Sabtu, November 20, 2010

Lawatan tak dijangka ke Brunei - Pusing satu pulau... kaitan Labuan dengan Dinasti Al-Kamil?

Allah. Sejak kebelakangan ini saya terasa begitu penat dan malas hendak membuat posting. Mungkin ada gangguan dari pihak yang sakit hati kami anak-beranak telah menjejakkan kaki di Beting Beras Basah? Tapi kalau tak diteruskan penceritaan jiwa saya pula jadi tersangkut. Maka biar disambung dari artikel Lawatan tak dijangka ke Brunei - Ke Labuan dan makam Syarif Kedah. Kasih settle terus bab Labuan... :]



Pagi Khamis 5 Ogos 2010, selepas selesai sarapan sampailah masa untuk melihat satu Labuan.


Kami mulakan dengan melawat ke masjid jamek yang kelihatan seperti roket ini.


Duduk di dalam masjid ada masanya terasa bangunan bagai nak berlepas ke bulan, tak pun 'bertukar' jadi atuk atau moyang Optimus Prime. Nasib baik Rasyid suka naik tangga. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Labuan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Dari masjid kami mula membuat perjalanan pusing pulau lawan arah jam. Di satu bahagian kelihatan sebuah tanah perkuburan, kalau tak salah untuk askar British yang terkorban ketika melawan Jepun tahun 1940an.


Dari situ tidak jauh ke Tanjung Batu yang terletak di hujung paling timur Pulau Labuan. Dari sini boleh kelihatan tanah besar Sabah juga Sarawak. Lihat artikel The cape called Tanjung Batu di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Perjalanan diteruskan menghala ke utara. Oh, kami ada melihat lapangan terbang Labuan yang kelihatan seperti KLIA kecil tetapi entah mengapa saya terlupa mengambil gambar.


Sampai di sekitar Tanjung Kubong di satu hujung utara ada kawasan bukit yang dikatakan tertinggi di Labuan. Ada sesuatu tentang bukit ini yang menimbulkan rasa semacam, mungkin ada penempatan yang tidak kelihatan.


Di sekitar ini juga ada satu binaan serombong arang batu zaman British yang dijadikan tarikan pelancongan. Namanya ringkas... dipanggil Chimney, bahasa Inggeris untuk serombong.


Nampaknya ia satu tinggalan penting sehingga wujud sebuah Muzium Chimney di sebelah. Menariknya di dalam muzium saya terjumpa kembali senaskah buku "Batu Aceh : Early Islamic gravestones in Peninsular Malaysia". Untuk pengetahuan buku inilah yang mengenalkan saya kepada kewujudan jenis batu nesan yang dipanggil "batu Aceh". Saya jumpa secara tidak sengaja di perpustakaan daerah Raub penghujung tahun 2001 atau awal 2002 kalau tak salah ingatan, ketika baru memulakan usaha menjejak salasilah keluarga sebelah bapa.

Buku yang dilihat dahulu adalah edisi atau cetakan pertama yang dibuat tahun 1988. Buku yang kelihatan ini pula adalah edisi terbaru yang merupakan cetakan kedua, dibuat tahun 2006. Cetakan baru ini dibuat lebih menarik dengan lebih banyak gambar. Ada kemungkinan ini disebabkan permintaan yang timbul setelah terbit buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" (Jun 2006) di mana fakta dari buku "Batu Aceh" ada disebut untuk menerangkan kaitan Aceh dengan kerajaan-kerajaan Melayu di Semenanjung.

Sebenarnya buku edisi baru ini telah dilihat di beberapa muzium sebelum ini. Tetapi baru kali ini timbul rasa untuk membelinya. Apakah kerana tempat ini ada kaitan tertentu dalam pencarian dan pengkajian saya tentang sejarah lama Melayu? Harap-harap selepas meluahkan ini akan timbul petunjuk baru. Lihat Visiting the Chimney at Tanjung Kubong.


Ke hadapan sedikit dari Muzium Chimney pula terdapat taman burung.


