Ahad, Julai 01, 2012

Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - Lumut, Teluk Intan, Kuala Kubu. Cukuplah perjalanan 2,374.9 km

Alhamdulillah sukacita dimaklumkan kami anak beranak baru sahaja kembali dari Kuala Gandah, Pahang  di mana kami berpeluang menunggang gajah di padang dan memandikan anak gajah di sungai. Sebelum itu kami bermalam di Janda Baik, kali pertama kami keluar berjalan di luar lingkungan jarak 50-55 km dari rumah sejak tamat perjalanan ke Pulau Jawa 1-14 Mei. Selepas mandi, bersolat dan makan timbul gerak untuk menamatkan siri cerita perjalanan ke Pantai Timur 26 Mac- 4 April. Sebolehnya saya mahu ia dilakukan selagi hari ini masih 1 Julai. Maka bersambung cerita dari artikel Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - Ipoh, Papan dan legasi orang Mandailing.


Selasa 3 April 2012, selepas bermalam di Lumut kami berehat sebentar di tepi sungai. Lihat artikel The Dinding river in front of Lumut town di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

Kalau dah sampai di bandar peranginan ini tak sah kalau tak pusing-pusing walau sebentar. Satu bangunan lama yang saya tidak pernah jemu lihat dan singgah adalah masjid lama Lumut ini, masjid yang entah sudah beberapa kali saya tonjolkan dalam artikel-artikel lama.


Kami singgah di Manjung untuk makan tengah hari bersama seorang kenalan lama, saudara Hasnor. Bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia ini lebih dikenali sebagai Malay Old Man @ MOM dalam satu dua forum di Internet, forum-forum yang selalu membincangkan petua dan ilmu orang Melayu lama termasuk hal perubatan dan persilatan zahir dan batin.


Dari Manjung kami menuju ke Teluk Intan. Lalu di Lekir singgah di masjid ini. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Batu 8, Lekir, Perak di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

Menariknya, selain reka bentuk masjid yang memakai ukiran tradisional yang saya suka panggil sebagai "lidah terjulur" terdapat maklumat menyebut Kampung Lekir dibuka tahun 1798 Masihi oleh seorang bernama Tok Gondah @ Cek Ahmad bin Tok Laaji. Sepanjang kembara saya nama Tok Laaji atau serupa pernah saya dengar milik satu orang sahaja. Apakah ia orang yang sama? Lihat artikel lama Balik Muar Raya Cina : Makam Tok Laji dan Makam Raja Melewar.

Selepas itu kami ada berjalan di sekitar Sungai Rubana kemudian menuju ke Kampung Batak Rabit, Teluk Intan untuk menziarahi kawasan pemakaman keluarga saya sebelah bapa.




Selepas itu kami anak beranak berehat di rumah ibu saudara yang terletak berdekatan.


Hampir 10 malam baru kami keluar untuk meneruskan perjalanan. Pusing-pusing di bandar Teluk Intan sebentar.


Ini pula adalah keadaan di Kuala Kubu Baru, Selangor keesokan harinya, Rabu 4 April.


Kami bermalam di sini kerana lebih senang membuat paspot antarabangsa di pejabat imigresyen Kuala Kubu bila siang nanti. Di bandar kecil ini kami tidak perlu berebut-rebut seperti halnya di Kuala Lumpur. Paspot itu adalah untuk anak kecil kami Muhammad Alauddin Johan yang ketika itu baru berumur sekitar 47 hari, untuk perjalanan pusing Pulau Jawa 1-14 Mei. 

Saya tak pasti jika ada menyebut ini dalam artikel terdahulu. Biar ditambah, selain beberapa sebab lain perjalanan 26 Mac-4 April ke Pantai Timur yang turut meliputi sebahagian negeri Perak diikuti Selangor ini dibuat untuk menyediakan Johan agar dapat menghadapi perjalanan pusing Pulau Jawa yang jauh lebih mencabar.


Gambar ini diambil di empangan Hulu Selangor. Saya sudah lupa sama ada ke sini selepas siap paspot atau sementara menunggu siap.


Yang pasti selesai urusan rasmi kami singgah di masjid lama Ampangan Pecah iaitu lokasi asal pekan Kuala Kubu.


Ternyata masjid ini telah diperbaiki menjadi lebih elok dan cantik...


Selepas itu kami pun kembali ke rumah. Saja-saja ambil laluan berliku jalan lama ke Batu Arang sebelum masuk ke Bandar Tasik Puteri.


Sampai sahaja di rumah, meter bawah kereta menunjukkan nombor 374.9. Adapun sebelum memulakan perjalanan kami telah mengosongkannya dari rumah. Setelah berjalan beratus kilometer ia kembali kosong dengan sendirinya (ah... saya sudah lupa di mana tapi harus di Terengganu atau Kelantan) buat pertama kali menandakan kereta sudah dipandu 1,000 km. Kemudian ia kosong sekali lagi di Perak (tak ingat belah mana) menandakan kereta sudah dipandu 2,000 km. Tambah 374.9 ini maka untuk perjalanan 26 Mac-4 April saya sudah memandu sejauh 2,374.9, satu rekod peribadi. Tamat cerita... :]


p/s: Pagi Isnin 2 Julai isteri saya mengingatkan ada satu lagi yang istimewa malah lebih tentang  apa yang tertera pada gambar ini tetapi saya terlupa. Lihat meter atas. Nombor 170212 itu bermaksud sejak kereta dibeli beberapa tahun lalu ia telah dipandu sejauh 170,212 km. Menariknya, kebetulan nombor ini melambangkan tarikh lahir bayi kami Johan. Beliau lahir 17 haribulan Februari 2012 yang boleh ditulis sebagai 17/02/12. Nah. Sesuai sangatlah dengan tajuk siri ini iaitu "Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung"! Ingat. Meter atas tidak boleh diubah, tidak boleh dimulakan dengan kosong kembali seperti halnya meter bawah. Sesuai sangatlah nombor ini keluar selepas perjalanan selesai...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan