Selasa, September 27, 2011

Pertemuan waris Temenggung Muar di Kluang, nostalgia zaman sekolah dan Tok Bentayan




Pagi Ahad 18 September 2011. Setelah bermalam di rumah ibu bapa di Kampung Temiang, Muar, kami pergi lebih jauh ke selatan.


Terus menuju ke dewan ini yang terletak di pinggir selatan bandar Kluang. Berhenti pun sekadar untuk makan pagi di perhentian lebuhraya tadi.


Kelihatan di luar suasana begitu meriah.


Rupa-rupanya ada majlis lain di luar. Majlis yang kami tuju di dalam dewan belum lagi bermula.


Kami sampai awal atas pelawaan pengerusi persatuan yang mengelola majlis ini supaya mendirikan gerai buku. Di Segamat hari sebelumnya saya juga diminta untuk mendirikan gerai oleh seorang ahli majlis persatuan sana. Cuma gerai situ dibuka lambat kerana pengerusinya tidak mahu proses pendaftaran ahli terganggu... katanya le. Saya rasa pengerusi di sini iaitu Raja Abdul Rahman Basok lebih menghargai kehadiran saya...


Sementara majlis belum bermula saya mengambil peluang membawa anak dan isteri melihat sekolah lama saya, Sekolah Menengah Sains Johor.


Kali terakhir saya membawa mereka adalah penghujung 2009, ketika isteri baru sahaja tamat pantang melahirkan anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid... dalam satu perjalanan panjang mengelilingi negeri Johor dan masuk ke negara Singapura. Kini Rasyid sudah cukup besar. Saya mahu mengambil gambar yang menunjukkan dia betul-betul sampai di sini. Tapi bila dah ambil baru nampak huruf K. L. G. untuk Kluang (bukan Kelang) tidak cukup kerana tak berapa nampak huruf G. Jadi jangan ingat K. L. untuk Kuala Lumpur ya. Takkanlah SMSJ (Sekolah Menengah Sains Johor kerana dahulu ia adalah satu-satunya sekolah sains di seluruh Johor) berada di KL pulak... :]


Asrama putera.


Saya tak pasti jika dalam lawatan terdahulu ada masuk ke kawasan asrama. Kali ini saya tidak dapat menahan rasa untuk naik ke tingkat 3 dari bawah (termasuk ground floor) tempat saya pernah menetap selama hampir 4 tahun. Bawah rumah sukan yang dipanggil Purnama.


Sambil melihat ke bawah teringat bermacam-macam hal yang pernah berlaku di sini. Melihat tingkat-tingkat bangunan teringat juga salah satu kegemaran gila saya bila datang 'hanginnya' iaitu memanjat naik melalui tiang, bukannya tangga dan melompat dari atas. Setakat melompat dari tingkat satu ke bawah tu dah biasa sangat. Zaman tadika dulu pun saya suka melompat keluar tingkap dari ketinggian 6-7 kaki, zaman sekolah rendah dari bumbung pejalan kaki setinggi 10 kaki.

Kalau tak salah ingatan saya pernah sekali dua melompat dari tingkat 3 ini! Nampak macam mustahil kan? Tu le. Saya dah tak ingat tapi rasanya memang pernah buat. Cuma saya mengelat sedikit. Saya tidak melompat terus dari tebing sebaliknya menghulurkan badan sejauh mungkin ke bawah sambil berpaut dari tebing sebelum melompat. Itupun bila dilihat balik rasa takut jugak. Sekarang ni dah umur 41 tahun, sakit-sakit dari perangai lasak lama banyak juga dah menangkap. Nak melompat terus dari ketinggian 6 kaki pun kena fikir banyak kali!



Oh. Saya membawa Rasyid naik sekali. Semenjak dua menjak ni dia pantang jumpa getah air bomba. Mesti nak bagi pusing-pusing punya.


Seterusnya kami pergi ke stesyen kereta api.


Ingat tak kontroversi kopi Kluang yang dikatakan dicampur DNA babi? Saya ingatkan ia telah menyebabkan perniagaan yang telah bermula beberapa dekad lalu ini bungkus sama sekali. Tidak. Saya cuma sampai ketika kedai ditutup. Seorang pekerja Melayu di kawasan ini memberitahu orang ramai termasuk Melayu Islam masih berpusu-pusu datang. Tambahnya dakwaan kopi enak ini dicampur DNA babi adalah satu sabotaj ke atas sampel yang diambil pihak tertentu yang marah apabila tuan punya kedai kopi tidak mahu memberikan 'sumbangan' yang diminta. Hmm...


Keadaan di stesyen.


Rasyid kelihatan tenang duduk di sini.


Setiap kali sampai ke Kluang saya mesti mahu melihat Gunung Lambak dan dua puncaknya dari beberapa sudut. Teringat pertama kali berkemah di kaki gunung ketika menjadi ketua pengakap tingkatan 1 sebelum mendaki ke puncak. Selain itu yang saya ingat pernah mendaki beramai-ramai dengan kawan-kawan sekelas tingkatan 3 seterusnya ketika berjalan seorang diri menaiki motosikal besar keliling Semenanjung 1997. Saya tak ingat samada ia dibuat selepas sudah bermalam di Kluang atau ketika baru sampai dari bandar lain. Ketika itu bulan puasa masih ada sejam lebih sebelum berbuka lalu saya pun mengisi masa dengan mendaki ke puncak. Masuk Maghrib belum keluar hutan lagi. Nasib baik tak seratus peratus gelap.


Kemudian kami berjalan-jalan keliling bandar.



Kembali ke dewan.


Muncul rakan seperjuangan Suzana Othman yang merupakan puteri kepada almarhum pelakon dan pelawak terkenal M. Othman dengan isterinya, pelakon Afidah S. Suzana atau Kak Nana dan suaminya Haji Muzaffar telah menulis beberapa buku sejarah, antaranya "Ahlul Bait (keluarga) Rasulullah SAW dan Raja-raja Melayu". Dengan menggunakan salasilah lama dalam simpanan seorang waris Temenggung Muar, mereka cuba membuktikan bahawa raja-raja Melayu juga ada darah Nabi Muhammad SAW.


Majlis bermula selepas jam 2.


Penggunaan salasilah Muar dalam buku-buku mereka secara tidak langsung menaikkan kesedaran waris-waris Temenggung Muar yang jawatannya telah diluputkan selama seabad gitu agar kembali bersatu sekurang-kurangnya untuk mengenal keluarga dan bersilaturrahim. Maka tidak hairanlah pasangan ini menjadi tetamu penting.


Sedikit tarian aluan.


Melihat pengkisahan sejarah di paparan.


Tiba-tiba ada pengumuman. Isteri saya mendapat hamper hadiah.


Entah kenapa dia dinobatkan sebagai wanita berpakaian paling cantik. Walhal ramai lagi yang berpakaian lebih bergaya rasanya.


Majlis ditamatkan hampir jam 4 dengan sesi bergambar.




Selepas itu kami mengorak langkah kembali ke Muar melalui Yong Peng. Singgah di masjid ini. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Yong Peng di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Kami sampai ke bandar Muar sejurus masuk Maghrib.


Nama Tok Bentayan yang dilihat dalam salasilah di Segamat (rujuk balik Pertemuan waris Temenggung Muar di Segamat, Tok Tenang dan balai Bukit Kepong) sebenarnya masih terngiang-ngiang di kepala sejak hari Sabtu. Di tanah perkuburan berdekatan saya cuba mencari makamnya.


Tapi saya pun tak pasti apakah benar makamnya terletak di sini. Yang tercatat ia terletak di tepi Sungai Bentayan dan ini adalah satu-satunya tanah perkuburan di Muar yang saya tahu terletak sebelah sungai itu. Yang pasti ada sejumlah makam-makam lama yang terserlah. Tak tahulah yang mana. Cuma ketika mengelilingi satu kepuk yang mengandungi beberapa buah makam (bukan dalam gambar) tiba-tiba ada bunyi seperti binatang marah keluar dari tanah. Tapi tak nampak apakah binatangnya... maklumlah dah gelap.


Akibat kelaparan sangat kami makan di sebelah stesyen bas Bentayan iaitu berdekatan tempat Sungai Bentayan mengalir masuk ke Sungai Muar.


Di sini ada kubu Bentayan tempat Sultan Ahmad ibni Sultan Mahmud dan orang-orangnya bertahan dari serangan Portugis selepas kejatuhan Kota Melaka 1511. Cukuplah cerita.



2 ulasan:

  1. assalamu'alikum radzi,
    saya mengikuti perkembangan blog 'catatan si merah silu' dalam ROM (read only mode). namun kali ini saya terpanggil untuk komen kerana 2 sebab :-
    1- saya juga pernah berkampung di smsj pada 1978 - 1982 dan memang kita tak pernah bertemu. saya ada singgah depan main gate pada 16/09 dan terkejut dah berpindah jauh ke depan. setiap kali malalui kluang, walau hanya signboard smsj tetap mendebarkan dada terkenang alam remaja di sana.
    2- nama hj muzaffar dan tun suzana tun m osman mengimbau kenangan australia. hj muzaffar di canberra dan saya di wollongong, namun kami amat rapat. banyak nasihat bernilai dicurahkan pada saya. saya tak pasti adakah nama wan ruhizat masih diingatinya. saya pernah baca buku 'ahlul bait dan raja-raja melayu' dan satu-satunya buku sebegitu. macamana saya dapat berhubung dengan beliau.

    BalasPadam
  2. Wassalam. Cuba hubungi mereka di sini... http://muhibbin.org/

    BalasPadam