Jumaat, September 19, 2014

Forum Keindahan Sistem Kesultanan Alam Melayu-Nusantara : Nostalgia HaRUM dan acara pertama HIKMAH di Shah Alam 2 tahun lalu

Ini baru siap dibuat di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) tadi. Terasa elok dikongsikan di sini...


-------------------


Salam malam Jumaat. Kita masuk bab majlis ilmu...


Malam semalam 17 September saya dan isteri pergi ke Menara HPAIC di Shah Alam.


Kami mahu menghadiri majlis yang dipanggil "Forum Keindahan Sistem Kesultanan Alam Melayu-Nusantara". Selain tajuk dan senarai panelis saya tertarik kerana tertera nama HaRUM sebagai salah satu badan yang menganjurkan. Ini kerana saya sudah lama tidak mendengar nama itu muncul di mana-mana. Pada awal 2012 nama yang merupakan singkatan bagi Himpunan Kekeluargaan Rumpun Nusantara itu tiba-tiba muncul untuk menganjurkan sebuah majlis mengangkat agama Islam yang sangat besar, dihadiri ribuan golongan agamawan yang berkampung 3 hari 2 malam di Masjid Negeri, Shah Alam. Lihat artikel lama Meh ke Himpunan Kekeluargaan Rumpun Nusantara (Harum) 2012 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU


Ketika itu saya sudah pernah menghadiri beberapa acara besar keagamaan seperti hol almarhum Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani juga majlis maulud dan zikir yang dihadiri ribuan malah berpuluh ribu orang. Setiap acara dianjurkan oleh organisasi besar yang sedia diketahui ramai, sekurang-kurangnya oleh mereka yang biasa menghadiri majlis-majlis melibatkan para ulamak. Ada antaranya memiliki jaringan perhubungan di seluruh dunia. 

Jadi tidak menghairankan jika mereka mampu membuat majlis gah. Cuma saya bukan pengikut tegar jadi tidaklah saya hafal nama-nama ulamak yang sentiasa bermain pada bibir mereka yang rajin mengikuti pengajian kecuali beberapa orang. Pun begitu saya tahu beberapa organisasi yang biasa mengadakan acara besar apa lagi ada kawan-kawan yang terikat dengan mereka. Tetapi nama HaRum baru saya dengar ketika itu. Entah datang dari mana, siapa yang menerajuinya, tiba-tiba dapat menganjurkan majlis sangat besar yang setakat itu saya ketahui cuma pernah dibuat oleh 2-3 sahaja organisasi bertaraf antarabangsa. 
.


Cerita di sebalik kemunculan HaRUM, cerita yang ada keajaibannya yang tersendiri saya dapat tahu tidak lama selepas itu. Adapun nama badan ini segar dalam kenangan kerana dengan ihsan merekalah saya pertama kali dapat merasa bercakap atau berceramah di hadapan khalayak ramai dalam dewan solat Masjid Negeri Shah Alam, masjid yang tercatat memiliki menara azan tertinggi di dunia juga kubah paling besar. Di bawah kubah gergasi itu saya pertama kali berkongsi pengalaman sebenar hidup yang membawa kepada penulisan siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" di hadapan ramai golongan agamawan. Apa yang berlaku berserta rakaman video telah diabadikan dalam artikel lama Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh.


Kenangan bersama HaRUM itu merupakan salah satu sebab HIKMAH yang diasaskan saya boleh muncul 12 Oktober 2012 juga mendapat nama. Ini telah diceritakan panjang lebar dalam artikel pertama dibuat tentang HIKMAH, artikel yang muncul beberapa jam selepas ia mendapat nama lalu diwar-warkan di Internet melalui Facebook. Lihat Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Sekarang kembalilah kita kepada forum di Shah Alam semalam. Dewan atau ruang besar bersiling rendah beralas karpet, orang masuk meninggalkan kasut di luar, hadirin datang dari pelbagai lapisan masyarakat, aktivis, agamawan, cendekiawan, dipercayai ada sejumlah yang berpangkat, kerabat diraja dan sebagainya...


Ruang perniagaan disediakan untuk memperagakan pelbagai jenis barangan, suasana santai hadirin datang berwarna-warni pelbagai pakaian tetapi secara rata menggambarkan diri yang Melayu lagi Islam, ini semua pernah saya lihat hampir serupa 2 tahun lalu.


Beginilah keadaan acara pertama HIKMAH. Kalau tak percaya sila lihat gambar-gambar, cerita dan video melalui artikel kompilasi Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012. Bezanya di sini lebih banyak kerusi (HIKMAH pertama menyediakan lebih banyak ruang untuk duduk bersila), tidak ada tiang besar mengganggu pandangan ke pentas dan tidak ada show nasyid/lagu keagamaan.








Mungkin persamaan yang menerbitkan nostalgia ini berlaku kerana HaRUM terlibat sebagai salah satu penganjur. Seperti diakui dalam artikel Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH), penyertaan saya dalam HaRUM pada April 2012 adalah antara faktor yang membawa kepada HIKMAH mendapat nama.


Selain itu dua lagi badan yang menganjur, AKAR (Akademi Kajian Rumpun Nusantara) dan KEMUDI (Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam) juga ada kena mengena. Saya diberi tahu bahawa AKAR wujud sebagai satu pecahan atau spin-off dari HaRUM sedangkan KEMUDI pula diasaskan sejurus selepas pengasasnya Tun Suzana merasa membentang bersama HIKMAH awal tahun lepas, sekembalinya beliau dari 2-3 tahun menuntut ilmu agama di Hadramaut, Yaman. Lihat Acara ketiga HIKMAH di Marina Hall, Lumut 27 Jan 2013.


Isi pembentangan juga ada persamaan sebenarnya walaupun mengambil pendekatan yang berbeza. Ini disebabkan kami semua mahu mendaulatkan Melayu dan Islam lalu mendokong kuat institusi beraja sebagai rantaian untuk mewujudkan kembali kekhalifahan yang boleh membela umat Islam sejagat. Jika forum ini memiliki pensyarah atau felo dalam bidang undang-undang untuk menyatakan hak-hak raja di dalam perlembagaan, kami pada HIKMAH I pula telah mendapatkan seorang peguam berpengaruh di selatan tanah air untuk menyentul hal sama. Jika forum ada seorang pemimpin tariqat bercakap tentang akhlak raja, kami juga pernah mendapatkan seorang sheikh untuk bercakap tentang peranan Melayu akhir zaman. Pendek kata terdapat begitu banyak persamaan yang membuat saya tersenyum dan rasa nostalgik sepanjang acara. Perkongsian ilmu pada forum akan diulas dalam artikel sambungan. Tunggu... :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan