Khamis, Ogos 27, 2009

Ke makam Sultan Malikus Salih - Dua sekolah pondok di Bireuen...

Alhamdulillah. Dapat beberapa mukasurat lagi mengaji tadi walaupun kepenatan dan sudah lewat malam malah sudahpun masuk pagi buta. Bersambung dari Ke makam Sultan Malikus Salih - kenapa pula deja vu lama di Makam Lapan? . Biar kita tutup terus sesi penulisan kali ini @ malam ini terus ya...


Mood penceritaan untuk artikel ini boleh juga dikira bersambung daripada artikel-artikel Inggeris The journey to Pekan Saree, a hillside small town of Aceh..., From Pekan Saree down to Sumatra's east coast... dan From Pidie on to Bireuen. Dari Makam Lapan kami berkejar untuk ke bandaraya Bireuen.


Kami sampai ke bandaraya ini hampir waktu senja...



Di sini sudah ada seorang kenalan Kak Ann menunggu. Orang yang pernah menjadi salah seorang panglima perang GAM (Gerakan Aceh Merdeka) ini akan menemani kami untuk perjalanan seterusnya...


Sebenarnya kenalan itu sudah menunggu kami sejak tengah hari lagi, apabila mendapat tahu kami akan menghala ke makam Sultan Malikus Salih yang memerlukan kami melalui Bireuen. Tetapi gerak hati Kak Ann menyuruh kami berlepas daripada Banda Aceh selepas jam 3 petang gitu, mungkin hampir jam 4... setelah cuaca kelihatan lebih redup dan elok untuknya memandu. Sedangkan untuk sampai ke Bireuen yang terletak sekitar 230 km ke tenggara Banda Aceh melalui jalan bukan lebuhraya yang adakalanya kurang cantik lagi berliku biasanya memakan masa tidak kurang 4 jam.



Apapun kami sempat sampai ke destinasi pertama kami di Bireuen sejurus sebelum masuk waktu Maghrib. Destinasi kami ini adalah sebuah dayah (bahasa Aceh) ataupun pesantren (bahasa Indonesia), atau kalau di Malaysia, agak sama dengan institusi sekolah pondok yang banyak mengajar agama dan turut menyelitkan unsur-unsur Tasawuf selain amalan tariqat tertentu dalam pelajarannya untuk anak-anak yang juga dipanggil para santri.




Di sini kami disambut tidak kurang daripada ulamak merangkap pengetua yang memegang dayah ini. Maklumlah, Kak Ann cukup dikenali golongan ulamak di Aceh kerana selain selalu mendampingi mereka, dia selalu memberikan sumbangan untuk pembangunan dayah.

Oh. Sebenarnya kami disambut lebih ramai orang lagi. Tetapi saya cuma mengambil gambar ketika kami betul-betul baru sampai, sedangkan ramai orang lain sedang bersiap-sedia untuk masuk waktu Maghrib ketika itu.




Ini adalah gambar selepas kami menikmati sedikit juadah yang sudah disediakan sekurang-kurangnya sejak 3 jam sebelum kami sampai. Di atas pangkin ini, pengetua yang dipanggil Teungku, satu panggilan kehormat orang Aceh untuk ulamak yang berperanan tinggi dalam masyarakat telah menghadiahkan saya sebiji batu cincin yang mereka temui dan canai sendiri.




Selepas masuk Isyak gitu baru kami meninggalkan dayah tadi. Kami masuk lebih jauh ke kawasan kampung untuk melawat sebuah lagi dayah, perlu melalui jalan gelap yang kurang rata. Tu yang jadi gambar cam ni... disebabkan kereta asyik bergegar sedangkan suasana yang gelap memerlukan exposure yang lama untuk kamera menangkap cahaya...




Kami sampai di dayah ini selepas jam 9 malam gitu...




Di sini kami disambut lebih meriah. Tidak kurang 50 tenaga pengajar dan pemimpin dayah berserta orang kampung sudah sedia menunggu, tidak dicampur para pelajar yang melihat dari dalam pondok-pondok tempat belajar...




Seperti di dayah sebelum tadi, makanan yang ada di sini, makanan dari hasil ternakan dan cucuk tanam sendiri telah disediakan sejak siang tadi menunggu kami datang yang asalnya dijangka jauh lebih awal. Selesai makan, kami berbual panjang tentang pelbagai perkara, daripada bab Tasawuf sampai ke sejarah Aceh... terkeluar juga cerita yang mengaitkan kemunculan Sultan Malikus Salih, bukan saya yang sebut tetapi Teungku atau ulamak pemimpin di sini yang sebut.

Ceritanya sama seperti kata-kata pembukaan yang ada dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari diri dan erti", cuma aturannya sahaja mungkin lain. Ketika itu, Teungku cuma menerangkan kenapa Aceh dikenali sebagai Serambi Mekah. Katanya orang tua-tua ada menyebut cerita bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda... copy and paste sahaja yek daripada buku saya, kata-kata yang diambil daripada kitab lama Hikayat Raja-raja Pasai ini...

“Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu, serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan menjadi wali Allah.”



Selepas jam 11 malam (atau dah masuk 12 malam?) baru kami berlepas meninggalkan Bireuen. Makam Sultan Malikus Salih di Geudong terletak sekitar 15 km di tenggara Lhokseumawe, bandaraya seterusnya yang kami perlu lalui sedangkan bandaraya itu sendiri terletak lebih sejam perjalanan. Apakah kami akan sampai ke sana awal pagi? Nanti kita sambung cerita ya!

Alhamdulillah, dapat juga melepaskan cerita sampai ke tahap ini setelah hampir 2 minggu terasa begitu liat dan berat untuk menyambung cerita-cerita tentang Aceh. Esok, eh... esok pulak. Dah awal pagi Khamis dah ni. Hari ini le... saya perlu berkelana jauh ke Pantai Timur, harus berada di sana beberapa hari. Insyaallah saya akan cuba sambung minggu depan ya. Selamat malam dan selamat bersahur untuk semua! Wassalam... :]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan