Rabu, November 19, 2014

Seminar Kesultanan Selangor dalam Arus Sejarah Malaysia - Tentang Raja Musa yang diketepikan

Salam. Biar dipersembahkan cerita dari majlis ilmu semalam...



Pagi Selasa 18 November saya bergegas ke Shah Alam.


Terus ke Muzium Sultan Alam Shah, ada majlis "Seminar Kesultanan Selangor dalam Arus Sejarah Malaysia".


Nampaknya ini kereta VVIP yang dijemput ke majlis.





Masuk ke dalam kelihatan orang membuat jualan buku.


Saya sampai lewat, masuk ke dewan seminar  jam 10.45. Kelihatan Dr Mardiana Nordin daripada Universiti Malaya sedang membentang kertas kerja bertajuk "Kesultanan Selangor dalam Naskah-naskah Melayu".


Kelihatan dewan dipenuhi orang. Pendaftaran bermula 8 pagi sebelum acara dibuka jam 9 dengan ucapan-ucapan dan sebagainya, jam 10.30 baru bermula pembentangan, kalau ikut atur acara dengan kertas kerja pertama oleh Profesor Dato' Dr Abdullah Zakaria Ghazali, juga dari UM.





Nampaknya ada pertukaran pada saat akhir. Dr Mardiana yang sepatutnya membentang selepas Prof Abdullah pula menjadi pembentang pertama.


Tepat menurut tajuk, cerita dan perenggan daripada sejumlah kitab lama Melayu seperti Sulalatus Salatin dan Tuhfat al-Nafis yang ada menyebut tentang Selangor atau tempat-tempat di dalam negeri itu dipetik untuk tatapan umum.








Selepas jam 11 pembentangan kedua dibuat oleh Yang Mulia Tengku Aman Shah Tengku Akram Shah, seorang ahli kerabat diraja Selangor yang aktif bersama Persatuan Sejarah Malaysia cawangan negeri itu.





Ikut atur cara beliau akan berkongsi foto-foto lama sultan dan kerabat diraja daripada koleksi keluarga jam 2.30 petang. Tetapi pertukaran saat akhir meletakkan Tengku Aman sebagai pembentang kedua. 


Ternyata ia pembentangan menarik kerana beliau dapat berkongsi perkara-perkara yang selama ini tidak diketahui umum waima oleh cendekiawan dan profesor ternama sekalipun. Ini kerana kedudukan sebagai cucunda Sultan Alaeddin Sulaiman Shah, sultan ke-5 Selangor memberikan kelebihan untuk mendapat berita dalaman istana termasuk dari sultan. Paling menarik adalah apabila menceritakan nasib bapa saudara beliau, Raja Musa yang disisihkan oleh British. Penjajah Barat itu mahu adinda Raja Musa naik menjadi sultan seterusnya iaitu Sultan Hisamuddin Alam Shah. Raja Musa dituduh kurang pandai dan sebagainya lalu tidak boleh mentadbir negeri. Walhal hakikat sebenarnya adalah baginda lebih arif keadaan negeri lalu tidak mahu tunduk kepada desakan British yang secara efektif mentadbir negeri walaupun mengaku sebagai penasihat sahaja.


Pengerusi sesi Dr Muhd Yusuf Ibrahim kemudian memperkenalkan Prof Abdullah Zakaria sebagai pembentang ketiga.


Tanpa menggunakan slaid mahupun apa-apa bentuk bacaan/rujukan beliau membuka sejarah Kesultanan Selangor seawal 1743 membawa kepada pertabalan sultan pertama, Sultan Salehuddin yang nama asalnya Raja Lumu ibni Daeng Chelak 1766. Setiap fasa kesultanan dikupas agak panjang lebar sehingga Selangor masuk menjadi anggota Persekutuan Tanah Melayu 1948 lalu mendapat kemerdekaan bersama negeri-negeri Melayu lain 1957.


Menyambut pendedahan eksklusif daripada Tengku Aman, Prof Abdullah turut bercakap panjang lebar tentang nasib Raja Musa yang sempat dinaikkan menjadi Sultan Musa Ghiatuddin oleh Jepun, Ini berlaku apabila mereka mengalahkan British lalu memerintah 1942-1945. Kekalahan Jepun selepas bandar raya Hiroshima dan Nagasaki dihancurkan oleh bom atom Amerika Syarikat, satu tindakan ganas yang secara efektifnya menamatkan Perang Dunia Kedua memberi jalan untuk British kembali ke Tanah Melayu. Sultan Musa pun diturunkan lalu digantikan kembali oleh adindanya Sultan Hisamudin Alam Shah.

Sebenarnya ayahanda mereka, Sultan Alaeddin Sulaiman sejak dari awal mahukan Raja Musa, anakanda sulungnya sebagai pengganti. Malah baginda pernah memujuk British agar menerima dua sahaja orang anak daripada begitu ramai anak (36 orang kalau tak salah) sebagai bakal sultan, Raja Musa atau seorang adindanya Raja Badar. Tetapi atas sebab tertentu British beriya-iya mahukan Sultan Hisamudin memegang takhta. Prof Abdullah memberitahu Raja Musa pernah melempang muka residen British, T S Adams. Mungkin susulan daripada itu Orang Putih ini berusaha bersungguh-sungguh memberikan laporan tidak baik kepada pegawai atasannya agar Raja Musa tidak dapat naik menjadi sultan.


Apabila British kembali, Raja Musa malah dibuang negeri ke Pulau Cocos di Lautan Hindi. Setelah beberapa lama baru dapat kembali ke Selangor sebelum mangkat 1955. Prof Abdullah sempat mengulas tentang cerita Tengku Aman bahawa, sebelum mangkat 1960 Sultan Hisamuddin berpesan kepada mereka yang ada supaya "Pulangkanlah...". Pulangkan apa, beliau tidak menyatakan dengan tepat tetapi semua harus faham. Untuk pengetahuan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor pernah digubal sebegitu rupa sehingga hanya zuriat keturunan Sultan Hisamuddin sahaja dibenarkan menjadi sultan.


Sesi soal jawab.








Beberapa orang termasuk saya berpeluang bertanyakan soalan. Tapi tak payahlah dipanjangkan ya. Cukuplah gambar-gambar menunjukkan keadaan.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan