Jumaat, Mei 25, 2007

Pelancaran buku BKA di Khazanah Fathaniyah 9 Jun Sabtu?

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Sukacita dimaklumkan bahawa saya sudah mendapat persetujuan orang kanan Khazanah Fathaniyah iaitu Ustaz Halim dan Ustaz Azrul untuk mengadakan majlis pelancaran buku "Berpetualang ke Aceh" di kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit pada 9 Jun hari Sabtu selepas solat Zuhur sekitar jam 2 atau 2.30 petang. Sekarang, saya cuma perlu mendapatkan persetujuan ahli keluarga almarhum Ustaz Wan Saghir, barulah betul-betul confirm.
Adapun majlis ini dibuat atas cadangan seorang pembaca di blogspot ini yang mencadangkan agar saya muncul di Khazanah Fathaniyah pada satu tarikh yang akan diumumkan agar para pembaca buku BKA dapat bersua muka dan beramah mesra. Cadangan ini dibuat setelah saya mengumumkan buku kedua "Berpetualang ke Aceh" yang mempunyai sub-title "Membela Syiar yang Asal" baru siap dicetak Isnin 14 Jun.
Kebetulan buku pertama BKA dengan sub-title "Mencari Diri dan Erti" yang telah memasuki pasaran sejak Jun 2006 tidak pernah dilancarkan di mana-mana, maka elok diambil peluang ini untuk melancarkan kedua-dua buku sekali. Kebetulan juga almarhum Ustaz Wan Saghir yang mengasaskan Khazanah Fathaniyah baru sahaja melepasi tempoh 40 hari selepas meninggalkan alam yang fana' ini, elok juga majlis ini digunakan untuk memperingati jasa-jasa serta perjuangan beliau untuk memartabatkan ulama Melayu dahulukala di samping memperkenalkan karya-karya beliau seperti transliterasi kitab lama kepada khalayak yang lebih besar, Insyaallah.
Hmm... Alang-alang sudah bercerita, ingin saya membuat sedikit pengumuman di sini (sementara sempat lagi)... Tadi Ustaz Halim telah menghantar SMS kepada saya yang berbunyi begini:
Tahlil arwah untuk al-marhum Syeikh Wan Muhammad Shaghir Abdullah ar-Riawi al-Fathani pada 26.5.07 Sabtu, bermula jam 9.00 malam di Dewan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Taman Melewar, KL. Semua dijemput hadir. Tk. Info PENGKAJI
Saya rasa jemputan ini bersifat umum. Saya tak pasti di manakah dewan ini kerana sudah lama tidak bertandang ke kawasan Taman Melewar. Yang saya pasti, ia tidak jauh daripada markas Pas di Jalan Gombak, maka Insyaallah saya akan menghadiri majlis ini. Mungkin para pembaca pun boleh turut serta?
p/s: Pada sesiapa yang tertanya-tanya, apakah kaitan saya dengan Khazanah Fathaniyah, sila klik di sini... Ustaz Wan Saghir, Khazanah Fathaniyah, perjuangan ...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan