Jumaat, November 13, 2009

Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Sungai Jelai di Kuala Medang dan Masjid Kampung Laut di Kelantan...

Assalamualaikum semua. Sementara hari ini masih bertarikh 13 November (ada gak faktor 131... 13/11/2009...) biar dimulakan cerita perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan lalu. Kebetulan file folder yang mengandungi lebih 500 keping gambar dari perjalanan ini ialah folder ke 13 dalam koleksi gambar-gambar perjalanan saya untuk tahun 2009 (setakat ini...). Malah saiz file folder yang dicipta pada 31 Ogos lepas, tarikh hari kemerdekaan Malaysia ini ialah 331 Megabyte! Lihat bagaimana nombor-nombor ini saling berkait jua. Mari! :]



Petang Khamis 27 Ogos 2009, selepas waktu kerja pada hari ke 6 berpuasa bulan Ramadhan, saya dan isteri meninggalkan bandaraya Kuala Lumpur untuk pergi ke Pantai Timur. Alhamdulillah kami sempat singgah ke bazar bulan puasa di Raub, Pahang di mana kami dapat membeli semangkok masakan ikan keli gulai asam rong yang sudah lama kami idamkan. Maklumlah bekalan buah perah yang menjadi bahan utama masakan sudah berbulan putus akibat ketiadaan musim. Teringat perjalanan ke Raub yang dibuat 2 bulan sebelum itu iaitu sekembalinya kami dari Aceh, dengan niat untuk mencari masakan kegemaran yang setahu kami yang cuma boleh didapati di daerah ini. Sila lihat artikel Mencari gulai asam rong di Raub, nombor 66666 dan majlis Ijtimak di Sepang...


Alang-alang sudah berada di Raub, kami pun pergi menziarahi pusara Nenek di Sempam. Jalan yang sama boleh membawa ke Sungai Koyan, jalan alternatif melepasi Kuala Lipis untuk masuk ke Kelantan. Sampai di Sungai Koyan, timbul rasa untuk bergerak lagi 10 km utara ke Kuala Medang. Di situ terdapat sebuah jambatan besar menyeberangi Sungai Jelai dengan pemandangan sekitar yang sangat menenangkan. Lihat artikel Foray to idyllic Kuala Medang in Pahang... yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.



Adapun Sungai Jelai ini merupakan sebuah sungai utama di Pahang. Dari ranting-rantingnya yang berpunca di Banjaran Titiwangsa terutama sekitar Tanah Rata, Cameron Highlands, ia mengalir berliku-liku sejauh 160 km melepasi Kuala Lipis hingga ke Kuala Tembeling di mana ia bersatu dengan aliran Sungai Tembeling untuk membentuk Sungai Pahang, sungai terpanjang di Semenanjung. Untuk pengetahuan, Sungai Jelai mempunyai keunikan serta sejarahnya yang tersendiri. Dahulukala, jajahan sepanjang alirannya menjadi pegangan bangsawan turun-temurun bertaraf raja yang dikenali sebagai Maharaja Perba Jelai, satu pangkat kebesaran yang masih wujud hingga kini menjadi orang-orang besar di istana Pahang.


Teringat lawatan pertama kali saya ke sini, lebih 10 tahun lalu. Di sinilah saya diberitahu tentang kisah pembunuhan pejuang Pahang yang terkenal penghujung abad ke 19 Masihi iaitu Datuk Bahaman, akibat adindanya sendiri memecahkan rahsia kekebalan beliau yang tak lut peluru dan senjata tajam kepada penjajah British. Isteri saya yang baru pertama kali sampai di sini teruja mendengar cerita. Kemudian kami terlihat penduduk tempatan berkumpul di bawah jambatan, entahlah untuk apa...


Rupa-rupanya mereka bermain gasing pangkah! Allah... sudah begitu lama saya tidak melihat permainan ini apalagi dimainkan oleh orang dewasa. Terasa Kuala Medang yang tenang menyamankan ini dapat menggamit zaman kanak-kanak 30 tahun lalu...


OK. Memandangkan kami sampai di Kuala Medang yang terletak sekitar 60 km utara Raub pada jam 6.30 petang, timbul juga rasa untuk berbuka puasa di situ. Senang... kedai makan dengan suasana kampung yang aman pun ada di tepian Sungai Jelai. Tetapi seperti biasa, saya menurut perubahan angin rasa. Tiba-tiba sahaja ia bertiup menyuruh saya agar menyambung langkah perjalanan ke Pantai Timur. Maka kembalilah kami ke persimpangan di Sungai Koyan, terus masuk ke jalan pintas yang menyambungkan ke jalan utama Kuala Lipis ke Gua Musang... berbuka puasa pun setakat minum air dan makan kurma di tepian jalan yang sunyi itu...


Sekitar 100 meter hendak masuk ke jalan besar baru kami dapat betul-betul berbuka puasa di sebuah masjid, sudah lupa apa namanya mahupun nama tempatnya. Di sini kami menjamakkan solat Maghrib dan Isyaq sebelum betul-betul melayan makanan terutama gulai ikan keli masak asam rong yang telib dibeli di Raub petang tadi. Ketika itu jemaah di masjid pula baru memulakan solat Tarawikh...


Ini adalah gambar pada keesokan harinya, pagi Jumaat di Masjid Kampung Laut, Nilam Puri, Kota Bahru, Kelantan...



Sebenarnya kami sampai ke Kota Bahru yang terletak lebih 450 km dari Kuala Lumpur sekitar tengah malam. Sempat bersolat Tarawih dan Witir sendirian di Masjid Tok Kenali lalu menyambung proses mengkhatamkan Al-Quran dengan menamatkan satu juzuk kalau tak salah ingatan sebelum pergi menziarahi makam Tok Kenali bahagian lain Kubang Kerian. Malam itu malam Jumaat, kami juga berjalan-jalan melihat keadaan di bandaraya Kota Bahru... terus berjalan sehingga jam 4 pagi untuk sahur di kedai makan tepian jalan. Kemudian baru kami dapat masuk tidur... di pondok wakaf yang kelihatan iaitu di halaman Masjid Kampung Laut!


Syukur alhamdulillah kepada Allah Subhanahuwata'ala kerana menganugerahkan saya dengan seorang isteri yang tidak banyak kerenah lagi redha terhadap segala keputusan. Walaupun ketika itu sudah mengandung masuk 8 bulan, dia tiada masalah tidur di pondok wakaf. Dalam pada itu teringat pula satu 'keistimewaan' pondok wakaf yang kami pilih ini... untuk pengetahuan ada beberapa pondok wakaf di dalam kawasan Masjid Kampung Laut. Ada orang pernah memberitahu di wakaf ini duduk seorang tua lama yang jenis mati hidup semula, mati hidup semula (siapa yang faham, faham le...).


Adapun saya memilih untuk bermalam di wakaf kerana beberapa sebab. Satu untuk mendapat berkat bermalam di masjid pada bulan Ramadhan yang mulia apalagi malam Jumaat, di Masjid Kampung Hulu yang disebut-sebut sebagai masjid tertua masih wujud di Malaysia malah katanya menjadi tempat persinggahan para wali zahir dan ghaib! Kedua untuk menjimatkan belanja. Daripada duduk hotel di Kota Bahru sekadar untuk beberapa jam tidur, baik menumpang sahaja di masjid. Ketiga, kerana ia sudah cukup dekat dengan rumah tempat anak-anak kepada isteri duduk sejak setahun kebelakangan.

Untuk makluman, tujuan utama kami ke Pantai Timur itu adalah untuk melawat anak-anak kemudian membawa mereka pergi berjalan-jalan makan angin. Ketika itu sedang cuti sekolah... oleh kerana mereka tidak pernah pergi ke Terengganu, kami memilih untuk membawa mereka ke sana. Setelah mengambil mereka di rumah bapa saudara merangkap keluarga angkat mereka, kami terus berangkat dengan niat untuk terus ke Kuala Terengganu.

OK. Saya pun tak berapa ingat jalan yang diambil. Untuk pengetahuan ada dua laluan utama dari Kota Bahru untuk ke Kuala Terengganu... satu, jalan ke Tok Bali dan Kuala Besut terus menyusuri pantai, satu lagi jalan pendalaman melalui Jerteh dan Bandar Permaisuri.

Oh, baru ingat... oleh kerana kami mahu terus ke Kuala Terengganu, kami memilih jalan pendalaman. Tu yang sampai ke satu persimpangan membawa ke Tasik Kenyir, terus timbul gerak spontan untuk ke sana lebih-lebih lagi isteri tidak pernah sampai sedangkan kali terakhir saya betul-betul melihat Tasik Kenyir adalah dalam perjalanan solo menaiki motosikal besar keliling Semenanjung tahun 1997. Bersambung nanti...


p/s:
Pada jam 3 pagi tadi cukuplah anak saya Muhammad Al-Aminul Rasyid berumur 31 hari. Ya lah, dia lahir pada 13 Oktober lalu dan bulan Oktober ada 31 hari... :]


1 ulasan:

  1. Salam

    Ingin bertanya , benarkah Datuk Bahaman pejuang Pahang dibunuh? Bagaimana kisah ini terjadi? Dimana makam beliau sekarang? Bolehkah tuan tunjukkan?

    Terima kasih

    BalasPadam