Khamis, Julai 02, 2009

Bismillahi rahman nir rahim, kasi selesai le aktiviti hari pertama di Aceh sampai habis!

Alhamdulillah! Setelah selesai membuat sejumlah artikel di blogspots BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) baru saya boleh menyambung cerita dari artikel Sampai ke Aceh setelah 5 tahun 5 bulan menunggu! Rupa-rupanya ada faktor 131 di sini... yang dibuat di sini hari Selasa. Mari! :]


Maka saya dan isteri pun masuk ke masjid terkenal, masjid paling utama di seluruh Aceh iaitu Masjid Raya Baiturrahman...


Adapun cerita-cerita tentang masjid ini dan bagaimana ia terselamat dari kesan Tsunami yang menyerang Aceh 26 Disember 2004 sudah banyak diperkatakan orang. Cukuplah saya sekadar mengenengahkan gambar-gambar seperti panel kayu berukir ini.



Asalnya memang saya bercadang untuk membuat satu artikel semata-mata untuk bercerita tentang masjid ini di sini. Tetapi apabila memikirkan saya sempat ke masjid ini beberapa kali, maka eloklah nanti saya buat satu artikel tersendiri tentangnya nanti melalui cerita pengalaman bersolat Jumaat di sana. Buat sementara ini anda boleh membaca cerita dan melihat gambar-gambar yang dipaparkan melalui artikel In and around the Baiturrahman mosque in Aceh... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan Masjid Raya (Main mosque of) Baiturrahman, Aceh di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Kemudian kami pergi ke tempat kebudayaan lagi bersejarah ini...


Di sini ada satu monumen lama menarik yang dipanggil sebagai Gunongan...



Di sebelahnya ada tinggalan bekas sebuah kolam seperti jacuzzi zaman dahulukala dengan air pancur yang pernah digunakan permaisuri raja...




'Jacuzzi' itu selalu digunakan oleh puteri Pahang, lebih dikenali di Aceh sebagai Putro Phang, isteri kepada Sultan Iskandar Muda (memerintah 1607-1636) sebelum baginda bermain-main di atas Gunongan. Sila lihat artikel Gunongan... di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)



Kemudian kami singgah di Muzium Tsunami yang baru siap ini...

Dalam perjalanan ke satu destinasi lain, kelihatan sebuah kapalterbang lama milik Indonesia yang kini menjadi pameran tetap untuk orang-ramai, kapalterbang pertama milik kerajaan itu. Untuk makluman, kapalterbang itu dibeli hasil sumbangan emas pakaian orang-orang Aceh... agar Sukarno dan orang-orangnya dapat terbang ke Belanda untuk berunding meminta kemerdekaan bagi wilayah luas yang pernah dijajah kuasa Barat itu, wilayah besar yang kemudian membentuk negara Indonesia.


Destinasi lain yang kami tuju itu adalah tempat mendaratnya sebuah kapal besar yang pernah dilambung ombak Tsunami sehingga bergerak lebih 5 batu dari laut. Kini kapal itu terus tinggal di situ menjadi satu monumen kenangan akan apa yang berlaku. Sila lihat artikel Remembering the Tsunami which ravaged Aceh in 2004... di BERPETUALANG KE ACEH.



Dahulu sebaik sahaja Tsunami tamat, seluruh kawasan sekeliling kapal itu menjadi padang jarak padang tekukur akibat bangunan-bangunan termasuk rumah dan kedai yang ada semua hancur dipukul ombak kuat. Begitu juga yang terjadi di hampir semua kawasan yang dilanda kecelakaan pada 26 Disember 2004 itu. Kalau tidak, manakan lebih 200,000 jiwa boleh terkorban dipukul ombak di wilayah yang dahulu sering dilanda konflik perang ini?

Maka buat beberapa lama tempat-tempat yang terlibat dipenuhi mayat-mayat mereput selain sampah-sarap dan sisa-sisa binaan yang pecah berlambak. Sekarang, lebih kurang empat tahun setengah kemudian keadaan nyata berubah. Tiada lagi kesan-kesan kecelakaan kecuali monumen-monumen seperti kapal yang terdampar sebagai ingatan juga sebahagian tanah yang kini menjadi laut. Sedangkan segala sampah-sarap sudah dibersihkan dan segala padang jarak padang tekukur (yang bukan dipenuhi air atau sengaja dijadikan tempat membiak ikan, udang atau menanam pokok bakau sebagai penebat hakisan) telah dipenuhi pelbagai rumah dan bangunan hasil binaan dan sumbangan 52 buah kerajaan dari pelbagai pelusuk dunia kalau tak salah ingatan!







Antara bangunan yang dibina adalah pusat kawalan dan amaran bencana seperti ini...

Seterusnya kami pergi ke satu kawasan yang dahulu antara yang paling teruk dilanda Tsunami. Lihat sekarang bagaimana keadaannya. Cantik bukan? Dan memang kawasan ini asalnya cantik lalu kembali cantik! Ingat tak satu lagu rakyat yang pernah dipopularkan P. Ramlee kalau tak salah ingatan? Bunyinya lebih kurang begini...


Ulele,
di kota raja,
boleh tak boleh,
ikut sahaja!


Untuk pengetahuan, Ulele ialah nama satu tempat di pinggir Banda Aceh dan berhadapan laut. Ejaan sebenarnya lebih pelik iaitu Uleelheue walaupun bunyinya memang Ulele. Dan itulah tempat yang gambarnya ditunjukkan di atas. Untuk melihat lebih banyak gambar, sila baca artikel The place called Uleelheue in Aceh di BERPETUALANG KE ACEH .


Uleelheue tahun 2004 boleh kata hancur semuanya akibat pukulan Tsunami. Tetapi dengan kuasa Allah, masjidnya selamat seperti hampir semua (saya sebut hampir ya sebab tak berani cakap apakah betul semua masjid di sana selamat) masjid yang dipukul ombak ganas itu di Aceh sedangkan kawasan sekelilingnya boleh jadi padang jarak padang tekukur! Kalau nak tahu, nama masjid ini ialah Baitul Rahim atau sebutan bersambungnya Baiturrahim. Sila lihat artikel Masjid (mosque of) Baiturrahim, Aceh di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .

Awal tadi kita sudah melihat Masjid Baiturrahman. Kemudian kita lihat Masjid Baiturrahim. Teringat pula ucapan... bismillahi rahman nir rahim. Ada apa-apa ke?




Yang ini saya tak ingat gambarnya diambil pasal apa. Yang saya ingat ia diambil dalam perjalanan kembali ke pusat Banda Aceh.





Walaupun hari sudah lewat petang, kami sempat meluangkan masa di sekitar Muzium Aceh. Lihat artikel-artikel di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ini...

Muzium (Museum of) Aceh dan loceng (and the bell of) Cakra Donya

Rumah tradisional Aceh (Aceh traditional house)




Di sana juga terdapat makam-makam yang dikatakan milik raja-raja Aceh dari keturunan Bugis. Sila lihat artikel Makam Raja-raja Dinasti Bugis (the tomb of kings from the Bugis dynasty) . Insyaallah selepas ini saya akan membuat satu artikel tersendiri tentang perkara tersebut di blogspot ini...




Seterusnya kami pergi ke kompleks makam Sultan Iskandar Muda, raja yang dianggap paling agung oleh kebanyakan orang Aceh. Kami sampai ke situ hampir waktu Maghrib! Tetapi saya rasa ada sesuatu yang tidak kena tentang makam ini. Sila lihat luahan rasa dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) , melalui artikel bertajuk Makam (tomb of) Sultan Iskandar Muda? . Sila lihat juga artikel Kompleks makam Meuh (Meuh tombs complex) ...





Selesai ziarah, kami pun mengorak langkah kembali ke tempat penginapan...








Sampai sahaja di hotel, kami berehat sebentar di tepi kolam renang.






Inilah hotel tempat kami menginap. Mungkin tidak sehebat hotel-hotel besar di Kuala Lumpur tetapi cukuplah ia sebagai satu-satunya hotel 4 bintang di Aceh. Cuma harganya boleh mengalahkan sesetengah hotel 5 bintang di KL kerana kos hidup dan harga barangan naik mendadak sehingga 5 kali ganda terutama di Banda Aceh selepas Tsunami disebabkan kemasukan begitu banyak orang luar terutama di bawah banyak NGO yang berusaha memulihkan Aceh samada secara jujur atau ada "udang sebalik mee".

Percaya atau tidak kos makanan dan kebanyakan barangan harian di sini sama malah melebihi Kuala Lumpur. Menurut kata orang kos kehidupan di Banda Aceh adalah yang tertinggi di seluruh Indonesia! Maka cukuplah saya dapat melepaskan aktiviti pada hari pertama berada di Aceh iaitu pada 15 Jun 2009 melalui tulisan kali ini. Sekarang biar saya solat Subuh dahulu. Kemudian akan saya buat cerita berkenaan raja keturunan Bugis yang memerintah Aceh. Zuuusss!!! :]

4 ulasan:

  1. Assalamualaikum tuan rumah! jauhnya merayau.. dari mekah sampai ke acheh... lepas ini ke mana pula?

    BalasPadam
  2. alhamdulilah.Semakin bahagia tuan umah kiter ni.

    BalasPadam
  3. Wassalam semua. Dah Allah gerakkan gitu, ikut aje le... lepas ni ke mana pun kita tak tahu. Macam hujung minggu lalu, niat nak balik kampung je di Muar kemudian balik rumah sendiri je. Tengok-tengok dalam perjalanan singgah di Masjid Kampung Hulu kemudian makam Sheikh Shamsuddin di Melaka dan jadi satu cerita lain pula kat sana.
    Pagi Ahad pula adik ajak satu keluarga mandi-mandi di Gunung Ledang. Dari situ tergerak pula saya dan isteri pergi ke Kampung Pengkalan Kota, Bukit Kepong seterusnya Segamat. Kemudian boleh pula ke Jelai, Negeri Sembilan seterusnya Bahau dan Jalan Penarikan. Terambik pula jalan ke Batu Kikir, dah singgah Teratak Za'abah...

    Malam solat di Masjid Tuan Tulis di Tanjung Ipoh kat Kuala Pilah lalu pulak ke Bukit Putus untuk ke Seremban terus ambik jalan lama lalu Beranang dan Semenyih, singgah makan satay Kajang.
    Kesimpulannya... tak boleh nak kata le lepas ni kita ke mana sebab dah bagi rancangan tu kembali ke tangan Allah bukan rancangan sendiri! Kalau rancang sendiri belum tentu jadi. Pegi Mekah dan Madinah memang takda duit langsung tapi sampai gak dengan selesa dan poket berisi. Pegi Aceh duit budget gila tapi last-last dapat gak pegi semua tempat yang patut, siap duduk hotel paling mewah, ada kereta elok ngan pemandu @ guide sekali! :]

    BalasPadam
  4. Rancak berjalan rupanya. Time kasih kongsikan dengan kami. Kami nak pegi, tak de kederat. Selamat pada anda bro, hati2 diperjalanan.

    BalasPadam