pasai, Sultan Malikus Saleh. Sebagai ingatan baginda juga turut dikenali sebagai Raja Merah Silu (ya... saya menumpang berkat nama besar itu). Ketika kami kali terakhir ke sana tahun 2011, isteri saya sedang mengandungkan Johan 6 bulan. Lihat .Koleksi "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'". Johan lahir Februari 2012 lalu dibawa berjalan keliling Pulau Jawa ketika baru berumur 2 setengah tahun. Lihat Koleksi artikel "Pusing Pulau Jawa"

Tahun lepas iaitu 2013, anak kecil ini dibawa ke Tanah Bugis. Lihat Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - The compilation. Maka itu eloklah Johan dibawa ke Aceh pula nanti..Lagipun sudah sampai masanya gambar saya, isteri dan abang si Johan, Muhammad al-Aminul Rasyid yang menghiasi bahagian atas blogspot ini sejak sekian lama digantikan dengan gambar yang mengandungi Johan sekali. Sudah sampai masanya gambar penghias blogspot menjadi lebih lengkap memaparkan kami sekeluarga.



CATATAN SI MERAH SILU

Peluang muncul apabila terdapat satu promosi tiket tambang murah penerbangan Air Asia ke Aceh yang amat memberangsangkan. Maka tiket pun dibeli seawal setengah tahun lalu, cuma menunggu masa untuk membuat lawatan. Apabila ada kawan-kawan kami dari Aceh datang bertandang ke Kuala Lumpur penghujung 2013 lepas pula muncul cadangan untuk mengadakan acara HIKMAH di Aceh. Lihat Faktor Aceh di majlis guru seni bela diri Malaysia - Mat Kilau adalah orang sana! dan Membawa kawan-kawan Aceh ke Melaka - Antara Pidie dan PD. Maka satu tarikh yang sesuai ketika kami dijadualkan berada di sana penghujung Mac 2014 pun dicadangkan.



Alhamdulillah, acara ke-10 HIKMAH pun dapat diadakan di Aceh dengan penuh gemilang 2 hari lepas. Sedikit cerita awal telah diletakkan di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Lihat HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda sukses.... Dengan itu satu siri penceritaan berkaitan akan dibuat di blogspot ini apabila ada kelapangan dan cukup hilang penat. Rasanya tajuk "Misi 2 serampang" agak sesuai kerana perjalanan dibuat untuk membawa Johan ke makam Sultan Malikus Saleh dan acara HIKMAH ke Aceh.

Oh... perjalanan ini terlebih istimewa kerana turut disertai ibu dan ayah saya. Apabila mendapat tahu saya mahu ke Aceh lagi (ini adalah kali ke-6 saya ke sana, kali ke-5 bersama isteri), mereka menyatakan hasrat mahu turut serta. Perkara ini diulangi lagi sekitar 2 bulan lalu. Saya pun menempah tiket untuk mereka. Sungguh berkat perjalanan kali ini kerana pertalian darah saya dengan Aceh juga dengan Sultan Malikus Saleh itu adalah melalui ayah. Dan ada kemungkinan ibu turut memiliki titisan darah ini, melalui satu cabang yang berkembang di Tanah Bugis...
.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan