Salam. Hari ini sudah 13 hari orang Islam di Malaysia berpuasa bulan Ramadan. Namun ada juga telah berpuasa tambah satu hari seperti saya. Ini disebabkan berada di Mekah ketika tarikh 1 Ramadan bermula di Tanah Arab, Selasa malam Rabu 17 Februari, sehari awal berbanding di Malaysia. Sekarang biar pergi pada cerita hari ke-3 perjalanan. Bersambung daripada artikel Umrah sekeluarga 2026 - Sehari di Istanbul.
Selepas tengah malam merangkap awal pagi Rabu 11 Februari 2026, setelah hampir 5 jam berlepas dari Istanbul kelihatanlah bandar raya Jeddah dari tingkap pesawat.
Mendarat di lapangan terbang hampir jam 1. Ambil masa untuk melepasi pemeriksaan imigresyen kemudian mendapatkan bag.
Gambar ini diambil jam 2.26 pagi waktu Tanah Arab, sama waktu seperti di Istanbul, 5 jam lewat berbanding Malaysia. Van kami sampai lalu hendak memasukkan bag.
Terus bergegas ke Mekah sekitar 85 km perjalanan.
Sampai ke hotel menunggu lama untuk mendapatkan bilik.
Lebih sejam menunggu ternyata belum ada bilik kosong. Kami dinasihatkan pergi menunaikan umrah terlebih dahulu. Kami pun dah berada dalam keadaann ihram, miqat ketika dalam pesawat. Naiklah bas percuma dari perhentian di seberang hotel.
Turun sebelum perkarangan masjid jam 4.55 pagi. Masih ada hampir sejam sebelum masuk waktu Subuh.
Itupun apabila mendekati masjid didapati pintu-pintu terdekat untuk menghampiri Ka'abah telah diletakkan penghadang. Kena berjalan jauh masuk ke pintu utama.

Gambar ini diambil jam 8.34 pagi. Berehat di satu bahagian masjid selepas selesai menunaikan umrah. Oh. Saya bersama tiga anak lelaki telah berpecah dengan isteri dan anak perempuan sejak sebelum masuk masjid. Janji berjumpa kembali di hotel jam 10.
Ini pula dalam lingkungan apa yang dipercayai sebagai lot tanah seluas hampir setengah ekar yang dibeli oleh moyang, atau lebih tepat moyang kepada datuk saya, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin sekitar 130 tahun lalu. Tanah telah diambil oleh kerajaan Arab untuk projek pembesaran Masjidil Haram yang bermula tahun 2008. Kami anak cucu sedang dalam proses untuk mendapatkan pampasan. Tetapi kena selesai terlebih dahulu hal-hal berkenaan di mahkamah Malaysia. Rujuk artikel lama
Perbicaraan hak faraid harta Laksamana Muhammad Amin dan hal-hal berkaitan.
Hampir masuk waktu Zohor saya ke Masjidil Haram lagi. Ini adalah selepas kembali ke hotel mendapat bilik lalu berehat. Saya pergi seorang diri.
Ketika umrah bersama anak-anak ada tawaf berdekatan Ka'abah tapi tak ambil gambar. Kali ini baru ambil, selepas tawaf sunat.
Saya mengambil tempat di luar hijir Ismail lalu solat berjemaah Zohor di sana. Berlegar lama di sekitar. Sempatlah menyentuh Ka'abah.