Jumaat, September 23, 2011

Solat Jumaat di Seri Menanti dan Sungai Muar di bahagian hulu

OK. Bergerak kita ke perjalanan yang dibuat penghujung minggu lepas mengambil kesempatan atas cuti Hari Malaysia, Jumaat 16 September.


Selepas bermalam di Kajang dan kemudian melihat perarakan kemerdekaan yang digabungkan dengan sambutan Hari Malaysia di kaca televisyen pagi hari kami mengorak langkah mengambil Lebuhraya LEKAS menghala ke Kuala Pilah. Itulah kali pertama kami dapat melihat kawasan tanah tinggi yang telah dipotong lebuhraya ini. Itulah juga kali pertama kami lalu sehingga ia menyeberangi Banjaran Titiwangsa pada siang hari kerana perjalanan sebelum ini dengan lebuhraya LEKAS menghampiri Seremban semuanya dibuat malam hari.


Lebuhraya yang bersambung dengan jalan lama Seremban-Kuala Pilah ini benar-benar memendekkan masa. Dalam tempoh 40 minit sahaja setelah meninggalkan Kajang kami sudah sampai ke kawasan reaksi Ulu Bendol. Pemandangan dalam perjalanan juga agak cantik. Lihat artikel From Kajang to Seri Menanti by LEKAS highway di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Walaupun kami akan ke Kuala Pilah nanti hajat utama awal adalah ke Seri Menanti.


Masuk simpang ke bandar diraja Negeri Sembilan itu.


Dalam perjalanan terlihat masjid lama ini di belakang sebuah masjid yang lebih baru. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Kampung Parit Istana, Terachi dan Masjid lama (Old mosque of) Kampung Parit Istana, Terachi di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Hampir ke bandar Seri Menanti terlihat papan tanda ini pula. Istana Perkasa Alam? Perkataan ini mengingatkan pada gelaran Sultan-sultan di kerajaan Deli, Sumatera. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang memerintah Aceh awal abad ke 17 juga sering disebut sebagai Perkasa Alam.


Kami pun masuk ke atas.


Saya tak tahu istana siapa tetapi lambang yang digunakan adalah milik kerabat diraja Negeri Sembilan.


Memanglah logiknya ia harus milik kerabat negeri itu kerana terletak tidak jauh dari istana utama Seri Menanti.


Oh. Hujan menjadi lebat apabila kami sampai ke sini.


Pintu gerbang Seri Menanti.


Nasib baik tidak jauh ada tempat makan yang dibuka. Kami sekeluarga memang lapar lalu menjamu selera. Dari tempat makan saya berjalan kaki ke masjid.


Alhamdulillah, sempat juga bersolat Jumaat selepas makan walhal kami meninggalkan Kajang tadi jam 12.


Selesai solat hujan sudah reda. Anak kecil kami Al-Rasyid dengan gayanya...


Oh... sebelum solat Jumaat tadi saya terserempak seorang rakan lama dari Muar yang sudah lebih 20 tahun tidak ditemui. Itulah kali pertama dia datang ke Seri Menanti, sekadar untuk makan angin katanya, boleh pula berjumpa di tempat makan sini. Ketika membawa anak berjalan kaki selepas solat pula saya ditegur seseorang yang mengecam kami kerana selalu juga membaca blogspot ini. Rupa-rupanya dia dan kawan-kawannya ingin menziarahi beberapa makam lama di Seri Menanti. Selepas berkongsi sedikit cerita dia menunjukkan sehelai kain selempang hitam yang katanya diperolehi sebagai amanah dari wali Allah terkenal di Negeri Sembilan, almarhum Tuan Tulis yang makamnya ingin diziarahi kemudian. Inilah kain selempangnya saya pakai untuk mendapat sedikit 'rasa'...


Seterusnya kami pergi ke istana lama Seri Menanti yang telah dijadikan muzium. Oh... dari pengusaha kedai makan tadi kami dapat tahu Istana Perkasa Alam didiami Tuanku Najihah, balu Tuanku Jaafar iaitu Yam Tuan Negeri Sembilan sebelum ini.


Ketika saya sedang sibuk mengambil gambar dari luar, isteri membawa anak masuk ke dalam lalu muncul di satu tingkap. Saya pun mengambil gambar. Allah! Melihat ini timbul satu rasa yang susah hendak dikatakan. Seolah-olah terlihat satu suasana dan keadaan yang sama tapi pada suatu zaman yang lampau.


Seperti biasa Al-Rasyid sangat seronok dan susah hendak duduk diam. Tiba-tiba dia memanjat kerusi lalu duduk di kepala meja makan panjang.


Dia juga sanggup memanjat tangga yang curam.


Pemandangan dari bilik teratas istana lama merangkap muzium Seri Menanti, bilik yang katanya dahulu pernah tersimpan satu barangan pusaka diraja berupa rambut yang sangat panjang. Lihat The small town of Seri Menanti from the royal museum dan Royal museum of Seri Menanti, Negeri Sembilan revisited. Di bawah pula adalah klip video menunjukkan gelagat Rasyid selepas turun. Teringat tayangan televisyen perarakan sambutan merdeka pagi tadi nampaknya...


     



Puas melihat Seri Menanti kami mengorak langkah menghala ke Tanjung Ipoh. Terlihat rumah tradisional cantik di tepian jalan.


Di sebelahnya ada rumah ini.


Perjalanan diteruskan melepasi Tanjung Ipoh masuk jalan dalam melepasi Kampung Talang sehingga kelihatan sungai ini.


Ia adalah Sungai Muar berdekatan puncanya, kira-kira 280 km dari muara di Muar, daerah kelahiran saya.


Kelihatan di sini aliran Sungai Muar di bahagian yang lebih hulu menuruni satu empangan.


Inilah Empangan Talang. Ada sesuatu yang menarik tentang tempat ini.


Sayangnya Rasyid sudah tidur akibat kepenatan.


Nampaknya kami cuma dapat bergambar berdua sahaja, sama keadaannya seperti tertera dalam artikel Jalan hujung minggu Negeri Sembilan - Kisah Malim Deman dan keistimewaan hulu Sungai Muar... yang dibuat lebih 2 tahun lalu. Jika ketika itu isteri saya hampir 7 bulan mengandungkan Rasyid kini dia mengandung 4 bulan anak seterusnya...


Selepas puas melihat empangan baru kami berpatah balik ke Tanjung Ipoh untuk ke masjid Tuan Tulis.


Ziarah makam Tuan Tulis...


 

Kemudian baru ke Kuala Pilah di mana saya sekali lagi ingin melihat aliran Sungai Muar tetapi di bahagian yang sedikit ke hilir. Lihat Muar river at Kuala Pilah.



1 ulasan: