Kedua daripada 3 majlis ilmu yang mahu diikuti di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) minggu ini. Bersambung daripada Syed Naquib al-Attas dan ISTAC menurut graduan pertama institusi.
Petang Khamis 21 Mei 2026. Selepas bermalam di rumah ibu saudara di Petaling Jaya kemudian singgah di rumah kawan di Taman Tun Dr Ismail bergegas ke ISTAC untuk majlis ilmu yang seterusnya.
Ia adalah sesi ketiga bacaan Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican terhadap buku "The West and the Rest: Discourse and Power" tulisan Stuart Hall. Saya telah menulis tentang sesi pertama yang berlangsung 14 Januari dalam artikel Barat dan 'selebihnya' - Satu kritikan ketamadunan tetapi tidak hadir sesi kedua 23 Februari.
Murad memaparkan satu sahaja slaid lalu mengulas lagi usaha Hall, seorang warga Jamaica berkulit hitam yang mencipta nama sebagai cendekiawan ilmu sosiologi di Britain mengajak khalayak keluar daripada kepompong pemikiran akibat dijajah kuasa-kuasa Barat.
Dibandingkan pengamatan Hall dengan pengamatan almarhum Profesor Diraja Syed Naquib al-Attas, pengasas ISTAC sebelum memanjangkan makna perkataan-perkataan yang terpapar pada slaid, perkataan-perkataan yang menunjukkan bagaimana penjajahan telah membinasakan begitu banyak aspek kehidupan pihak yang dijajah, pihak bukan Barat, bukan berkulit putih lalu dipandang rendah sifat kemanusiaan.
Selepas beberapa lama baru betul-betul membuat bacaan terus daripada buku "The West and the Rest: Discourse and Power". Kali ini masuk Bab, tentang sebab musabab kuasa-kuasa Eropah mula berkembang ke luar rantau mereka lalu bermulalah usaha penjajahan ke atas dunia bukan Barat terutama wilayah-wilayah Islam.
Gambar ini diambil di luar dewan selepas majlis. Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menunjukkan sesuatu kepada isteri saya yang turut hadir bersama seorang kawan. Sila ikuti sendiri perjalanan majlis melalui video berikut :-






Tiada ulasan:
Catat Ulasan