Selasa, April 06, 2010

Al-Rasyid jejak tanah di makam Sultan Alauddin Melaka...

OK. Kita 'lari' sebentar dari cerita-cerita Aceh...





Adapun hujung minggu ini saya, isteri dan anak kami Al-Rasyid telah kembali ke kampung ibu saya di Muar. Ia adalah pertama kali kami ke sana untuk tahun 2010. Peluang ini digunakan untuk menziarahi lagi makam Sultan Alauddin Riayat Shah (memerintah Melaka 1477-1488) di Kampung Raja, Pagoh, satu-satunya Sultan Melaka yang makamnya diketahui masih wujud di Malaysia. Peliknya, saya sudah pergi ke sana rasanya lebih 10 kali tetapi baru kini menyedari akan kebenaran satu tanggapan yang menyebut bahawa dalam kepuk utama yang terletak di sebelah masjid ini terdapat bukan 2 tetapi 4 buah makam!


Ya. Memang ada orang pernah memberitahu saya bahawa di sini sebenarnya terdapat 4 buah makam yang setiap satu ditanda sebiji batu nesan Aceh, bukannya 2 makam dengan 2 batu nesan. Namun selama ini saya tetap lebih cenderung dengan pendapat umum yang menyebut dalam kepuk ini cuma terdapat makam Sultan Alauddin dan makam seorang isterinya yang dikatakan berdarah putih. Lalu sepasang batu nesan di bahagian kanan kepuk inilah yang selalu dikira sebagai makam sang Sultan...


Sebenarnya tidak salah untuk mengatakan bahagian kanan itu makam Sultan. Cuma saya mungkin tersilap kerana menganggap bahawa batu nesan kanan terdekat (rujuk balik gambar pertama dan kedua) itulah bahagian kepala Sultan. Dalam lawatan kali ini baru saya tergerak untuk meneliti setiap batu nesan lalu mendapatinya begitu berbeza. Kalau batu nesan sepasang mesti ada banyak persamaan, kalau berbezapun mungkin setakat pada ayat-ayat yang diukirkan. Tetapi kini saya menyedari bahawa setiap batu nesan memang berbeza sepertimana yang boleh terdapat pada 4 buah makam.

Mungkin betul di sini terdapat 4 buah makam yang setiap satu ditanda sebiji batu nesan. Mungkin juga ia 4 buah makam yang setiap satu pernah ditanda sepasang batu nesan tetapi batu pasangannya hilang. Ini tidak mustahil kerana ada tanda-tanda batu-batu nesan yang ada ini pernah pecah atau patah sebelum disambungkan. Apapun, saya juga baru sedar batu nesan di atas yang selama ini saya anggap batu nesan bahagian kaki Sultan Alauddin lebih memenuhi ciri-ciri batu nesan utama selayaknya milik seorang Sultan kerajaan besar dahulukala seperti Melaka.


Yang pasti, ia adalah satu-satunya batu nesan di situ yang bentuk kepaknya ada berkelok elok dengan motif-motif tambahan yang hampir menyerupai apa yang terdapat di makam Sultan Malikus Salih di Aceh. Lihat artikel Akan datang: Petualangan Al-Rasyid ke Aceh! yang dibuat awal Februari. Adapun dalam artikel lama Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menutup perjalanan di makam Sultan Alauddin! yang dibuat berdasarkan perjalanan ketika Al-Rasyid baru berumur sekitar 40 hari, telah ditunjukkan bagaimana anak kami ini pertama kali sampai ke makam Sultan Alauddin. Tetapi dalam perjalanan terbaru ini baru Al-Rasyid menjejakkan kaki ke tanah makam... kiranya kesinambungan dia menjejakkan kaki ke tanah di beberapa tempat, bermula dengan makam Sultan Malikus Salih penghujung Januari 2010.

Hmm... sekarang cukuplah bercerita tentang ini. Lihat juga artikel First trip back to Muar for the year 2010 yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.



4 ulasan:

  1. di gambar pertama n kedua terdapat seperti piring dgn buah limau 3~4 biji..abg punya ke??hehe..

    BalasPadam
  2. salam bapak radzie, sokongan pada taufek86 kenapa ada lagi perbuatan begitu.
    Tetapi dalam perjalanan terbaru ini baru MUHAMMAD menjejakkan kaki ke tanah makam... kiranya kesinambungan dia menjejakkan kaki ke tanah di beberapa tempat, bermula dengan makam Sultan Malikus Saleh penghujung Januari 2010.(catatan bapak.......)
    bagi saya pula: apa sebenarnya ni pak radzie amalkan, sepertinya ada unsur amalan dari penganut agama hindu(orang india) sahaja. tolong perjelaskan...

    BalasPadam
  3. Wassalam. Limau itu memang sudah ada di situ, takda kena-mengena dengan kami.

    Jejak kaki tu setakat jejak tanah nenek moyang anak saya. Kiranya tanda penyambungan salasilah dan wasilah, tidak ada kena-mengena dengan unsur-unsur kurafat.

    Perkara ini sama dengan anda pergi balik ke kampung seorang moyang yang sudah meninggal dunia lalu anda ingin menjejakkan kaki ke tanah situ. Itu aje...

    BalasPadam
  4. terima kasih d atas penjelasan abg tu...sy percaya abg mmg xuat perkara2 mcm tu...kebetulan je ade limau tu..sama2 r kita berdoa agar di jauhkan dr perkara2 yg x baik terutama khurafat & syirik...

    xsalah rasanya jejak kaki tersebut..menyambung salasilah keturunan agar sentiasa bersambung & x terputus...

    BalasPadam