Rabu, November 18, 2009

Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Misteri Bukit Kluang dan sambutan merdeka di Kuala Besut



Dari Taman Tamadun di Pulau Wan Man, kami keluar lalu singgah ke Masjid Losong...


Entah kenapa, saya suka melihat mimbar lama yang terdapat di dalam, mimbar yang saya rasa macam ada kaitan dengan makam lama di Chabang Tiga. Lihat balik artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Menziarahi makam-malam lama seorang diri dalam kegelapan malam.


Seterusnya kami singgah membeli keropok lekor terkenal Losong di satu jalan tidak jauh dari masjid. Lagipun jalan yang sama boleh membawa terus ke jambatan keluar dari Kuala Terengganu...


Perjalanan ke utara menghala ke Kelantan pun dimulakan... dengan mengambil jalan menyusuri pantai Laut Cina Selatan, bukan jalan pendalaman seperti yang dibuat ketika menghala ke Kuala Terengganu pagi Jumaat.



Hampir 2 jam kemudian, saya tergerak untuk mengambil jalan ke Bukit Kluang...



Oh, kami meninggalkan KT tadi sekitar jam 5. Maka kami sampai ke Bukit Kluang yang sudah tidak begitu jauh dari Kuala Besut ini hampir waktu Maghrib. Untuk pengetahuan Kuala Besut terletak sekitar 100 km ke utara KT. Bukit Kluang terletak di satu jalan berdekatan tetapi ke arah lain...



Kami berbuka puasa di hujung selatan Bukit Kluang. Apa istimewanya tempat ini? Sila lihat dahulu artikel The mysterious-looking Bukit Kluang in Kuala Besut, Terengganu yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.





Selepas itu baru kami pergi ke hujung utara Bukit Kluang. Berbanding hujung selatan yang dilawati tadi ia sebenarnya lebih 'meriah', tidaklah begitu sunyi.




Ini disebabkan di sini terdapat pantai yang menjadi tarikan untuk orang-ramai siap dengan infrastruktur sokongan, tidak seperti pantai di hujung selatan yang lebih kosong...





Ada pula taman untuk beriadah...






Namun kami sampai selepas masuk waktu Maghrib. Maka tempat ini memang sunyi... tersangatlah sunyi. Terlihat pula pondok ini di tebing tepian bukit. Terus timbul rasa untuk ke sana...







Ketika menghampiri tangga ini saya mula mengalami deja vu...








Ah. Rasanya sepanjang perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan, baru kali ini saya terasa deja vu. Panjang pula itu... suasana yang dirasai dengan keadaan malam selepas matahari tenggelam yang kelam, jalan yang diambil dengan laluan pelantar kayu di tebing tepian pantai semuanya pernah dilihat dalam satu bayangan ataupun mimpi lama dahulu. Walhal ini adalah kali pertama saya ke sini.

Walaupun Januari lalu saya juga pernah ke bukit ini bersama isteri, ketika itu sudah melepasi jam 8 malam, sudah begitu gelap tidak nampak apa-apa. Dan kami cuma pergi ke hujung selatan, langsung tidak pernah sampai ke sekitar ini...






Saya terus menghala ke pondok atas tebing yang menghadap ke Laut Cina Selatan dengan pemandangan pulau di latar-belakang...





Deja vu tadi masih tak putus lagi...





Allah! Gua-gua tepian pantai yang wujud sepanjang menyusuri pelantar juga ternyata membentuk komponen deja vu. Kalau tidak memikirkan anak dan isteri setia menunggu di pondok rehat dekat jalan masuk pantai 500 meter dari sini, mahu sahaja saya menjelajah seisi gua.. Lagipun mereka belum betul-betul makan, berbuka di hujung selatan Bukit Kluang tadi pun setakat dengan air dan kurma...





Saya harus memikirkan kemaslahatan anak, juga isteri yang sedang sarat mengandung 8 bulan. Dalam perjalanan untuk terus ke Kuala Besut baru kami singgah di sebuah restoran untuk betul-betul makan, kemudian mendapatkan sebuah bilik penginapan...





Selesai mandi dan berehat sedikit kami keluar berjalan-jalan untuk melihat suasana malam Kuala Besut...










Singgah sebentar di masjid utamanya, Masjid Jamhuriah. Sila lihat artikel lama Masjid (mosque of) al-Jamhuriah, Kuala Besut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ...



Saya telah menjamakkan solat Maghrib dan Isyaq di bilik penginapan tadi, begitu juga anak dan isteri. Di masjid ini baru saya berpeluang untuk menunaikan solat Tarawikh walaupun bersendirian. Kemudian dapat menyambung proses mengkhatamkan Al-Quran, kalau tak salah ingatan sehingga melepasi juzuk ke 10...



Kami berjalan-jalan pula di dataran Kuala Besut yang terletak di tepian pantai betul-betul bersebelahan kuala Sungai Besut. Tengok suasananya begitu meriah... rupa-rupanya ada sambutan masuk Hari Merdeka! Sila lihat artikel Merdeka Day celebration in Kuala Besut! di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Ada sekali klip video acara dan persembahan bunga api...

p/s: Ini adalah artikel ke 595 di blogspot ini...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan