Jumaat, April 09, 2010

Maulidur Rasul di Aceh : Gunongan dan beberapa tempat bersejarah di Banda Aceh

Selepas melihat kapal besar yang terdampar jauh ke darat akibat pukulan ombak ganas Tsunami yang melanda 26 Disember 2004 kami kembali ke pusat Banda Aceh untuk melihat beberapa tempat bersejarah yang ada. Cukuplah video-video klip ini untuk menerangkan cerita. Kalau tak cukup mungkin artikel Celebrating the Prophet's birthday in Aceh : The historical sites at Banda Aceh yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi dan Makam keluarga kerajaan (Tombs of the ruling families) di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) boleh menolong...







p/s: Insyaallah kalau tiada aral melintang, malam ini saya akan berlepas ke Perak dan bermalam di luar Kuala Kangsar. Cadangnya mahu menziarahi makam-makam utama sepanjang Sungai Perak bermula dari makam Tok Temong dan kalau boleh makam setiap Sultan Perak... banyak tu. Sebelum Sultan Azlan menaiki takhta, Perak pernah diperintah 33 orang Sultan dan semuanya dimakamkan di Perak, kecuali 4 atau 5 orang. Ada antara makam yang terletak di ceruk-ceruk sunyi yang agak jauh dari apa-apa penempatan, jalannya teruk, begitu susah dimasuki kenderaan. Harap cuaca elok dan dipermudahkan perjalanan... doakan saya ya!

Khamis, April 08, 2010

Maulidur Rasul di Aceh : Pemandangan kapal apung...

Kita sambung lagi penceritaan melalui video klip untuk perjalanan terbaru saya ke Aceh. Selepas Makam Syiah Kuala, kami melihat kapal apung. Apa itu kapal apung? Lihat sahaja klip-klip yang ada...



Selasa, April 06, 2010

Al-Rasyid jejak tanah di makam Sultan Alauddin Melaka...

OK. Kita 'lari' sebentar dari cerita-cerita Aceh...





Adapun hujung minggu ini saya, isteri dan anak kami Al-Rasyid telah kembali ke kampung ibu saya di Muar. Ia adalah pertama kali kami ke sana untuk tahun 2010. Peluang ini digunakan untuk menziarahi lagi makam Sultan Alauddin Riayat Shah (memerintah Melaka 1477-1488) di Kampung Raja, Pagoh, satu-satunya Sultan Melaka yang makamnya diketahui masih wujud di Malaysia. Peliknya, saya sudah pergi ke sana rasanya lebih 10 kali tetapi baru kini menyedari akan kebenaran satu tanggapan yang menyebut bahawa dalam kepuk utama yang terletak di sebelah masjid ini terdapat bukan 2 tetapi 4 buah makam!


Ya. Memang ada orang pernah memberitahu saya bahawa di sini sebenarnya terdapat 4 buah makam yang setiap satu ditanda sebiji batu nesan Aceh, bukannya 2 makam dengan 2 batu nesan. Namun selama ini saya tetap lebih cenderung dengan pendapat umum yang menyebut dalam kepuk ini cuma terdapat makam Sultan Alauddin dan makam seorang isterinya yang dikatakan berdarah putih. Lalu sepasang batu nesan di bahagian kanan kepuk inilah yang selalu dikira sebagai makam sang Sultan...


Sebenarnya tidak salah untuk mengatakan bahagian kanan itu makam Sultan. Cuma saya mungkin tersilap kerana menganggap bahawa batu nesan kanan terdekat (rujuk balik gambar pertama dan kedua) itulah bahagian kepala Sultan. Dalam lawatan kali ini baru saya tergerak untuk meneliti setiap batu nesan lalu mendapatinya begitu berbeza. Kalau batu nesan sepasang mesti ada banyak persamaan, kalau berbezapun mungkin setakat pada ayat-ayat yang diukirkan. Tetapi kini saya menyedari bahawa setiap batu nesan memang berbeza sepertimana yang boleh terdapat pada 4 buah makam.

Mungkin betul di sini terdapat 4 buah makam yang setiap satu ditanda sebiji batu nesan. Mungkin juga ia 4 buah makam yang setiap satu pernah ditanda sepasang batu nesan tetapi batu pasangannya hilang. Ini tidak mustahil kerana ada tanda-tanda batu-batu nesan yang ada ini pernah pecah atau patah sebelum disambungkan. Apapun, saya juga baru sedar batu nesan di atas yang selama ini saya anggap batu nesan bahagian kaki Sultan Alauddin lebih memenuhi ciri-ciri batu nesan utama selayaknya milik seorang Sultan kerajaan besar dahulukala seperti Melaka.


Yang pasti, ia adalah satu-satunya batu nesan di situ yang bentuk kepaknya ada berkelok elok dengan motif-motif tambahan yang hampir menyerupai apa yang terdapat di makam Sultan Malikus Salih di Aceh. Lihat artikel Akan datang: Petualangan Al-Rasyid ke Aceh! yang dibuat awal Februari. Adapun dalam artikel lama Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menutup perjalanan di makam Sultan Alauddin! yang dibuat berdasarkan perjalanan ketika Al-Rasyid baru berumur sekitar 40 hari, telah ditunjukkan bagaimana anak kami ini pertama kali sampai ke makam Sultan Alauddin. Tetapi dalam perjalanan terbaru ini baru Al-Rasyid menjejakkan kaki ke tanah makam... kiranya kesinambungan dia menjejakkan kaki ke tanah di beberapa tempat, bermula dengan makam Sultan Malikus Salih penghujung Januari 2010.

Hmm... sekarang cukuplah bercerita tentang ini. Lihat juga artikel First trip back to Muar for the year 2010 yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.