Rabu, Julai 04, 2012

Istana Negara, Kota Buku dan naik gajah - Perjalanan terjauh selepas pusing Pulau Jawa

OK. Ini ada cerita kecil dari perjalanan hujung minggu baru ini.


Sabtu 30 Jun selepas Zuhur kami keluar menghala ke Kuala Lumpur. Singgah makan di restoran jejantas Lebuhraya PLUS.


Selepas itu kami terus ke Istana Negara yang lama.


Istana yang pernah menjadi tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong Malaysia pertama hingga ke 13 ini sudah dibuka kepada awam tidak lama selepas Istana Negara baru di Jalan Duta mula dipakai awal tahun ini.


Isteri sudah lama mengajak ke sini. Dapatlah tengok singgahsana asli yang pernah digunakan selama setengah abad gitu...


Kawasan yang dibuka kepada awam termasuk balairong di mana pernah diadakan banyak upacara penuh adat istiadat melibatkan kepimpinan tertinggi negara. Lihat artikel Istana Negara lama (The old National Palace) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Kemudian kami ke Perpustakaan Kuala Lumpur di sebelah Dataran Merdeka.


Saya mahu melihat acara Car Book Sale yang diadakan oleh satu badan dipanggil Perbadanan Kota Buku. Sampai sahaja di hadapan gerai ini saya disambut oleh penggiat budaya terkenal, Profesor Dr. Siti Zainon (tiada dalam gambar). Walaupun saya mula mengenalinya beberapa tahun lalu dan ada menghadiahkan buku tak sangka beliau ada mengikuti cerita-cerita dan kisah perjalanan saya, isteri dan anak-anak di blogspots dan Facebook. Prof. Siti pun memperkenalkan saya kepada pengurus perbadanan, En. Razin (duduk kiri).

Duduk di kanan adalah Puan Zakiah, isteri kepada pelukis dan penulis buku kanak-kanak berjaya, Yusof Gajah. Hmm. Tak sangka pula boleh bertemu di sini kerana perjalanan kami kali ini memang ada kena-mengena dengan gajah. Yusof Gajah yang dipanggil ramai sebagai Pak Yusof agak terkenal dengan lukisan-lukisannya yang selalu berunsurkan gajah. Saya mula mengenali pasangan suami isteri ini semasa menghadiri bengkel penulisan buku kanak-kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Tanjung Tuan 2 bulan lalu. Lihat Bengkel penulisan buku kanak-kanak dan makam Parameswara di Tanjung Tuan.


Di sini saya juga bertemu seniman puisi santai tapi bermakna, saudara Pyanhabib bersama Pak Aris, pelukis dan orang lama Central Market. Teringat hujung tahun 1980an hingga awal 1990an ketika CM begitu hidup dengan acara-acara seniman jalanan yang terasa begitu jujur meluahkan perasaan dan hati nurani rakyat. Teringat juga semasa zaman itu, sebelum berlepas ke London 1991 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Matematik saya pernah bermain gitar memainkan lagu apa entah, saya tak ingat diringi nyanyian sejumlah warga CM mewakili semua seniman jalanan dalam satu siaran langsung di televisyen RTM yang disertai pak menteri...

Di sini, di hadapan Perpustakaan KL saya dapat merasakan sekelumit aura CM zaman tersebut, rasa yang telah agak lama hilang setelah tempat ramai seniman pembuka pencak itu diresapi unsur-unsur jahat kapitalis yang kelihatan mahu memencilkan para peniaga kecil Melayu. Rasanya proses 'pengkotoran' seni ini bermula semenjak Central Market dibeli oleh syarikat dari pulau "pura-pura" di selatan sana, kalau tak salah tidak lama selepas saya kembali dari London 1995. Nampaknya acara Car Book Sale ini mampu memangkin sesuatu yang besar. En. Razin memberitahu ini adalah edisi ke-5 lalu mengajak saya ikut serta sama.

Hmm. Insyaallah saya akan ikut bermula edisi ke 7 sebulan lagi di tempat ini. Edisi ke 6 akan diadakan 14 Julai di Melaka tetapi kami sekeluarga sibuk dengan hal lain. Lihat artikel Car Book Sale at the KL Library di blogspot  BERPETUALANG KE ACEH.



