Selasa, Oktober 14, 2008

Penat lelah mengangkut 2,200 buku dari pintu belakang tingkat 2 bangunan dan pembayaran secara on-line...

Gambar lama daripada artikel Kat beauty saloon pun ada BKA woo!!! yang dibuat Mei tahun lepas...



Ingat artikel Kat beauty saloon pun ada BKA woo!!! yang pernah dibuat semasa siri buku "Berpetualang ke Aceh" dalam proses pertengahan baru nak menapak? Sejak itu, saloon yang dimaksudkan telah menjadi tempat utama saya menyimpan baki stok buku yang ada. Maklumlah, saya bukan ada rumah milik sendiri... saya cuma hidup menumpang di rumah orang, seringkali pula keluar mengembara ke sana ke mari tanpa arah yang pasti.

Sekarang, alhamdulillah. Setelah selesai menyajikan ketiga-tiga buku dalam trilogi siri novel "Berpetualang ke Aceh" iaitu buku satu dengan sub-title "Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006), buku dua "Membela Syiar yang Asal (terbit Mei 2007) dan "Sirih Pulang ke Gagang?" (November 2007), kehidupan saya mula menjadi stabil... kiranya nak jadi manusia bertamadun balik le selepas lama hidup merempat tak tentu arah macam orang hutan musafir kelana tanpa tujuan.

Semalam, saya telah mengalihkan baki stok buku hampir 2,200 naskah daripada bahagian belakang saloon yang terletak di Bandar Tasik Selatan ke satu lokasi agak jauh tetapi lebih menyenangkan. Walaupun saya pernah seorang diri mengangkut 2,000 buku dari sebuah lori kecil di tingkat bawah untuk naik dan diatur di belakang saloon di tingkat 2, walaupun saya juga pernah mengangkut sendiri 850 naskah buku ke tingkat 17 pejabat Perpustakaan Negara dari tempat letak kereta di tingkat ketiga bawah tanah juga membawa turun 1,000 buku dari saloon masuk ke van untuk di bawah ke gudang simpanan perpustakaan, tiada yang lebih penat daripada cabaran mengalihkan buku semalam.

Sebabnya, dahulu saya dapat mengalihkan buku dengan menggunakan trolley, dan ada kerjasama pihak-pihak berkenaan yang sekurang-kurangnya sedia membuka pintu dan memudahkan laluan. Semalam, disebabkan hal tertentu melibatkan urusan perniagaan yang gagal antara satu pihak dengan pihak lain yang rapat dengan saya, saya terpaksa mengalihkan buku melalui pintu belakang tingkat 2 bangunan melalui 6-7 set anak tangga dalam satu ruangan yang sempit di dalam satu kegelapan (akibat lampu dalam bangunan rosak) yang cuma dapat diterangkan dengan lampu kereta yang disuluh masuk ke tingkat bawah!

Bayangkan mahu mengalih hampir 2,200 buku yang berat keseluruhannya hampir 1 tan metrik dengan kudrat lengan tangan dan sokongan pinggang sahaja melalui 6-7 set anak tangga dalam keadaan begitu. Hujan lebat sehingga jam 9.30 malam pula hampir membatalkan rancangan.

Nasib baik ada pertolongan pembaca blogspot saudara Raizul yang sudi berganding tenaga seraya sanggup menawarkan pengunaan kenderaan hi-lux nya untuk mengalihkan buku. Nasib baik juga pihak pemilik bangunan sudi membukakan kunci pintu belakang.

Dengan sedikit kudrat yang ada serta berbekalkan keyakinan serta tawakal pada Allah SWT kami berdua pun mula mengalih buku dari satu tingkat anak tangga turun ke tingkat seterusnya. Alhamdulillah, berjaya juga diselesaikan kerja yang pada mulanya kelihatan sedikit mustahil. Dan kini lebih senang untuk saya mendapatkan stok buku apabila timbul permintaan baru.

Maka di sini biar dimaklumkan. Siri buku "Berpetualang ke Aceh" tidak lagi dijual di saloon berkenaan. Apapun, saya tetap berterimakasih kepada pihak mereka kerana telah membenarkan saya menumpang buku di bahagian belakang saloon, walaupun bahagian belakang itu sebenarnya berada di bawah pengawasan pihak pemilik bangunan, bukan hak saloon pun.

Selain itu, baru-baru ini seorang pembaca telah mengambil inisiatif sendiri membuat belian DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dengan bertanyakan nombor akaun Affin Islamic Bank milik saya, satu-satunya bank yang saya langgani kini lalu membuat bayaran secara on-line. Alhamdulillah tidak lama kemudian saya dapati pembayaran itu disahkan melalui e-mail saya bermakna kini anda semua boleh membuat bayaran untuk membeli buku mahupun DVD secara on-line... tanpa saya perlu membuka akaun baru di Maybank dan sebagainya.

Dengan itu, pada sesiapa yang terasa jenuh hendak membeli apa-apa hasil terbitan syarikat saya Wasilah Merah Silu Enterprise melalui wang pos mahupun susah bertemu, boleh le membuat pesanan melalui SMS di nombor telefon 013-3082131 diikuti pembayaran on-line ke akaun Affin Bank.

Sila semak, ia masuk ke akaun

Mohd. Fahrulradzi b Mohamad Sapiee,

nombor akaun Affin Islamic Bank : 20-530-011171-1

Sekian! :]


p/s: Semalam petang saya juga sudah mengepos sejumlah DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874". Kepada mereka yang berkenaan, insyaallah ia akan sampai ke tangan anda dalam tempoh 4-5 hari waktu pejabat. Selamat menonton! :]




Tiada ulasan:

Catat Ulasan