Jumaat, Oktober 01, 2010

Al-Rasyid berhari raya : Cabaran majlis nikah seorang sepupu

Assalamualaikum semua. Sedar tak sedar hari ini Jumaat sudah masuk 22 Syawal. Lewat petang nak masuk 23 Syawal pula baru saya dapat menambah lagi cerita untuk siri "Al-Rasyid berhari raya". Jika 4 artikel terdahulu menceritakan apa yang berlaku pada minggu pertama raya, sekarang kita melompat terus pada minggu kedua.


Jumaat 17 September 2010 bersamaan 8 Syawal, saya bersolat Jumaat di Masjid Kampung Tunku.




Selesai solat Jumaat baru terlihat masjid ini ada faktor 131... kerana terletak di Jalan SS 1/31. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Kampung Tunku, Petaling Jaya di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Sebenarnya saya berada di sekitar ini kerana bertandang di rumah seorang ibu saudara di Taman Aman, Petaling Jaya. Sepupu saya akan bernikah malam itu dan kami sekeluarga sedang bersiap untuk acara.

Seharusnya sebelum jam 6 petang keluarga semua sudah berkumpul untuk majlis doa selamat. Namun majlis terpaksa dilupakan apabila ramai tidak dapat datang awal kerana masing-masing ada hal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu... maklumlah Jumaat itu ramai sudah masuk bekerja sedangkan anak-anak pula telah tamat cuti dan mula bersekolah. Kemudian ada yang menghadapi masalah lain. Misalnya bapa saya yang menjadi ketua rombongan pengantin belum lagi sampai kerana ada masalah kereta.


Berkumpul di Masjid Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur berdekatan rumah pengantin perempuan sebelum melangkah ke sana. Sebenarnya bapa telah mula bertolak untuk ke sini sejak malam sebelumnya iaitu malam Jumaat. Tetapi masalah yang dialami menyebabkan mereka berserta seorang adik lelaki saya yang ikut sama terpaksa bermalam di pekan Kota, Negeri Sembilan.


Mengorak langkah ke rumah pengantin perempuan. Apa yang berlaku ialah van yang dipandu bapa tiba-tiba mati enjin dan tidak dapat dihidupkan. Perkara ini berlaku hampir jam 1 pagi Jumaat. Adik saya ada menghantar SMS memaklumkan masalah. Saya pun menelefon bapa bertanyakan duduk letak perkara.

Kalau ikutkan mahu sahaja saya memandu kereta mengambil mereka semua. Tetapi ini tidak akan menyelesaikan masalah van yang tetap tidak mahu hidup sedangkan untuk saya ke Kota memakan jarak tidak kurang 140 km dan sudah terlalu lewat malam. Bapa meminta pendapat apa yang patut dibuat. Apabila mendapat tahu ada kedai makan berdekatan milik orang Melayu yang masih dibuka saya pun meminta bapa supaya duduk berehat makan, mana tahu selepas itu van dapat dihidupkan?


Rumah pengantin perempuan di Taman Tun cukup dekat dengan kompleks membeli-belah One Utama. Tidak lama kemudian bapa menelefon saya. Katanya tuan punya kedai makan mengajak mereka bermalam sahaja di bilik yang ada di kedai itu dan esoknya bolehlah diuruskan agar van dihantar ke bengkel berdekatan. Alhamdulillah, kami semua dapat menarik nafas lega. Maklumlah siang Jumaat harus bersiap untuk majlis nikah sepupu.

Ikut rancangan asal saya sebenarnya tidak perlu datang ke majlis nikah. Ini kerana pihak pengantin perempuan telah meletakkan syarat agar pihak keluarga kami tidak membawa anak kecil ke majlis sedangkan baik saya mahupun isteri tidak boleh meninggalkan anak kecil kami Al-Rasyid kecuali pada waktu bekerja di mana dia biasa ditinggalkan di rumah seorang pengasuh. Namun disebabkan saya mahu bapa dan ibu bermalam di rumah kami saya harus menghadiri majlis kerana perlu menunjukkan jalan. Maka tengahari Jumaat saya datang ke rumah ibu saudara menunggu bapa, ibu dan adik yang tak juga sampai-sampai.

Gambar di atas menunjukkan sepupu membaca surat syarat selepas nikah. Sebelum pernikahan dilangsungkan, bapa sempat menceritakan kepada semua cabaran yang dihadapi untuk menghadiri majlis nikah ini. Apa yang berlaku, selepas bermalam di Kota bapa, ibu dan adik menunggu mekanik datang tetapi hingga tengahari tak muncul-muncul. Bapa pun menelefon seorang adik lelaki kepada ibu yang turut mahu menghadiri majlis tetapi bertolak lambat sedikit. Adik ibu mengambil mereka di Kota di mana mereka menunaikan solat Jumaat sebelum bertolak ke Lembah Kelang sekitar jam 3.


Al-Rasyid didokong adik bongsu saya pagi Sabtu keesokannya di rumah seorang ibu saudara lain di Ampang. Adik ini dan suami serta 3 orang anak muncul untuk menghadiri majlis persandingan tengahari.

Berbalik pada cerita bapa, ibu dan adik selepas meninggalkan Kota petang Jumaat. Rupa-rupanya timbul masalah lain pula. Sampai di Semenyih, Selangor tiba-tiba cermin kereta adik kepada ibu retak seribu, tak tahulah pasal apa. Terpaksalah kereta dipandu sangat perlahan... itu yang menyebabkan mereka sampai ke rumah pengantin lelaki masuk Maghrib.

Apapun, dapat juga mereka menghadiri majlis nikah. Saya pula terpaksa memanggil isteri datang selepas pernikahan tamat... maklumlah, van bapa terpaksa ditinggalkan di Kota, Negeri Sembilan sedangkan kereta adik kepada ibu pula cerminnya retak seribu, tak dapat lagi dibawa berjalan apalagi waktu malam. Dipendekkan cerita malam itu kami membuat keputusan untuk bermalam di rumah ibu saudara di Ampang kerana lebih dekat untuk menghadiri majlis persandingan tengahari Sabtu. Sebelum berkumpul lagi berdekatan rumah pengantin perempuan siang itu, saya singgah lagi di Masjid Taman Tun untuk bersiap, kali ini bersama isteri dan Al-Rasyid. Lihat Masjid (Mosque of) Taman Tun, Kuala Lumpur.


Saudara-mara mula berkumpul berdekatan rumah pengantin perempuan.


Setelah cukup jumlah kami pun mula berarak.


Saya bersama Al-Rasyid... sesekali berpakaian lengkap seronok juga rasanya...


Yang menarik, kami menggunakan lorong khas pejalan kaki dan basikal. Lihat video klip di bawah...





Rombongan kami memasuki perkarangan rumah.



Sempatlah makan sebelum acara menepung-tawar dimulakan. Lihat The bride's home wedding reception on Saturday.



Isteri saya bersama tetamu kehormat Tun Dr Mahathir selepas majlis tepung-tawar...



Petang sedikit Tun M dan isteri Tun Dr Siti Hasmah mendendangkan satu lagu untuk semua. Lihat video klip bawah...




Ini pula Al-Rasyid bermain-main di kolam ikan di rumah seorang lagi ibu saudara di Bukit Damansara.


Selepas majlis persandingan kami datang beraya di rumah ibu saudara ini. Adik-adik ibu pula bila dah berkumpul ramai mula le buat aktiviti... dah diaorang pun nak menyanyi. Lihat video klip...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan