Masih ada yang perlukan dikongsikan demi melengkapkan cerita. Bersambung daripada Asbab khidmat kepada ibu bapa - Dari majlis manuskrip Jawi ke perjuangan Hamas ke teater puisi kebitaraan Melayu.
Pagi Jumaat 28 November 2025. Setelah bermalam di rumah ibu saudara di Petaling Jaya kemudian membantu melicinkan satu urusan beliau saya dan isteri pun bergerak hendak meninggalkan kawasan.
Singgah dahulu mengeteh di warung mamak berdekatan. Terjumpa seorang anak Melayu yang rupa-rupanya seorang arkitek berjaya yang katanya berketurunan Tuan Tulis campur keturunan seorang pemuka Luak Rembau. Beliau membeli senaskah buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" yang merupakan penambaikan daripada tesis Sarjana saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) tahun 2023. Buku yang merupakan tajuk ke-15 daripada saya ini diterbitkan tahun 2024.
Menyambung perjalanan dalam keadaan hujan masih tak henti-henti sejak petang Khamis.
Hampir ke tempat destinasi utama, makan tengah hari di restoran mamak dalam sebuah pusat membeli belah.
Dari situ boleh berjalan kaki ke masjid utama dalam kawasan. Redahlah hujan rintik yang kemudian didapati berterusan sehingga awal pagi keesokan. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Setia Alam di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Selesai solat baru ke destinasi.
Selamat datang ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia Alam.
Berlangsung sehingga Ahad 7 November pesta baru sahaja bermula pagi Jumaat.
Kami datang mengambil kesempatan atas isteri ada urusan di Seksyen 7, Shah Alam selepas Asar. Lokasi di Setia Alam cuma 7.5 km dari tempat berkenaan.
Lagipun tak tahu bilakah akan ada lagi kesempatan memandangkan ada sahaja aktiviti perlu dilakukan. Di celah-celah itu pula asyik kepenatan.
Tak sangka ada majlis perasmian pesta buku oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris.
Kami pun mengambil tempat di satu sudut. Di situlah dipersembahkan artikel Asbab khidmat kepada ibu bapa - Menyambut hari lahir ke-55 dengan 2 majlis ilmu di ISTAC.
Selepas beberapa lama baginda sampai ditemani Tengku Permaisuri Norasyikin.
Majlis pun dimulakan.
Diceritakan sejarah perkembangan Pesta Buku Selangor yang baru tahun lalu diisytiharkan bertaraf antarabangsa, satu pencapaian hebat kerana ia sebenar dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, fakta yang saya baru tahu petang itu. Sedangkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sudah beberapa tahun lebih awal mencapai tahap antarabangsa sejak awal dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan badan buku nasional. Saya ada menceritakan sedikit tentang perkembangan dalam artikel Sejenak di Pesta Buku Selangor 2024. Diceritakan dan dibandingkan kedua-kedua pesta buku sejak tahun 1990an.
Sultan Selangor pun merasmikan pesta buku...
Baginda turut merasmikan buku tentang kelip-kelip di Kampung Kuantan, dekat Kuala Selangor.
Selepas perasmian Sultan pergi melihat buku di reruai. Timbul gerak isteri agak menghadiahkan senaskah buku "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad : Perjuangan yang Belum Selesai". Kebetulan dalam beg galas saya ada senaskah.
Pengiring memberikan laluan apabila diberitahu hendak menghadiahkan buku kepada Tuanku. Isteri menyampaikan lalu memberitahu saya adalah penulis buku. Saya pun menyambung dengan memberitahu ia adalah tentang moyang saya Laksamana Muhammad Amin, salah seorang yang menandatangani Perjanjian Pangkor tahun 1874. Sultan Abdullah yang terlibat juga adalah saudara.
Baginda pun bertanya : "Yang dibuang ke Pulau Seychelles ke?"
Saya jawab iya.
Baginda menambah : "Saya pernah ke Pulau Seychelles".
Saya pula meminta kebenaran untuk mengambil gambar.
Saya memberitahu isteri teringin hendak bergambar bersama Tengku Permaisuri. Tuanku memberikan ruang. Isteri pun mengajak pengarah perbadanan perpustakaan bergambar sekali.
Selepas itu pergi ke reruai sahabat kami, saudara Zam, pemilik Taman Pustaka. Sebetulnya sebaik sahaja masuk ke dewan utama pusat konvesyen terus mencari reruai beliau. Tetapi menghadapi masalah mencari akibat sistem pernomboran kurang jelas bagi reruai sudut. Bila dah jumpa beliau pula tiada kerana sedang berada di luar.
Saudara Zam memulakan perniagaan buku 13 tahun lalu dengan mengumpulkan tajuk-tajuk pilihan, kebanyakannya tentang sejarah melibat orang Melayu, dari institusi seperti universiti dan sebagainya. Ketika itu belum ada orang berbuat begitu. Sekarang sudah ramai melakukannya. Beliau pertama kali membuka gerai semasa majlis pertama anjuran pihak saya atas nama HIKMAH. Lihat artikel Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Sebetulnya beliau dan seorang lagi rakan membantu mendapatkan tempat.
Masuk waktu Asar baru bergerak ke Shah Alam untuk urusan isteri. Sebetulnya beliau mahu mengurut seorang kenalan. Sambil itu saya beriktikaf di masjid terdekat. Lihat Masjid (Mosque of) Seksyen 7, Shah Alam.
Makan malam di restoran berdekatan.
Apabila kembali ke rumah didapati sudah memandu hampir 200 km sejak keluar lagi dari rumah petang Khamis 27 November. Ikut rancangan asal Sabtu 29 November mahu keluar lagi. Petang hendak mendaki Bukit Guling Ayam di Gombak bersama isteri, seorang kawan perempuan dan anaknya. Selepas itu mahu ke majlis perkahwinan di Janda Baik kemudian bermalam di rumah kami yang di Hulu Langat. Ini kerana sudah cukup dekat dengan tahfiz anak-anak di selatan Cheras lalu boleh mengambil untuk keluar outing bulanan pagi Ahad 30 November. Selepas menghantar kembali ke tahfiz menginap lagi di Hulu Langat. Kami mahu menyambung kerja-kerja pembersihan rumah yang telah dimulakan 15 November. Rujuk kembali cerita berkenaan dalam artikel pertama siri iaitu Asbab khidmat kepada ibu bapa - Dari majlis tentang Islamofobia ke Tuan Tulis ke Tok Gubah.
Tapi keadaan asyik hujan tak henti-henti sejak kebelakangan menyebabkan rancangan memanjat bukit ditunda. Kami juga tak jadi ke Janda Baik dan Hulu Langat kerana kepenatan akibat gigih membersihkan halaman rumah ibu bapa di Muar selama 6 hari berturut-turut masih belum hilang selain dilanda demam dan batuk-batuk. Setakat keluar dari rumah untuk mengambil anak-anak outing lalu bersama menyambut hari ulang tahun ke-55 kelahiran saya yang jatuh pada 26 November. Bawah ini adalah satu gambar.
Baru teringat. Hari keputeraan Sultan Selangor ditetapkan pada 11 Disember, sama dengan tarikh lahir bapa saya. Cuma baginda sebenarnya dilahirkan 24 Disember 1945, bapa saya 11 Disember 1942. Dan 11 Disember juga adalah tarikh perkahwinan saya dan isteri. Sekian cerita.
























