Salam pagi Jumaat pertama Safar. Daripada cerita-cerita perjalanan kemudian hal komputer riba beralih kepada majlis ilmu.
Petang Khamis 16 Julai 2026 pergi ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), buat pertama kali bagi bulan Julai, juga pertama kali bagi bulan Islam Safar tahun ini (hari itu adalah 1 Safar).
Poster bagi majlis. Memang ingin hadir sejak awal melihatnya lebih sebulan lalu. Tajuk yang boleh diterjemahkan sebagai "Membaca Melayu dalam Andaya dan Milner - Dinamika Kesedaran Bangsa" menepati minat saya. Ia adalah tentang bagaimana tokoh-tokoh cendekiawan terkenal luar negara, Leonard Andaya dan Anthony Milner membahas dan menghuraikan tentang makna Melayu melalui buku masing-masing "Leave of the Same Tree" dan "The Malays".
Tengok-tengok Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah pun hadir.
Professor Dato' Dr Ahmad Murad Merican yang merupakan penyelia tesis Sarjana Tunku Azizah di ISTAC (ya, baginda kembali menjadi pelajar walaupun memegang kedudukan sebagai Canselor UIAM iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, sedangkan ISTAC berada di bawah UIAM) membentang tanpa menggunakan slaid. Alasannya, memaparkan slaid mengganggu cara penyampaian yang hendak dihidupkan iaitu tradisi lisan. Disebutlah bagaimana sarjana-sarjana British dahulu mengumpulkan banyak maklumat yang dijadikan jurnal setelah mengorek cerita-cerita lisan tempatan kemudian mencatatkan. Itulah yang dijadikan rujukan para akademik kemudian.
Diberikan latar belakang tentang bagaimana dalam memaknai apa itu Melayu sendiri terdapat pelbagai cabang dan hujah malah ada yang saling menentang. Pada kala ada dilihat mahu merendahkan orang Melayu dua tokoh tersebut dipilih kerana dilihat cukup jujur mahu mengupas kepelbagaian makna untuk memberi faham. Andaya dilihat memeta melalui ruang (dengan melihat geografi jangkauan kependudukan apa yang dikatakan sebagai orang Melayu) sementara Milner memeta masa (melalui sejarah dan asal usul). Dibacakan beberapa muka surat awal buku-buku mereka lalu diulas dan dikaitkan pengalaman sendiri dalam menanggapi makna Melayu membawa kepada perkembangan dan pemahaman terkini. Ikuti sendiri perkongsian melalui video berikut :-




Tiada ulasan:
Catat Ulasan