Ini pula gambar isteri dan anak-anak bersama penulis buku politik terkenal. S.H. Alattas atau Pak Habib di kediamannya di Kampung Janda Baik, Pahang keesokan hari, Ahad 1 Julai. Walaupun saya pernah menetap di sini (ada beberapa buah rumah dalam satu kawasan taman 8 ekar) selama kira-kira 3 tahun dan pernah menolong Pak Habib menulis, menyunting dan menyelidik isi beberapa buah bukunya saya dan isteri lebih selesa bermalam di surau berdekatan apabila berada di kawasan tanah tinggi rezab orang Melayu ini.


Namun saya tidak lupa menjengok dan berjumpa Pak Habib setiap kali berada di Janda Baik. Rupa-rupanya tengah hari itu ada acara bacaan Ratib Al-Attas diikuti deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara A. Samad Said @ Pak Samad dan pelakon serta seniwati Fauziah Nawi. Tapi kami tidak dapat menunggu kerana ada hal lain. Setakat sempat bertembung dengan Pak Samad sebelum berlepas pergi je...



Sebelum keluar dari kawasan besar Janda Baik kami tergerak untuk singgah di rumah lama yang dicabut dan dibawa dari Perak ini, rumah milik almarhum Raja Ashman Shah ibni Sultan Azlan Shah. Sudah agak lama tidak menjejakkan kaki di sini. Inilah kali pertama kami sampai setelah Raja Ashman mangkat lebih 3 bulan lalu. Rujuk artikel Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - Tentang gigi Rasyid dan ziarah ke makam Raja Ashman.


Rumah lama ini memberikan satu rasa nyaman yang seperti sentiasa menyapa saya zahir dan batin. Terjumpa pula rakan saya Zaidi yang datang dari arah Nilai, Seremban, baru sahaja sampai bersama keluarga. Semasa bujang beliau pernah menumpang di rumah ini selama beberapa bulan. mungkin lebih setahun kalau tak salah ingatan. Ketika itu ada beberapa orang anak muda dibenarkan almarhum Raja Ashman menumpang  bersama seorang tua berbangsa Inggeris yang sudah lama memeluk Islam.

Kali terakhir saya berjumpa Zaidi adalah apabila beliau menemani saya untuk satu acara di Masjid Negeri, Shah Alam pertengahan April. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh. Tak sangka boleh pula terjumpa di sini. Itupun selepas timbuk gerak untuk masuk ke rumah.  Sedangkan sebelum itu saya cuma mahu lalu di jalan hadapan dengan niat memberi salam daripada jauh...


Dari Janda Baik kami terus mengambil lebuh raya untuk berkejar ke Kuala Gandah, Lanchang.


Kami mahu melihat gajah-gajah hutan tetapi jinak yang dijaga oleh pihak Perhilitan. Oh, biar diberitahu, selepas membuat perjalanan pusing Pulau Jawa 1-14 Mei (rujuk artikel siri sedang berjalan yang kini sudah masuk ke-7, Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Sunan Muria, Sunan Kudus, Sunan Kalijaga dan Demak. Fasa perjalanan lasak pun bermula...), kami sudah lama tidak berjalan jauh. Kami cuma ada pergi ke sekitar Rawang, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Kuala Selangor, kiranya dalam lingkungan 50-55 km daripada rumah kami di Bandar Tasik Puteri. Apabila ke Janda Baik baru kami memecah 'kemalasan' kerana letaknya lebih 80 km. Maka Kuala Gandah yang terletak kira-kira lagi 80 km perjalanan adalah tempat paling jauh kami pergi setakat ini setelah kembali dari Jawa.


Perjalanan ini dicadangkan oleh isteri. Beliau baru mendapat tahu, di Kuala Gandah pengunjung boleh menaiki gajah tanpa apa-apa bayaran. Mengenangkan perjumpaan dengan isteri Yusof Gajah di Car Book Sale hadapan Perpustakaan KL (lihat gambar ke-7 artikel, Pak Yusof sendiri sedang berada di Port Dickson) isteri saya berseloroh : "Macam tau-tau je kita nak pegi naik gajah..."


Saya sendiri sudah lama mendengar tentang pusat perlindungan gajah ini dan ada terfikir hendak pergi tapi tak sampai-sampai. Mungkin saya tidak begitu teruja seperti isteri kerana pernah merasa menunggang gajah di Phuket, Thailand... sedangkan ini pengalaman pertama beliau. Saya juga pernah memanjat ke atas kepala  gajah lalu menunggang sendiri binatang besar itu yang masih dikurung di atas kapal yang baru tiba dari luar negara lalu berlabuh di Port Klang. Tak payahlah diceritakan bagaimana ini boleh berlaku. Cukup diberitahu, tiba-tiba timbul gerak 'gila' seperti halnya ketika saya memanjat air pancut yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia di Trafalgar Square, London. Lihat artikel lama Keratan akhbar lama dari United Kingdom - Kenangan lama mandi air pancut di Trafalgar Square, London!. :]


Namun diakui saya sebenarnya amat teruja juga di sini. Kelihatan isteri menunggang nun di hadapan bersama anak kami Muhammad Al-Aminul Rasyid yang kini berumur hampir 2 tahun 8 bulan. Gambar ini diambil dari atas gajah lain yang ditunggang bersama bayi kami, Muhammad Alauddin Johan yang kini berumur 4 bulan setengah. Kami sebenarnya mahu menunggang sama sekeluarga tetapi disuruh berpecah kerana tidak cukup ruang selamat di atas gajah.


Selepas itu kami berpeluang memandikan gajah, juga mandi bersamanya.


Untuk acara ini cuma saya dan Rasyid sahaja pergi. Isteri harus menjaga Johan yang terlalu kecil untuk terlibat sama...


Dalam perjalanan kembali iaitu sebelum mengambil pintu masuk terdekat lebuh raya saya terlihat papan tanda menunjukkan arah ke sebuah tinggalan menarik. Lihat Masjid lama (Old mosque of) Bolok Hilir.


Selepas melepasi Bentong pula saya dapati lebuh raya selalu sahaja sesak sedangkan hari semakin lewat. Kami pun singgah bersolat di masjid ini. 










Artikel tentangnya Masjid (Mosque of) Lentang, Pahang menjadi yang ke 1,010 di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Menariknya apabila direfresh untuk melihat artikel itu masuk saya dapati kaunter pengunjung menunjukkan nombor di atas. Ada 1,010 seolah-olah mahu mengisyaratkan sesuatu. Apakah ada kena-mengena dengan fakta bahawa Sungai Lentang yang terletak tidak jauh dari masjid, boleh dilihat dari lebuh raya atas nama Hutan Lipur Lentang airnya berasal dari Kampung Janda Baik yang terletak lebih tinggi di atas bukit dan lebih jauh ke dalam hutan?

Oleh kerana perjalanan kali ini dibuat dengan tujuan utama mahu menunggang gajah, apakah ada faktor gajah pada nombor ini? 'Mukadimah' perjalanan memang ada faktor gajah (gerai buku Yusof Gajah di Car Book Sale) sebelum kami menunggang di Kuala Gandah (kata isteri saya, gajah dari Uganda agaknya, kata saya pula kalau begitu gandakan wang anda di Bank of Uganda!). Mungkin gajah dahulukala di Janda Baik ada menyusuri aliran air hingga ke Lentang sebelum turun gunung dan bukit lebih ke bawah. Mungkin gajah itulah yang mewujudkan populasi di Kuala Gandah kerana laluan air boleh membawa ke Sungai Semantan masuk ke Sungai Pahang?

Ah. Teringat perjuangan Orang Kaya Semantan Datuk Bahaman yang turut disokong pahlawan terkenal Mat Kilau dan ayahnya Imam Perang Rasu yang bergelar Tok Gajah. Sebenarnya kira-kira 1 km sebelum meninggalkan lebuh raya untuk masuk jalan kampung ke Kuala Gandah berlaku sesuatu yang pelik pada kereta kami. Kemudian baru kami dapat tahu laluan berdekatan pernah digunakan oleh pahlawan-pahlawan Pahang tersebut. Sudah... 



2 ulasan:

  1. isyaratnya ialah istana negara telah ditinggalkan... istana tu kan tinggalan british.

    sang raja-raja sedang bergolak, sang pemimpin politik bertelingkah.

    perjalan merah silu dari Aceh ke Perak. lahir di Muar tinggal di Selangor.. entah betul entah silap ni..

    sebuah perjalanan yang hampir lengkap...

    --catatan sebuah khayalan--

    BalasPadam
  2. Salam sejahtera,

    Anda memang terhebat, teruskan!

    BalasPadam