Rabu, Januari 07, 2009

Tugu peringatan di Sepang?

OK. Sukacita dimaklumkan saya baru sahaja pagi tadi menamatkan perjalanan ke Pantai Timur bersama isteri. Semalam kami bermalam di Janda Baik, Pahang sebelum kembali ke Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Di sini biar saya menyambung gerak melepaskan cerita tentang perjalanan ke selatan yang dibuat minggu lalu ya. Sepatutnya segala ini telah selesai di Kelantan tiga hari lalu tetapi line Internet cyber-cafe di Nilam Puri (bersebelahan Masjid Kampung Laut) pula tersangkut setelah saya membuat posting Pameran menyingkap misteri Pulau Besar

Semasa dalam perjalanan melalui pekan Sepang yang terletak berhampiran sempadan negeri Selangor-Negeri Sembilan, tiba-tiba isteri saya ternampak batu ini. Aitt? Selama ini tak pernah perasan pun padahal saya sudah lalu kawasan ini tidak kurang 5 kali dan isteri pula berpuluh kali kerana Sepang terletak di laluan untuk kembali ke kampungnya, jika mengambil jalan dari belah Kajang, Bangi mahupun Nilai.


Ini membuat kami tertanya-tanya batu apakah ini lalu saya pergi lebih dekat lagi. Kelihatan samar-samar tulisan "tugu" dan satu perkataan lain yang saya tidak dapat pastikan apa. Ah, batu apa ini?

Kami jadi lebih tertanya-tanya kerana ketika itu kami sedang menuju ke Putrajaya dengan niat untuk ke Presint 4, berhenti sebentar di hadapan sebuah bukit yang pernah dipaparkan dalam TV3 sebagai pusat sebuah kerajaan Melayu purba. Kami merancang mahu ke situ sebelum bersolat Maghrib dan berzikir serta berdoa untuk masuk Ma'al Hijrah atau tahun baru.

Kami pernah pergi ke bukit yang dimaksudkan 2 kali sebelum itu. Terasa pula batu di hadapan masjid Sepang ini ada kena-mengena. Ya ke atau kami sahaja yang fikir lebih-lebih?

Saya membuat keputusan untuk singgah ke masjid bertanyakan tentang batu itu. Bila tanya orang-orang di luar, semuanya tak tahu apa-apa. Nak tanya orang dalam masjid, pak imam dan bilal pula mereka baru sahaja tamat solat Asar... bila ditunggu tak keluar-keluar dan saya pun tak mahu jadi tak pasal-pasal masuk dalam bertanyakan tentang batu itu, kami pun keluar. Lagipun kami perlu bergegar ke Putrajaya.
Oh, terlupa pula. Semasa berlegar-legar di serambi masjid menunggu jemaah keluar, saya terlihat tulisan di atas pada dinding luar. Kebetulan memang semasa itu ada sedikit rasa dukacita dalam hati memikirkan tentang hutang dan belanjawan akan datang. Lalu saya tergerak untuk mengambil gambar ini.

Di sini terasa pula mahu menyatakan cerita tentang segala ini. Harap-harap ada le orang boleh menerangkan apa cerita di sebalik batu ini. Selamats! :]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan