Salam petang Jumaat kedua bulan Sya'aban. Jumaat lalu saya telah menulis dan mempersembahkan artikel Tentang kemahiran menafsir untuk menceritakan tentang majlis ilmu yang berlangsung di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pagi itu. Ini pula adalah tentang majlis ilmu seterusnya yang berlangsung di institusi sama petang semalam.
Majlis kali ini diberi tajuk yang boleh diterjemahkan sebagai "Mengingati Ahmad Adam : Sejarawan dan ahli mengkaji Indonesia". Ia merujuk pada almarhum Profesor Emeritus Ahmat Adam yang meninggal dunia pada 3 November 2025, pada usia lebih 84 tahun.
Untuk itu sejumlah pembentang akan bercakap tentang tokoh.
Saya sampai ke ISTAC jam 2 petang Khamis 29 Januari 2026 dalam keadaan perjalanan 2 hari kebelakangan di mana saya memandu hampir 900 km masih terasa. Lihat Ke JB secara impromptu dan "Merah Silu Live" ke-21.
Selepas menunaikan solat kemudian beriktikaf juga menyambung bacaan Al-Quran bagi proses pengkhataman bulan Sya'aban baru ke dewan untuk majlis yang bermula jam 2.30.
Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican yang mengetuai unit Tamadun Melayu di ISTAC memperkenalkan majlis. Beliau yang bertindak sebagai convener iaitu penganjur menyatakan Ahmat Adam sebagai tokoh yang patut diraikan. Diceritakan bagaimana semenjak almarhum meninggal dunia kurang 3 bulan lalu telah difikirkan mahu menganjurkan majlis. Akhirnya baru jadi...
Di sini tak perlulah dinyatakan biodata atau kredibiliti Ahmat Adam. Almarhum cukup dikenali sebagai seorang intelektual negara. Rektor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa) Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar mengambil tempat sebagai pembentang pertama. Diceritakanlah beliau mengenali Ahmat ketika sama-sama belajar di London tahun 60an. Kedua-duanya aktif dalam kalangan pelajar Malaysia memikirkan hal-hal kenegaraan dan nasib bangsa.
Pembentang kedua Profesor Dr Zaid Ahmad, seorang pensyarah UIAM, menceritakan pengalaman mengenali Ahmat sejak hadir sebagai anak murid dalam satu kelas pada tahun 1980an. Beliau melihat almarhum sebagai seorang yang gigih mengkaji lalu mempertahankan integriti keilmuan.
Pembentang ketiga, Profesor Dr Mohd Samsudin, timbalan pengerusi jawatankuasa eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia menyatakan hal serupa. Cuma jika Zaid pernah mengikuti satu sahaja kelas, Mohd memang anak murid Ahmat sepanjang membuat ijazah pertama di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) tahun 1980an.
Pembentang keempat, Dr Siti Hadija Mohd, pembantu profesor di Jabatan Sejarah, UIAM pula mengaku mengenali Ahmat dari jauh.
Beliau yang kelihatan dua dekad lebih muda daripada dua pembentang sebelumnya adalah satu-satunya pembentang yang mengemukakan sejumlah slaid.
Hadija menyatakan diri sebagai generasi kemudian sejarawan yang cuma dapat mengikuti pemikiran almarhum melalui penulisan, syarahan umum dan sebagainya.
Sifat-sifat almarhum dalam menanggapi ilmu dilihat sebagai contoh yang patut diikuti para sejarawan kemudian.
Beliau menyatakan ada menulis satu bab buku yang didekasikan kepada almarhum.
Seterusnya Murad Merican bercakap lagi, kali ini sebagai pembentang kelima.
Ditunjukkan gambar beberapa buku tulisan almarhum. Dinyatakan buku bertajuk "Suara Minangkabau" menarik minat untuk berhubung lalu selalu bertukar fikiran. Dinyatakan Ahmat sebagai seorang sejarawan intelektual dan ahli falsafah bidang. Disebut almarhum sebagai seorang Indonesianist (seperti terpapar pada tajuk majlis, saya terjemahkan sebagai ahli mengkaji Indonesia) kerana banyak mengkaji tentang hal pulau Jawa dan struktur masyarakat lalu memberitahu umum.
Pembentang keenam, Profesor Madya Dr Mehmet Ozay dari ISTAC merupakan satu-satunya bangsa asing berkongsi pengalaman. Berasal dari Turki tapi kemudian berumahtangga dengan wanita Aceh beliau menyatakan mula berhubung lalu mengenali Ahmat 3 tahun lalu untuk kajian tentang Sumatera Utara.
Pembentang ketujuh dan terakhir, saudara Imran Hidayat pula berkongsi pengalaman sebagai anak. Sifat tegas ayahandanya dalam memartabatkan ilmu sudah disebut pembentang-pembentang lain, Lalu beliau kelihatan lebih meluahkan rasa tentang bagaimana susahnya membesarkan dalam bayangan bapa yang dianggap sebagai seorang tokoh ilmuwan besar sebelum dapat menentukan hala tuju hidup sendiri dengan penuh keyakinan. Untuk mengikuti sendiri majlis sila tonton rakaman di bawah...
Saya sendiri telah mengenali almarhum selewatnya tahun 2011, kerana selalu terserempak di majlis ilmu. Dalam beberapa majlis kelihatan beliau 'bertekak' dengan sejarawan-sejarawan lain, agak selalu juga dengan Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali, tokoh yang dianggap guru utama saya dalam dunia kajian sejarah. Ada sekali itu terserempak di UKM ketika berjalan kaki untuk menunaikan solat Jumaat di masjid selepas menghadiri satu majlis. Beri salam pun tidak, helo pun tidak tiba-tiba sahaja dengan suara lantang beliau menyebut Hang Tuah tidak wujud. Nampaknya itu reaksi akibat melihat saya memakai busana tradisional Melayu penuh, bersampin, bertanjak dan berkeris. Lihat tulisan-tulisan lama saya melibatkan almarhum.
Empat artikel melibatkan Ahmat sebagai pembentang utama, satu sebagai seorang daripada ramai pembentang, satu sebagai hadiran terhormat, dan satu yang nama dan kata-kata almarhum dipetik untuk menguatkan dakwaan seorang pembentang.
Salam. Cerita perjalanan terbaru yang dilakukan secara impromptu iaitu tiba-tiba.
Petang Selasa 27 Januari 2026. Selepas menghadiri mesyuarat di Perpustakaan Tun Uda di Shah Alam, saya dan isteri bergegas untuk ke selatan.
Terus masuk ke Lebuh Raya PLUS sebelum keluar melalui tol Bukit Gambir. Terlihat pemandangan menarik Gunung Ledang dari Sawah Ring.
Asalnya bercadang untuk makan tengah hari (lewat) di perhentian Pagoh belah selatan. Tetapi apabila mendapati Google Map menunjukkan ada kesesakan di satu bahagian sebelum perhentian itu yang keluar di Bukit Gambir. Bertukar lokasi makan di Panchor, tepian Sungai Muar.
Selepas itu masuk kembali ke Lebuh Raya PLUS melalui tol Pagoh yang terletak sebelum perhentian. Terus ke Johor Bahru...
Sebetulnya perjalanan kali ini bermula petang Isnin 26 Januari apabila meninggalkan rumah di Bandar Sungai Buaya untuk bermalam di rumah makcik di Petaling Jaya. Ini supaya dapat menyantuni makcik juga seorang lagi adik ibu yang datang bertandang, sebelum bermesyuarat di Shah Alam pagi Selasa. Ketika di rumah makcik mendapat tahu bapa mahu saya menziarahi adik yang sedang terlantar dalam hospital di JB akibat kanser. Itu yang bergegas pergi selepas mesyuarat. Kalau tidak tentu kami berlegar di sekitar Lembah Klang.
Di hospital juga dapat bertemu adik bongsu yang merupakan pakar bius, ketika menunggu pesakit masuk ke dewan bedah. Dalam perjalanan meninggalkan hospital ternampak papan tanda menunjuk arah ke makam diraja Johor. Singgahlah untuk menziarahi makam Sultan ke-25 Perak, Sultan Ismail (bertakhta 1871-1874) yang dibuang negeri ke Johor Bahru... selepas kekalahan pejuang Melayu Perak menentang British, susulan daripada pembunuhan Residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch 2 November 1875.
Selepas itu layan makan kacang pool di medan selera Larkin. Ketika itulah baru teringat sepatutnya malam itu diadakan edisi ke-21 "Merah Silu Live" melalui Tiktok.
Walaupun masih dalam perjalanan dapat juga dicari tempat untuk melaksanakan. Cuma dipendekkan menjadi kurang setengah jam berbanding kebiasaan sejam sehingga dua jam setengah. Ini disebabkan talian Internet kurang lancar selain mahu cepat sampai ke rumah orang tua di Muar. Pun begitu sempat berkongsi satu cerita pengembaraan sehingga selesai. Menurut giliran dalam Senarai 171 perjalanan menurut kronologi dari tahun 1989 hingga 2021 adalah seperti berikut :-
Selesai itu bergegaslah ke rumah orang tua lalu bermalam. Pagi Rabu 28 Januari membawa keluar berjalan-jalan ke beberapa tempat termasuk menziarahi makam ibu yang baru kembali ke rahmatullah sebulan lebih lalu. Lihat Kembalinya bonda tersayang ke rahmatullah.
Jam 4 petang baru meninggalkan Muar untuk menuju kembali ke Lembah Klang.
Hampir ke sempadan negeri Melaka teringat baru ini terbaca tentang makam seorang tokoh yang menurut sesetengah pihak adalah ayahanda kepada Raja Ahmad yang menurunkan Sultan-sultan Perak sejak hampir dua abad kebelakangan. Kami pun mencari dalam satu kawasan ladang kelapa sawit dan belukar. Alhamdulillah, jumpa. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) :-
Dalam artikel Dari Batu Belah ke Ampang ke Kuala Kubu yang dipersembahkan 18 Januari ada disebut bahawa pada hari sebelumnya saya dan isteri ada pergi ke pejabat/bangunan Habib Jewel untuk satu acara seni. Tengah hari Sabtu 24 Januari 2026 pergi lagi untuk acara seni.
Kali ini lebih ilmiah kerana ia adalah pembentangan tentang perkembangan semasa koreografi berasaskan tarian tradisional Melayu.
Dibuat perbandingan perkembangan di tiga buah negara.
Perkembangan di Indonesia dilihat berlatarbelakangkan keadaan yang mana Melayu dilihat sebagai salah satu etnik dalam negara yang lebih menjunjung nilai orang Jawa.
Di Singapura, perkembangan adalah berdasarkan fakta Melayu adalah bangsa minoriti yang harus mendapatkan tempat dalam arus semasa modernisasi.
Di Malaysia pula Melayu adalah majoriti yang secara definisinya merangkumi etnik seperti Jawa dan Bugis. Namun tetap ada cabaran tersendiri.
Secara rata koreografi berasaskan tarian tradisional Melayu di Indonesia dilihat sebagai usaha pendidikan umum, di Singapura sebagai satu negosiasi/rundingan perjuangan bangsa sementara di Malaysia sebagai satu tafsiran infrastruktur perkembangan semasa.
Petang jam 2 diadakan bengkel bermain gendang kaum Punjabi.
Ditunjukkan sedikit asas permainan dan demonstrasi.