Khamis, September 29, 2011

Permulaan baik untuk buku terbaru, "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah"






Assalamualaikum semua. Malam ini malam Jumaat 2 Zulkaedah 1432, sampailah masa untuk membuat pengumuman seperti disebut akan dilakukan pada artikel Dari Kuala Langat ke Klang. Ingat tak dalam beberapa artikel sebelum ini saya ada memberitahu sedang mengusahakan buku terbaru saya bertajuk "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah"? Ya. Buku itu yang merupakan buku ketujuh saya dijangka siap sepenuhnya minggu hadapan. Namun dengan kuasa Allah minggu lepas lagi saya sudah dijemput untuk mempromosinya di kaca televisyen. Lebih menarik lagi buku ini akan diulas dengan saya ditemuramah secara live dalam program Selamat Pagi Malaysia, Khamis hadapan iaitu 6 Oktober 2011 bermula jam 8.15 pagi.

Ya. Buku ini masih belum siap sepenuhnya kerana kerja-kerja rumit untuk menyiapkannya. Maklumlah, ia adalah coffee-table book atau buku mewah pertama (ya... asalnya saya cuma mahu membuat buku biasa tetapi ditukar menjadi buku mewah pada saat-saat akhir) yang pertama saya tulis, sunting, dibuat rekabentuk dan rekaletak sendiri termasuk grafik dari mula hingga akhir. Namun apabila pihak RTM menelefon petang Selasa untuk mendapatkan satu naskah contoh, satu perkara yang tidak dijangkakan kerana saya menyangkakan naskah boleh dihantar kepada mereka awal minggu hadapan, pihak kilang percetakan telah menyiapkan satu buku khas yang sebahagiannya diatur dengan tangan untuk ditelaah. Alhamdulillah buku itu dapat diserahkan hari Rabu dan pagi tadi, Khamis jam 8.25 ia muncul di kaca tv sebagai pendahuluan kepada temuramah minggu hadapan.

Dengan menggunakan kamera digital saya pun merakamkannya. Itulah yang ditunjukkan dalam video klip atas, cukup untuk menunjukkan sedikit sebanyak penampilan buku. Namun untuk mendapatkan gambaran sebenar isi tontonlah temuramah akan datang. Jangan lupa Khamis minggu hadapan 6 Oktober 2011, bermula jam 8.15 di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke 909 di blogspot ini. Doakan buku ini mendapat sambutan meluas dan kejayaan selayaknya ya! :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan