Isnin, April 29, 2013

Ziarah dan umrah 2013 - Nyaris jadi mutawif sebelum dapat membawa isteri berjalan


Kemudian saya harus berjalan lagi 850 meter untuk kembali ke hotel di mana berlaku pula satu hal yang akan diceritakan pada artikel akan datang, satu hal yang menyebabkan saya hampir-hampir mengambil-alih tugas penuh seorang mutawif... :]

Sekarang cerita akan masuk hari ke-2 berada di Madinah. Di celah-celah itu akan diceritakan apa yang dimaksudkan dengan ayat atas di mana saya hampir mengambil-alih tugas seorang mutawif.


Pagi Khamis 4 April 2013, dua buah bas sudah sedia menunggu untuk membawa jemaah kami berjalan-jalan melihat tempat-tempat menarik di luar pusat kota Madinah.


Sebelum itu kami hampir-hampir tidak keluar berziarah. Kami diberitahu oleh seorang ustazah yang menjadi mutawif bagi satu kumpulan yang mengambil penerbangan lain Kuala Lumpur ke Jeddah 1 April tetapi melalui agensi yang sama bahawa setahunya belum sampai masa untuk kami menaiki bas membuat ziarah kerana kumpulan kami sampai lambat satu hari. Rujuk balik cerita pada artikel Ziarah dan umrah 2013 - 'Menjakunkan' diri di KLIA dan dugaan 1 April diikuti Ziarah dan umrah 2013 - Sampai Jeddah setelah lebih 26 jam tertunda.... Sekarang baru saya boleh bercerita bagaimana saya nyaris-nyaris mengambil-alih kerja-kerja mutawif.


Selepas sehari suntuk berjalan ke merata tempat bersendirian mengambil gambar macam-macam hari Rabu saya kembali ke hotel lewat malam. Datang isteri mencari saya lalu mengadu sudah berlaku satu masalah siang itu. Seorang ahli jemaah perempuan telah jatuh tergelincir lalu patah tangan di Masjid Nabawi. Tetapi katanya tidak ada mutawif mahupun wakil agensi yang dapat menolong mahupun bertindak. 

Keadaan ini menyebabkan isteri tidak dapat mengikuti rombongan wanita masuk ke Raudhah. Seorang ahli jemaah perempuan yang rapat dengan orang yang tercedera pula terpaksa mengambil inisiatif menghantarnya ke hospital memastikan dia mendapat bantuan. Apabila saya dan isteri bertemu dengannya di hotel dia mengadu bagaimana orang yang sepatutnya menjadi mutawif seperti menolak tanggungjawab.

Hmm. Rasa berat pula nak cerita butirannya. Kalau boleh saya mahu ia dilepaskan dari dada tanpa terlalu memperlihatkan kelemahan pihak yang sepatutnya bertanggungjawab. Cukuplah dikatakan, pada malam itu baru kami tahu jemaah kami 79 orang sebenarnya tidak memiliki mutawif yang benar-benar menjaga rombongan. Sebaliknya apa yang kami ada adalah seorang haji yang cuma bertanggungjawab membawa dan menjaga jemaah belasan orang dari Kelantan sambil diminta 'menengok-nengokkan' yang lain.

Perkara ini tidak susah kalau tidak timbul masalah. Tetapi setelah berlaku peristiwa penerbangan tertunda di mana beberapa orang ahli jemaah termasuk saya harus mengambil inisiatif sendiri memastikan keselesaan kumpulan (rujuk Ziarah dan umrah 2013 - 'Menjakunkan' diri di KLIA dan dugaan 1 April) kami mula ragu-ragu akan kepimpinan orang yang katanya menjaga jemaah kami. Perkara jadi lebih rumit apabila timbul masalah jemaah patah tangan. Ketika menilai keadaan itulah baru kami sedar kedudukan sebenar kami tidak memiliki mutawif sepenuh masa untuk menjaga jemaah.

Sambil itu kami dapat tahu ada ustazah menjaga jemaah penerbangan lain tapi dari agensi kami juga lalu bertemu dia lewat malam bertanyakan pendapat. Kemudian kami sama-sama  berjumpa haji tadi lalu berlaku peristiwa beliau mengaku bahawa beliau sebenarnya cuma menjaga belasan orang dari Kelantan. Apabila ditanya sanggupkah beliau terus mengendalikan jemaah keseluruhan melihatkan masalah demi masalah yang timbul beliau menyatakan tidak. Sejurus itu ustazah yang memang bekerja dengan agensi mencadangkan saya mengambil-alih tugas lalu buku hitam tugasan pun diserahkan kepada saya.

Di atas adalah gambar isteri saya bersama sejumlah ahli jemaah di hadapan Masjid Quba, masjid pertama didirikan sebaik sahaja Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Quba di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Malam itu saya termenung panjang cuba melelapkan mata. Saya terfikir apakah siang Rabu hingga malam saya diberi peluang mengambil gambar merata tempat sehingga puas kerana ada tugasan perlu digalas? Apakah saya ditakdirkan harus menjaga jemaah? Saya bukan tahu pun cakap Arab namun boleh meminta pertolongan mereka yang tahu. Kata ustazah saya cuma perlu menghubungi dan memastikan kelancaran program bersama mutawif di Madinah kemudian mutawif di Mekah. Saya harus memastikan kebajikan jemaah, paspot semua orang harus dipegang selepas check-out dari hotel, jaga dalam perjalanan Madinah ke Mekah kemudian Mekah ke Jeddah apabila mahu kembali ke tanah air.

Uish. Banyak tugas ni. Saya tak pernah buat kerja ni. Apakah ini ujian setelah saya berjaya melaksanakan 4 kali acara HIKMAH dalam tempoh 5 bulan? Sambil itu saya harus memikirkan hal ahli jemaah yang patah tangan dan masuk hospital. Bagaimana dia nanti? Apakah yang perlu saya buat dan aturkan? Saya tidur dalam keadaan berdoa agar Allah SWT tunjukkan dalam mimpi bagaimana saya mahu menangani ini.

Di atas adalah gambar orang berniaga di hadapan Masjid Qubah. Saya teringat tahun 2005 pertama kali membeli tasbih di sekitar ini lalu digunakan untuk berzikir sambil menghilangkan rasa marah dan resah. Lihat artikel lama Umrah 2005 - Madinah. Antara makam Rasulullah, persoalan antara Nur dengan bekas isteri juga anak, dan gatal melihat perempuan....


Awal pagi Khamis saya bangun tanpa mendapat apa-apa mimpi ataupun ilham bagaimana mahu mengatur perkara. Ketika bersarapan pagi jumpa lagi ustazah. Ketika itu jemaah kami tidak tahu apakah program seterusnya, apakah ada ziarah kerana tidak terpampang atau tertulis program di mana-mana. Saya cuma diminta ustazah agar menelefon mutawif Madinah tapi tak diangkat. Apapun saya memanggil jemaah lain untuk mendapatkan perhatian. Ustazah pun mengumumkan saya diberi tugas sebagai mutawif baru dan beberapa orang ahli jemaah bersetuju untuk membantu.

Di atas adalah gambar di dataran Uhud, menghadap banjaran bukit besar (ke gunung?) yang dikenali sebagai Jabal Uhud. Di sinilah berlakunya Perang Uhud yang menyebabkan ramai orang Islam termasuk bapa saudara Nabi, Saidina Hamzah mati syahid. Lihat artikel Tapak perang Uhud (Site of the battle of Uhud).


Selepas pengumuman pengambil-alihan tugas dibuat saya meminta ustazah menerangkan lagi tugas-tugas saya, kali ini sambil diperhatikan ramai ahli jemaah. Sambil saya memujuk diri untuk menerima tugasan saya sebenarnya ada rasa tak puas hati. Walaupun saya menganggap ini mungkin tanggungjawab yang diberi oleh Allah, ada beberapa perkara disebut ustazah tentang masalah yang dihadapi jemaah kami sebenarnya menyinggung perasaan beberapa orang. Sambil bercakap gaya orang motivasi beliau seperti menyalahkan kami. Bayangkan boleh sebut begini... ada orang niat tak betul, ada orang tak solat taubat, sebab tu timbul masalah.

Selepas itu ada yang berkongsi rasa tidak puas hati kepada saya. Agensi tidak dapat menyelesaikan masalah sekarang jemaah pula yang dipersalahkan dan disuruh menggalas tugas. Ah. Nampaknya kalau terus begini nanti saya juga akan dipersalahkan jika timbul apa-apa masalah baru nanti. Saya terlihat isteri mula menangis dalam diam duduk keseorangan. 

Sepatutnya hari Khamis ini mahu digunakan untuk membawa beliau berjalan-jalan ke tempat-tempat yang pernah saya jejaki. Kalau dah diberi tugasan begini bagaimana saya mahu memberi perhatian kepada isteri? Malah perhatian pada ibadah pun boleh terganggu. Saya bukan mutawif atau dilatih sebegitu. Saya datang ke Tanah Suci meninggalkan selonggok masalah di tanah air yang mahu ditangani kemudian, harapnya dengan berkat ketenangan ziarah di Madinah dan umrah di Mekah. Kini saya telah dilonggokkan masalah dalam keadaan yang orang lain lihat dan nampak agensi seperti melepaskan tangan. Kalau begitu apakah saya sebenarnya diberi tugasan atau telah dibodohkan?



Melihat isteri mula menangis terisak-isak saya mula naik angin. Ini adalah kali pertama isteri sampai ke Tanah Suci, dengan niat untuk melepaskan nazar selain beribadah. Nampaknya ketenangan kami suami isteri sudah terganggu dengan hal ini. Saya naik angin lalu mencampakkan buku hitam tugasan ke hadapan ustazah. Saya tidak peduli lagi, saya tidak mahu terima tugasan ini. Pandai-pandailah ustazah dan pihak agensi menyelesaikan masalah dan melancarkan apa yang patut. Ini bukan tugas saya. Untuk hari ini saya sudah berjanji untuk membawa isteri berjalan-jalan setelah hari sebelumnya saya berjalan sendiri.

Di atas adalah gambar di hadapan puncak sebuah bukit kecil di mana Rasulullah SAW telah meletakkan pasukan pemanah dalam Perang Uhud. Lihat artikel Views from the archer's hill at Uhud di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Ustazah mengambil buku sambil tersenyum kemudian meminta diri. Katanya dia perlu menguruskan jemaahnya pula. Kemudian baru saya diberitahu beliau telah kembali ke bilik dan menangis dahulu. Maaf ustazah kerana saya telah berkasar. Namun saya harus jujur dengan perasaan dan menjaga hati isteri yang disayangi.

Sekonyong-konyong itu terasa lepas beban yang besar di dada. Tentang kelancaran dan keselesaan jemaah nanti kan agensi ada? Lagipun kami semua kan tetamu Allah dan Rasul. Tahulah Tuhan sekalian alam dan kekasihNya mengatur perkara. 

Sedang kami termangu-mangu tak tahu apa nak dibuat seterusnya, ada yang sudah fikir nak keluar shopping dan sebagainya, ada kawan kami memberitahu bas sudah sedia membawa jemaah untuk berjalan. Kalau ikut cakap ustazah tadi esoknya baru ada. Di atas adalah gambar di hadapan kawasan pemakaman syuhada Perang Uhud. Lihat Makam Saidina Hamzah dan para syuhada Uhud (Tomb of Saidina Hamzah and the martyrs of Uhud).


Di hadapan pemakaman ada papan tanda dengan isi yang serupa seperti di tanah perkuburan Baqi' di sebelah Masjid Nabawi. Nampaknya kerajaan Arab Saudi ni takut sangat orang menyembah kubur kalau diberi peluang melihat lebih dekat. Jangankan itu... naik Jabal Uhud mahupun bukit kecil tempat pemanah pun sampai perlu tulis tidak digalakkan. Apalah yang risau sangat kalau orang nak lihat keadaan dengan mata kepala sendiri ikut jejak Rasulullah SAW?


Dari Uhud kami ke sebuah kebun kurma berdekatan yang ada gudang menjual kurma. Shopping sakan le orang ramai. Lihat Shopping for dates at a plantation.


Selepas itu bas membawa kami kembali ke hotel. Saya dan isteri tak masuk pun hotel. Sebaliknya saya terus mengajaknya mengikuti jejak yang saya buat hari Rabu... terus ke Masjid Imam Bukhari kemudian ke Masjid Abu Dzar (rujuk  Ziarah dan umrah 2013 - Masjid Nabawi, Raudhah dan tempat-tempat menarik di sekeliling). Kemudian kami makan di kedai kebab berdekatan dan minum air buah.


Adapun semasa kembali dari ladang kurma tadi bas ada lalu di sebuah masjid yang menarik tapi tak singgah kerana katanya sudah kesuntukan masa. Dalam program asal kami ada disebut sepatutnya kami singgah. Sebaliknya kami diberitahu kalau nak boleh naik teksi atau pengangkutan awam lain.


