Rabu, Mei 21, 2008

Dari Raub terus ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Pesta Buku Antarabangsa 2008... Tamatnya pengembaraan terbaru ke Pantai Timur juga kembara Post-BKA!

Hmm... Ada semacam perasaan yang berat serta sedikit sayu untuk memulakan penulisan posting kali ini... Mungkin kerana ia adalah artikel penamat bagi siri pengembaraan terbaru saya ke Pantai Timur yang sudah selesai lebih sebulan lalu... Malah ia adalah artikel penamat kepada siri pengembaraan "post-BKA" atau pengembaraan-pengembaraan yang dibuat setelah selesai menyajikan ketiga-tiga buku dalam siri trilogi "Berpetualang ke Aceh" dengan sub-titles "Mencari Diri dan Erti" (BKA I), "Membela Syiar yang Asal" (BKA II) dan "Sirih Pulang ke Gagang?" (BKA III)... Siri pengembaraan yang meliputi lokasi-lokasi tertentu di Selatan termasuk setiap daerah di negeri Johor, Utara (Perak dan Kedah) seterusnya Pantai Timur (Pahang, Terengganu dan Kelantan) melalui Jalan Penarikan, sebuah jalan perhubungan dahulu-kala di Negeri Sembilan!

Sat... Kena main minesweeper sampai puas kot sebelum dapat menyambung cerita? Relaks sat...

-----------------------

OK... Setelah beberapa kali "meletup" main minesweeper tetapi dapat juga menghabiskan beberapa sessi dengan jayanya, barulah boleh disambung cerita...

Setelah selesai menziarahi makam Raja Ahmad di Kampung Relong, saya terpaksa berjalan kaki sedikit untuk ke Kuala Lipis. Alhamdulillah, sekitar 2-3 km kemudian saya dapat hitchike menumpang sebuah bas yang sudah tamat perkhidmatan untuk hari itu lalu diturunkan di jalan luar pekan Kuala Lipis, jalan menghala ke Raub juga untuk ke Kelantan...

Di sana, walau dalam keadaan hujan lebat yang menyebabkan saya basah kuyup, Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan bas pukul 7 petang Kuala Lipis ke Raub... Dapat menukar baju di dalam bas dan selamat sampai sampai sekitar 8.30 malam begitu.

Saya turun di Taman Amelina untuk pergi ke rumah seorang sepupu. Ingatkan dapat terus berehat, rupa-rupanya tengah malam itu kena menolongnya mengalihkan sebuah kereta yang rosak teruk akibat kemalangan, dibawa oleh adik iparnya yang suka mabuk dan ada masalah penyalahgunaan dadah.

Apapun, malam itu juga saya dihantar ke rumah almarhum Nenek dan bermalam di situ. Dipendekkan cerita, malam berikutnya saya bermalam di situ lagi tetapi sebelum itu, pada waktu tengah malam juga, saya harus menolong sepupu saya sekali lagi mengalihkan kereta rosak yang sama tetapi ke tempat lain yang lebih jauh pula akibat tempat ia pertama kali dialih tidak lagi selamat... Seorang kenalan sepupu yang mencadangkan agar kereta itu dialih ke hadapan rumahnya malam sebelum itu rupa-rupanya mahu mengambil kesempatan... Dia seorang pomen sambilan lalu menggunakan peluang itu untuk meminta agar kereta rosak itu dijual murah kepadanya... Malah, rupa-rupanya siang itu dia sempat mengambil beberapa barangan spare-part daripada kereta untuk diniagakan... Nasib baik sepupu saya cepat sedar dan memperbetulkan keadaan...

Adapun beberapa gambar sekitar Raub telah saya letakkan di blogspot saya yang lain... Setelah menziarahi makam almarhum Nenek (gambarnya di bawah ini), saya pun mendapat "isyarat" agar terus kembali ke Kuala Lumpur... Tidak perlu lagi singgah di mana-mana tempat seperti Bentong dan Janda Baik sepertimana biasa saya buat apabila mahu bergerak daripada Raub ke Kuala Lumpur... Supaya saya dapat menghadiri Pesta Buku Antarabangsa 2008 di PWTC yang sudah bermula ketika itu.

Saya kembali ke Kuala Lumpur hari Rabu 9 April 2008. Tetapi saya berehat dahulu di Kajang... Hari Sabtu, 12 April baru tergerak untuk pergi ke Pesta Buku... Bersama rakan baik saya Zaidi @ Perpatih Tulus...

Dalam gambar terakhir di posting ini, kelihatan Zaidi sedang tersenyum bergambar bersama sasterawan negara Pak Samad Said yang ditemui di Pesta Buku. Saya pula gembira dapat berjumpa lagi Pak Samad dan menghadiahkan siri buku "Berpetualang ke Aceh"... Ini kerana saya ada berjanji akan memberi ketiga-tiga buku apabila bertemu lagi... Sejak mula mengenalinya serta bertukar-tukar cerita ketika menghadiri sebuah majlis sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka lebih sebulan sebelum itu, majlis yang menyebabkan saya terpaksa menunda perjalanan ke Pantai Timur sehingga sekitar 2 minggu kemudian!

Apapun, selesailah proses penyampaian cerita berkenaan pengembaraan terbaru ke Pantai Timur... Insyaallah selepas ini akan disajikan cerita-cerita lain pula... Antara yang sedang difikirkan, cerita bergambar perjalanan melawat makam-makam di Singapura penghujung tahun 2006 serta umrah di Mekah dan ziarah di Madinah tahun 2005.

Tetapi sebelum itu, biarlah dilepaskan nanti sedikit cerita perjalanan sekitar Negeri Sembilan yang dibuat Ahad baru ini... Pertama kali penceritaan dibuat dalam bentuk video ala majalah atau dokumentari pengembaraan di TV...

Insyaallah nanti, akan saya buat juga siri cerita nostalgia zaman kolej "A" Levels untuk blogspot saya yang lain iaitu dalam bahasa Inggeris. Ini kerana perjumpaan bersama kawan-kawan lama sebilik di kolej iaitu ahli-ahli bilik 51C hampir 2 minggu lalu masih terngiang-ngiang di kepala... Sekian! :]









Tiada ulasan:

Catat Ulasan