Ukiran pada hujung bumbung bangunan yang ada mengingatkan pada sebuah masjid lama di pendalaman Muar. Ah! Mungkin inilah petunjuk kaitan yang dicari? Lihat Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Warisan Tuanku Gombang Malim Dewa?.


Perjalanan dari penghujung utara pulau membawa ke bahagian barat.


Laut China Selatan pun mula terbentang. Lihat The beach called Pantai Batu Manikar.


Dari situ kami menurut garisan pantai ke selatan.


Hampir ke penghujung barat merangkap hujung selatan pulau terdapat kampus Universiti Sabah...


Terdapat juga satu pengkalan minyak Petronas.


Perjalanan pusing pulau melawan arah jam diteruskan dengan menghala ke timur kembali ke bandar Labuan. Singgah sebentar di satu surau.


Bukan apa. Kami mahu singgah lagi ke makam Sharif Kedah yang terletak dalam perjalanan. Lihat Saying goodbye to Sharif Kedah.


Kemudian baru kami makan tengahari di bandar.


Sementara ada sikit lagi waktu kami bersiar-siar melihat pusat bandar.



Singgah sebentar di Muzium Labuan. Lihat Muzium (Museum of) Labuan.


Masuk jam 3 sampailah masa untuk meninggalkan Labuan. Insyaallah saya akan sambung cerita esok hari Ahad. Dan kali ini saya berazam untuk menyelesaikan siri tentang Brunei ini sebelum masuk siang Jumaat minggu depan...


Selasa, November 16, 2010

Salam Aidil Adha dari Pulau Singa?


Assalamualaikum semua. Sempena malam ini sudah masuk 10 Zulhijjah 1431 Hijrah iaitu malam Hari Raya Haji atau Aidil Adha biarlah kami sekeluarga mengambil peluang untuk mengucapkan selamat berhari raya kepada semua. Kami sendiri setakat berhari-raya di rumah. Cuti hari Rabu terlalu pendek untuk kembali ke kampung. Lagipun kami sudah terlalu penat akibat perjalanan kecil yang dibuat hujung minggu.

Untuk pengetahuan pagi Sabtu baru ini, saya, isteri dan anak telah berlepas ke Singapura untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang saudara. Kami pergi dengan menaiki keretapi dan setelah 3 hari berada di sana kami kembali juga dengan keretapi. Sampai ke Kuala Lumpur awal pagi tadi, saya terus menghantar isteri ke tempat kerja kemudian anak ke rumah pengasuh. Petang tadi selepas mengambil anak saya mengambil isteri dan bercadang mahu menyambut Hari Raya di rumah seorang ibu saudara di Ampang.

Ketika sedang memandu dengan niat menghala ke sana timbul rasa penat yang amat sangat. Nasib baik ketika itu kami masih berada di Jalan Kucing lalu saya membuat keputusan untuk kembali berehat sahaja di rumah. Rasanya kami tak larat hendak bercampur orang-ramai buat sehari dua. Kalau menyambut hari-raya pun mungkin sekadar solat di masjid sebelum bertandang ke rumah jiran.

OK. Tajuk artikel ini dipanggil "Salam Aidil Fitri dari Pulau Singa?" kerana aura dari pulau terasa masih segar berlegar di sekeliling kami. Selain menghadiri majlis perkahwinan di rumah keluarga pengantin lelaki dan perempuan serta pergi ke rumah saudara-mara, kami sempat menziarahi makam Habib Nuh, makam Radin Mas Ayu, makam Iskandar Shah, Masjid Sultan, masjid penempatan Melayu di Sembawang dan Masjid Ba' Alawi. Saya mengalami deja vu panjang tidak kurang 5 minit setiap kali di 3 tempat iaitu di masjid Sembawang, masjid Ba' Alawi dan sebuah masjid berdekatan rumah pengantin lelaki di Yishun. Insyaallah cerita perjalanan ini akan disampaikan tidak lama nanti... samada diselang-selikan dengan cerita tentang Brunei apabila bahagian tentang Labuan tamat atau dijadikan siri kecil selepas selesai segala penceritaan tentang Brunei. Insyaallah! :]