Saya dan isteri pun pergi bersama. Memang saya ada berjanji akan membawanya ke sini kerana ia adalah salah satu tempat bersejarah paling penting di Madinah. Lihat Masjid (Mosque of) Qiblatain.


Ketika membuat u-turn untuk ke Masjid Qiblatain saya ada terlihat sebuah masjid kecil dalam kawasan bernama Ber Othman (atau Bir Othman). Kata pemandu teksi ini kerana di sekitarnya pernah terdapat telaga yang digali Saidina Uthman. Selepas puas melihat Masjid Qiblatain saya pun berjalan kaki sekitar 450 meter ke sana. Isteri menunggu di taman sebelah Masjid Qiblatain. Lihat Masjid kecil di (Small mosque at) Bir Othman.


Kami mendapatkan teksi lain untuk terus ke Masjid Nabawi. Kelihatan dalam gambar Masjid Tujuh (katanya dulu memang ada 7 buah masjid berdekatan) tapi rasanya tak sempat nak singgah.


Sampai ke Masjid Nabawi saya sempat bersolat jemaah Zuhur tapi di perkarangan. Ketika ini isteri telah pergi ke kawasan solat perempuan.


Selepas solat saya menuju ke pintu Babussalam lalu terlihat hamparan permaidani yang nyaman di luar. Sempatlah berbaring malah terlelap sebentar.


Masuk masjid saya berbaring dan terlelap lagi. Selepas itu saya berjalan-jalan ke beberapa tempat di dalam sebelum solat Asar berjemaah.


Selesai solat saya keluar dari pintu besar ke utara.


Dari situ kita boleh melihat bukit besar yang dipanggil Jabal Uhud. Melihat bukit ini (saya harus memadankan gambar-gambar dan melihat kedudukan di Google Earth sebelum pasti inilah Jabal Uhud dilihat dari Masjid Nabawi), baru saya faham kenapa Rasululah SAW banyak menggunakan Jabal Uhud sebagai perumpamaan, kalau tak salah ingatan, "Dosa sebesar Jabal Uhud", "Emas sebesar Jabal Uhud". Kerana ia memang banjaran gunung/bukit terbesar yang boleh dilihat dari sini.


Isteri telah berjanji untuk berjumpa di pintu nombor 16 di perkarangan Masjid Nabawi selepas Asar, pintu yang boleh membawa kami berjalan lurus ke hotel. Saya pun membawa beliau menyambung jejak ziarah yang saya buat hari Rabu. Saya tunjukkan di manakah tempat Saidina Abu Bakar diba'iah menjadi khalifah sebelum pergi ke Masjid Ali.


Posing pula di Masjid Abu Bakar.


Lalu di Masjid Ghamama tengok-tengok ia dibuka. Kami pun singgah malah membuat keputusan untuk bersolat Maghrib di sini.


Saya sempat menunjukkan kepada isteri kedudukan Masjid Saidina Umar sebelum kembali ke Masjid Nabawi untuk menikmati suasana malam Jumaat.


Kami berpecah tanpa berjanji mahu berjumpa kemudiannya. Selepas solat Isyaq saya dapat duduk lama di kawasan Raudah bersebelahan makam Nabi. Isteri kemudian memberitahu beliau juga dapat menjejakkan kaki di Raudhah dan duduk lama ketika sesi khas untuk kaum wanita selepas itu. Puas hatinya selepas terlepas peluang untuk ke kawasan berkat, taman dari syurga ini malam sebelumnya akibat hal jemaah patah tangan yang seperti tidak terjaga.

Saya pula puas hati kerana dapat mengotakan janji membawa isteri ke beberapa tempat yang sudah saya jejaki. Apabila disemak balik menggunakan program Google Earth,  saya dapati telah berjalan kaki tidak kurang 8.5 km hari itu. Isteri berjalan kaki kurang sedikit kerana ada tempat-tempat yang tidak diikuti misalnya ke masjid kecil di Bir Othman. Tapi saya percaya dalam sedar tak sedar beliau telah berjalan kaki lebih kurang 6 km.



2 ulasan:

  1. Apa nama agensi Umrah saudara ya? Bangsa Kelantan bangsa musibat..ingat tuh

    BalasPadam
  2. Tak mengapalah. Masa tu memang saya marah dan kecewa tapi sekarang saya dah lupa. Perkara dah selesai gitu...

    BalasPadam