Rabu, Februari 23, 2011

Mencari jejak Merong : Sheikh Abdul Qadir Shah Alirah, Sultan Siam-Kedah atau Sultan Perlak, kerajaan lama Aceh?

Assalamualaikum semua. Pada awal artikel Santai Maulidur Rasul saya ada menyebut akan menyambung siri "Mencari jejak Merong" dalam beberapa hari lagi. Artikel itu dibuat hari Khamis sedangkan kini sudah hari Rabu. Beberapa hari itu sudah jadi hampir seminggu rupanya. Tak apalah ya. Janji sambung...


Dalam artikel siri sebelum ini iaitu Mencari jejak Merong : Kesan yang ditinggalkan di Perlis? yang ditulis hampir 2 minggu lalu telah disebut bagaimana kami anak-beranak berjalan-jalan pusing Perlis setelah meninggalkan Thailand melalui Padang Besar. Artikel ditutup dengan gambar sebuah masjid lama di Langgar, Kedah. Ini pula adalah tempat kami anak-beranak tidur selepas singgah di masjid lama iaitu di sebuah surau tepian kubur bahagian lain Langgar. Rujuk artikel ketiga siri ini iaitu Mencari jejak Merong - Pokok besar, Alor Setar dan surau tepi kubur tentang kenapa kami tidur surau...


Jika pagi sebelumnya iaitu hari Sabtu kami meninggalkan surau selepas bersahur sekitar jam 5 pagi untuk menuju ke Bukit Kayu Hitam seterusnya masuk ke Thailand (lihat Mencari jejak Merong - Melihat 'masyid' ke Hatyai), hari Ahad kami meninggalkannya sebelum Subuh juga.



Tetapi kami tidak pergi jauh, kami cuma ke masjid lama sekitar 1-2 km dari situ.



Bukan apa, mahu sambung berehat...



Ada lah sebabnya kenapa kami berehat di sini. Nanti diceritakan. Sementara itu lihat keadaan dalam masjid pada artikel The old mosque at Langgar revisited di BERPETUALANG KE ACEH. Inilah kali pernah Al-Rasyid menjejakkan kaki di sini. Lihat juga Rumah di sebelah masjid lama (The house beside the old mosque), Langgar, Kedah di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Salah satu sebab kami memilih untuk menyambung rehat di sini adalah kerana masjid lama itu kini ada kemudahan tandas, bukan seperti surau tepian kubur tadi. Untuk makluman semasa pertama kali membawa isteri ke sini penghujung 2008 belum ada tandas...


Masjid lama dilihat dari satu sudut...



Tujuan utama kami sambung berehat di masjid lama pula adalah untuk melawat makam diraja Kedah kira-kira 100 meter ke hadapan. Kami menunggu hari terang...



Semasa pertama kali membawa isteri penghujung 2008, kami sampai selepas jam 5 petang lalu kawasan pemakaman telah ditutup. Kalau dapat masuk dari pintu luar pun belum tentu dalam melihat makam-makam di dalam kerana ada pintu lain yang biasanya berkunci perlu dilepasi. Alhamdulillah, kali ini saya dapat membawa bukan sahaja isteri malah anak kecil kami turut melihat ke dalam. Lihat Revisiting the Kedah royal mausoleum in Langgar.



Tidak jauh dari kawasan makam terdapat tapak masjid lama Langgar. Masjid tempat kami berehat tadi pun masjid lama juga tapi kedudukannya mungkin dianggap sekadar seperti surau untuk sebuah madrasah berdekatan. Apapun Langgar ada memiliki masjid lain yang dikira masjid utama moden di sekitar ini. Lihat Masjid (Mosque of) Tunku Kalsom, Langgar.


Seterusnya kami kembali ke surau tepian kubur tempat kami tidur lebih awal...


Nah. Lihatlah bagaimana rupanya tempat kami anak-beranak tidur di sini. Nampak tak kubur di belakang?


Ya. Kiranya kami mahu menunaikan iktikaf seperti ada disebut dalam artikel Mencari jejak Merong - Pokok besar, Alor Setar dan surau tepi kubur...


Pertengahan 2008 isteri saya mendapat mimpi ada orang memberitahu agar dia bersuluk 3 malam di sebuah pondok berhampiran tanah perkuburan. Di situ ada sebuah makam yang dikaitkan dengan Saidina Ali dan Saidina Hassan. Isteri saya kemudian menceritakan isi mimpi. Saya mendapati ia menepati ciri-ciri satu lokasi berdekatan Alor Setar walaupun pondok dalam mimpi mungkin telah digantikan dengan surau tepian kubur.



OK. Inilah makam yang kami rasa menepati ciri-ciri dalam mimpi. Pada kepuk makam ada tertulis ia milik seseorang yag dipanggil Sheikh Abdul Qadir Syah Alirah, meninggal dunia 904 Masihi berdasarkan apa yang tertera pada batu nesan. Lihat artikel Sebuah makam berumur 1,100 tahun di Kedah! (A 1,100 year old tomb in Kedah!). Kalau tulisan Jawi pada batu nesan adalah benar dan tepat maka ia adalah makam orang Islam paling tua yang ada tercatat tarikh meninggal di Malaysia (mungkin ada makam lagi tua tetapi tidak tercatat tahun atau sekadar menggunakan batu sungai).


OK. Ada pihak tidak dapat menerima kemungkinan makam ini telah wujud begitu lama lalu membuat telahan ada satu nombor telah terpadam. Pada pihak ini tarikh yang tertera pada makam iaitu 291 Hijrah sepatutnya adalah 1291 bersamaan 1870an Masihi. Pada saya pula apa yang mustahilnya makam ini telah wujud 1,100 tahun lalu? Kecualilah fikiran kita tidak boleh menerima Islam sudah begitu awal sampai ke Nusantara malah telah pun bertapak walaupun secara kecil-kecilan sejak zaman para sahabat Rasulullah SAW kalau tak pun pada zaman baginda sendiri lebih 1,400 tahun lalu.



Namun biar kita teliti dahulu kemungkinan bahawa Sheikh Abdul Qadir Syah Alirah ini mangkat tahun 1870an. Kita lihat sebuah madrasah yang berdekatan.



Saya teringat ketika kali pertama sampai ke Langgar 4 tahun lalu. Apabila mendapat tahu madrasah dan surau yang ada di sini dinisbahkan atas nama Sheikh Abdullah saya terus menganggap ia merujuk pada Sheikh Abdullah Al-Qumairi yang dikatakan mengIslamkan Sultan Muzaffar Shah Kedah lebih 800 tahun lalu malah hampir 900 tahun lalu. Sheikh Abdullah inilah yang dikatakan pernah menetap di puncak Gunung Jerai (lihat artikel kedua siri ini, Mencari jejak Merong - Keistimewaan Gunung Jerai). Lama kemudian baru saya sedar ia merujuk pada Sheikh Abdullah lain. Pada pintu gerbang masuk ke kawasan madrasah ada menyebut beliau ialah Sheikh Abdullah Kecil dan kalau tak salah ingatan beliau hidup samada penghujung abad ke 19 atau awal abad ke 20 Masihi.



Pemandangan dari dalam Surau Sheikh Abdullah. Lihat Surau (Small praying hall of) Tuan Guru Abdullah, Langgar, Kedah. Mereka yang menganggap tulisan pada batu nesan Sheikh Abdul Qadir Alirah Syah ada tertinggal satu nombor mungkin boleh menggunakan kes madrasah Sheikh Abdullah yang pernah saya anggap merujuk pada ulamak lama 800-900 tahun lalu untuk menyokong telahan mereka. Tak mengapalah. Biar saya tulis sahaja kepercayaan saya bahawa Sheikh Abdul Qadir ini memang telah hidup lebih 1,100 tahun lalu (atau bersamaan sekitar 950 tahun lalu di satu tempat lain pada mereka yang faham... :]).



Ketika mahu keluar dari madrasah Sheikh Abdullah menuju ke jalan besar melalui jalan kampung terdekat kami terhalang oleh sebuah lori yang menutup terus jalan. Jalan kecil lain pun terpaksa dicari lalu terjumpa surau lama yang agak menarik ini. Lihat Sebuah lagi surau di Langgar (One more small praying hall in Langgar). Sekarang mari dilanjutkan lagi tentang Sheikh Abdul Qadir Syah Alirah sambil melihat gambar-gambar sekitar surau dan seterusnya...



Sumber rasmi sejarah yang pernah saya baca (sudah lupa di mana tetapi ia melibatkan sejarah Kedah) ada menyebut tentang makam Sheikh Abdul Qadir dan batu nesannya yang menunjukkan beliau telah hidup lebih 1,100 tahun lalu. Tetapi ia sekadar menambah Sheikh Abdul Qadir dipercayai seorang guru agama dan ceritanya tamat begitu sahaja. Satu pihak yang dahulu memiliki sebuah blogspot sangat terkenal tetapi hilang kredibiliti apabila cerita sejarah versi mereka semakin menyimpang dari kebenaran, semakin nampak tujuan sebenar mereka mahu menuntut takhta bukan sekadar Kedah tetapi bagi seluruh Malaysia malah Nusantara pernah menyebut Sheikh Abdul Qadir ini sebagai salah seorang Sultan Kedah Tua yang menurut mereka juga menjadi Sultan kerajaan Siam. Biar diberitahu walaupun terdapat banyak kenyataan melampau dalam blogspot mereka, ada juga bahagian-bahagian yang patut difikirkan tetapi haruslah dirujuk-silang atau crosscheck dengan cerita pihak lain.



Sejarah versi mereka menyebut Sheikh Abdul Qadir di Langgar, Kedah sebagai Sultan Abdul Qadir ibni Sultan Hussain Syah Alirah ibni Sultan Alirah Syah Perlak @ Sayyidina Ali di Aceh. Maka mereka sendiri telah menyebut kaitan dengan Perlak. Dalam sejarah kesultanan Perlak yang telah berdiri sejak tahun 804 Masihi (sebelum tu pun sudah berdiri tetapi tidak dipanggil kesultanan, cuma kerajaan) ada disebut Sultan kelima Perlak adalah Sultan Makhdum Alaiddin Malik Abdul Qadir Shah Johan Berdaulat yang memerintah 928-932 Masihi. Walaupun tarikh itu terkemudian dari tarikh kemangkatan di batu nesan Langgar yang bersamaan 904 Masihi tidak mustahil ia merujuk pada orang yang sama. Perbezaan 30 tahun untuk satu watak yang telah hidup lebih 1,100 tahun lalu bukanlah memeranjatkan kerana ia boleh muncul akibat perbezaan menakrif peristiwa bagi orang-orang di Kedah berbanding dengan masyarakat di Aceh...



Satu lagi kemungkinan adalah Sultan Abdul Qadir pernah beraja di Kedah terlebih dahulu sebelum pergi merajai Perlak. Tetapi jejak pemerintahan ini sengaja dipadamkan atas sebab tertentu dengan cara menyebut baginda telah mangkat 904 Masihi lalu didirikan sekali makam sebagai 'bukti'. Sejarah Perlak menyebut baginda adalah Sultan pertama Perlak daripada satu dinasti yang dipanggil Dum Makhdum sedangkan empat Sultan Perlak terawal adalah daripada apa yang dipanggil Dinasti Aziziah yang berasal daripada perkahwinan seorang Ahlul Bait keturunan Rasulullah SAW dengan seorang puteri kepada pemerintah kerajaan Perlak yang dikenali sebagai Syahir Nuwi. Adapun sejarah Perlak menyebut, Sultan Abdul Qadir adalah keturunan lelaki atas lelaki kepada Merah Syahir Nuwi sementara Dinasti Aziziah yang disebut telah dimulakan oleh Sultan Syed Maulana Abdul Aziz Shah ibni Ali ibni Muhammad ibni Imam Ja'afar As-Sadiq adalah keturunan Merah Syahir Nuwi dari belah perempuan.



Namun saya ada sebab sendiri untuk percaya bahawa Sultan Abdul Qadir sebenarnya berasal dari Timur Tengah sebelum berkahwin dengan keturunan Merah Syahir Nuwi. Tetapi beliau dinasabkan pada Sultan Hussain Alirah Syah kerana ada rahsia tertentu dalam keturunan, rahsia yang berkait dengan mimpi isteri yang membayangkan kami harus beriktikaf di sekitar makam Sheikh Abdul Qadir di Langgar, Kedah tiga malam dengan nama Saidina Hassan terkait dalam mimpi. Ah. Saya rasa tidak mampu lagi meneruskan cerita ini. Cuba padankan sahaja apa yang sudah diberitahu dengan isi artikel Kepala naga Merong Mahawangsa dan legasi Saidina Salman Al-Farisi, satu petanda daripada era lebih 1,200 tahun lalu?. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ketujuh dalam siri, ke 811 untuk keseluruhan blogspot.