Rabu, Disember 03, 2014

Misi Sungai Batu Pahat - Bukit Pasir mengapit sungai, faktor 131 pada penghujung perjalanan pula...

Setelah berjam-jam masih berlegar-legar di Muar baru penceritaan masuk ke daerah Batu Pahat. Bersambung daripada Misi Sungai Batu Pahat - Faktor 131 di Tanjung Tohor.


Jam menunjukkan pukul 2.37 petang. Masih ada beberapa kilometer untuk sampai ke bandar Batu Pahat dan sekurang-kurangnya 2 tempat mahu disinggahi sebelum masuk bandar.



Nampak simpang masuk Bagan saya pun mengambilnya.



Kononnya dengan mengambil simpang itu saya akan sampai ke jeti lama feri ke menyeberangi Sungai Batu Pahat. Rupa-rupanya tersilap. Simpang yang boleh membawa ke sungai masih jauh. Namun ada hikmahnya tersilap mengambil jalan, terjumpa pula masjid ini.



Selain binaan yang agak menarik mungkin ada sesuatu yang lebih istimewa tetapi tidak nyata. Yang pasti saya deja vu pernah melihat masjid dan kolam sekelilingnya. Sedangkan sudah berbulan-bulan rasanya saya tak deja vu. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Parit Abdul Salam, Bagan, Batu Pahat dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Kembali ke jalan besar menghala ke bandar Batu Pahat, tanda kita sudah cukup dekat adalah apabila dapat melihat bukit yang dipanggil Gunung Soga.


Ke hadapan sedikit baru terjumpa simpang yang boleh membawa ke jeti feri lama. Rupa-rupanya ia bukan di Bagan tetapi di Peserai. Lihat artikel Batu Pahat river from the old northern ferry jetty dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Tempat seterusnya untuk mengambil gambar sungai adalah daripada jambatan utama yang membawa ke bandar. Saya sampai ketika hujan lebat sedang 'mengejar'! Semasa mengambil gambar ke hulu jambatan belum hujan. Tetapi tak lama kemudian kedengaran bunyi hujan seperti meraung menerpa. Bila mengambil gambar ke hilir dah kena hujan teruk. Lihat Chased by the rain on the Batu Pahat bridge.


Akibatnya saya basah lokos (dah lama tak guna perkataan lokos ni, maksudnya basah kuyup). Tapi saya buat tak kisah je sambil menikmati sepinggan nasi beriyani gam ayam. Nak makan kambing tapi dah habis...


Pekena pula sirap bandung soda. Memang best! Harga pun murah. Nasi beriyani gam ayam RM6, sirap bandung soda RM2. Kalau kat KL mahu habis RM16 ke atas...


Sekitar 3.50 petang baru saya bergerak. Hujan dah tak lebat, sekadar renyai-renyai.


Masuk ke bandar Batu Pahat. Lihat A quick look at the old parts of Batu Pahat town.


Ambil lagi gambar Sungai Batu Pahat. Mula-mula di jeti Jabatan Laut. Lihat Batu Pahat river from the Jabatan Laut jetty.


Kemudian di jeti lama sebelah bandar. Lihat The old southern ferry jetty of Batu Pahat.


Ketika mencari jalan keluar menghala ke barat terlihat surau ini. Saya pun singgah. Lihat Surau Arab Batu Pahat.


Saya ke barat untuk ke Pantai Minyak Beku.


Laluan ke sana berliku-liku kerana melalui lereng bukit-bukau yang bersambung dengan Gunung Banang...


Singgah di terminal feri Minyak Beku untuk melihat pemandangan Sungai Batu Pahat daripada sini. Lihat Views from the Minyak Beku ferry terminal.


Kemudian berkejar ke penghujung Pantai Minyak Beku. Ada bukit kecil mahu didaki.



Saya ke situ kerana mahu mencari makam-makam lama yang katanya menghadap perairan Pulau Sialu. Saya diberitahu ia terletak di belakang pokok besar ini. Lihat Makam-makam lama Minyak Beku berhadapan Pulau Sialu (Old tombs at Minyak Beku facing the Sialu island)?.


Kami sampai ke pokok besar tadi jam 5 petang. 15 minit kemudian kami pun keluar kerana masih ada beberapa tempat mahu disinggahi. Oh, ketika ini Rasyid ikut sama. Kami berjalan berdua aje panjat bukit dan masuk hutan, ketika hujan renyai-renyai. Semasa makan nasi beriyani tadi anak berumur 5 tahun ini sedang nyenyak tidur dalam kereta.


Selesai hal di Minyak Beku baru saya boleh meninggalkan bandar Batu Pahat untuk kembali ke Muar melalui satu jalan pendalaman. Jalan tersebut dipilih kerana mahu mengambil gambar dua buah sungai utama yang membentuk Sungai Batu Pahat. Dalam perjalanan kelihatan masjid ini. Kebetulan saya perlu bersolat selain melegakan perut. Singgahlah sebentar. Lihat Masjid jamek (Main mosque of) Bukit Pasir, Batu Pahat.


Perjalanan melalui jalan pendalaman disambung. Sekitar 1.5 km sebelum sampai ke pekan Tongkang Pechah kelihatan Sungai Simpang Kanan, satu daripada dua sungai utama yang membentuk Sungai Batu Pahat. Lihat Simpang Kanan river near Tongkang Pechah.


Di Parit Sulong pula terdapat Sungai Simpang Kiri. Nampak dah apa kaitan kiri dan kanan? Boleh lihat dalam peta aliran Sungai Batu Pahat yang berpecah dua. Yang ke kanan itu dipanggil Sungai Simpang Kanan, yang ke kiri tak payahlah cerita. Lihat Simpang Kiri river from the bridge of Parit Sulong.


Ini pula pemandangan Sungai Simpang Kiri dari pekan Parit Sulong. Lihat The esplanade at Parit Sulong. Ketika gambar ini diambil sudah jam 6.49 petang. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya misi mahu mengambil gambar Sungai Batu Pahat daripada beberapa tempat yang sesuai telah selesai.


Dengan itu bolehlah kembali ke rumah ibu bapa di Muar dengan senang hati. Tapi saya mengambil jalan ke Pagoh untuk menziarahi makam Sultan Alauddin (Melaka) di Kampung Raja dan bersolat di masjid sana. Laluan kembali ke rumah ibu bapa dari Pagoh membawa ke pekan Bukit Pasir, Muar. Tadi ada Bukit Pasir, Batu Pahat bukan? Saya pun mengambil gambar masjid itu. Lihat Masjid jamek (Main mosque of) Bukit Pasir, Muar.

Adapun 14 artikel sokongan harus dibuat untuk melicinkan penceritaan dalam artikel ini. 9 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH, 5 di  SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Artikel dibuat menurut kronologi atau aturan masa. Kebetulan artikel ke-9 keseluruhan adalah tentang makam di Minyak Beku. Tinggal 5 berkenaan tempat-tempat yang disinggahi dalam perjalanan balik ke Muar dari Batu Pahat.

Daripada 5 itu, pertama adalah tentang masjid di Bukit Pasir, Batu Pahat. Ini diikuti 3 tentang sungai kemudian satu tentang masjid Bukit Pasir tetapi di daerah Muar. Nah. Ini membentuk faktor 1-3-1 iaitu 1 di Bukit Pasir, 3 di sungai, 1 di Bukit Pasir. Apa maknanya ya? :]

Oh. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke 1,262 di blogspot ini. Nombor ini mengingatkan pada tahun pengasasan Melaka (Masihi) menurut kiraan baru yang diumumkan oleh kerajaan Melaka sekitar tahun 2010, kiraan yang dibuat berdasarkan maklumat daripada kitab Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan