Salam. Pergi pada hari ke-2 dan terakhir acara. Bersambung daripada Islam dan orde dunia yang sedang muncul - Satu konvensyen mewah UIA.
Pagi Khamis 4 Disember 2025. Ke Hotel St Regis lagi untuk mengikuti konvesyen.
Kali ini tidak perlu memandu 45 km seperti hari sebelumnya dari rumah. Kerana menginap percuma di satu tempat kurang 5 km perjalanan. Lihat artikel Surau (Prayer hall of) Istana Negara lama (old National Palace) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Selepas itu parkir di satu kawasan percuma berdekatan Muzium Negara.
Dari muzium boleh seberang jalan bawah tanah melalui stesyen MRT.
Keluar ke pintu yang membawa nama hotel...
Dah sampai.
Ambil sarapan bawa masuk ke dewan majlis.
Rektor UIA (Universiti Islam Antarabangsa) Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar sedang mengingatkan tentang dua orang tokoh akademik antarabangsa Islam yang baru beberapa jam meninggal dunia. Mereka adalah Dr Yaqub Mirza, pengasas dan presiden Pusat Islam untuk Dunia Kontemporari di Shenandoah University dan Profesor Dr Abdulaziz Sachedian, pemegang Kursi Pengajian Islam di George Mason University, kedua-duanya di Amerika Syarikat
Selepas itu baru dibuat ucaptama yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Masa-masa Kejahatan Sejati : Apabila Penghapusan Kaum Menjadi Kebaikan yang Lebih Besar". Maksudnya, apabila penghapusan kaum dihalalkan atas alasan dapat memberikan kebaikan kepada lebih ramai (konon). Hal ini boleh berlaku apabila suatu kaum diwar-warkan sebagai jahat atau sering memberikan masalah. Inilah yang berlaku kepada umat Islam terutama di Gaza.
Makan lagi sambil mengikuti sesi seterusnya. Kecuali kopi yang ada beberapa jenis, menu sentiasa bertukar setiap kali makan.
Masuk sesi diskusi ke-3 (keseluruhan majlis). Tajuknya yang boleh diterjemahkan sebagai "Kebangkitan Arus Islamfobia" mengingatkan pada majlis bertajuk serupa yang dihadiri 19 hari lebih awal. Lihat Seminar Islamofobia Pencetus Genosid Menafikan Hak Asasi Kemanusiaan. Malah kedua-dua majlis menggunakan moderator atau pemudah cara yang sama.
Makan tengah hari. Selalunya saya berpuasa sunat hari Khamis, apa lagi ketika itu sudah masuk tarikh 13 Jamadil Akhir, mula Puasa Putih. Kali ini tidak. Sebab nak layan makan hotel mewah daaa... :]
Sesi diskusi ke-4. Ia adalah tentang kecerdasan buatan, perubahan cuaca dan kebangkitan golongan kanan jauh. Kelihatan seperti lain-lain bidang atau hal. Sebenarnya memang berkaitan.
Sesi diskusi ke-5, tentang peranan anak muda dalam order dunia yang sedang muncul.
Saya cuma mengikuti sekejap sahaja. Ini kerana sudah melepasi jam 4 petang. Takut palang di tempat parkir percuma ditutup kerana institusi berkenaan hendak tamat waktu kerja. Dah alang-alang keluar pergilah ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Berehat dan beriktikaf di masjid sehingga masuk waktu Maghrib.
Sampai ke sesi makan malam lewat sedikit. Kali ini memakai busana tradisional Melayu penuh bersampin dan berkeris, sebelum itu setakat berbaju Melayu dan bertanjak sahaja. Nasib baik ada menyediakan kerusi supaya dapat duduk semeja.
Kali ini ada ucapan santai oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Ini diikuti persembahan video ucapan oleh sarjana terkenal Profesor John Esposito. Beliau yang mengajar pengajian Islam dan hubungan antarabangsa di Georgetown University, Amerika Syarikat sepatutnya datang ke konvesyen tetapi tak dapat kerana masalah kesihatan.
Akhir sekali adalah ucapan oleh sarjana terkenal, Profesor Ziauddin Sardar, pengarah Institute of Futures Studies (Institut Antarabangsa Kajian Masa Hadapan), badan bawahan UIA (Universiti Islam Antarabangsa) yang menjadi penganjur utama majlis. Tapi tidak dapat memberikan tumpuan. Satu kerana mahu mengejar sasaran bacaan Al Quran satu juz sehari diikuti bacaan Surah Yassin bagi malam Jumaat. Kedua kerana dikuasai perbualan di meja makan. Saya asyik diajak berkongsi pengalaman dan pemikiran.
Sebaik sahaja selesai terus berkejar ke rumah. Maklumlah sudah 2 hari 2 malam keluar tanpa isteri. Tengok-tengok 120 km memandu sejak meninggalkan rumah. Sebelum itu, Ahad 30 November, ada keluar seharian membawa anak-anak berjalan di Lembah Klang lalu memandu sejauh 168 km, Khamis hingga Jumaat 27-28 November hingga ke Shah Alam dan Setia Alam memandu hampir 200 km, Rabu 26 November pula baru kembali daripada permusafiran 12 hari 11 malam ke Muar lalu meliputi jarak hampir 1,000 km. Cuma kesemua perjalanan dibuat bersama isteri. Lihat Asbab khidmat kepada ibu bapa - The compilation.
Sekarang biar ditambah. Selepas menginap malam sebelumnya di surau saya ada berbual-bual dengan beberapa orang ahli jemaah tabligh. Menurut mereka sudah 8 hari beriktikaf di situ, supaya dekat dengan Masjid Negara untuk membuat kerja-kerja dakwah (di sana tidak boleh menginap). Malah sebenarnya sudah 20 hari keluar beramal berjemaah meninggalkan rumah. Ada seorang dari Turki, seorang dari Tunisia, seorang dari Algeria. Yang dari Algeria itu katanya seorang ulamak yang telah diarahkan supaya keluar bermusafir setahun.
Ulamak tersebut kemudian bercerita tentang amalan tariqat juga tentang para wali dan karamah terutama tentang Sultan Awliya Sheikh Abdul Qadir Jalani yang hidup sekitar 1,000 tahun lalu. Mendengarkan cerita sambil mengenangkan pelbagai majlis akademik yang sudah dihadiri tentang nasib orang Islam zaman sekarang menguatkan lagi apa yang sudah bermain dalam fikiran sejak beberapa tahun kebelakangan. Berdiskusi dan berbincanglah sejauh mana. Kalau masih dalam had akal logik akademik, diplomasi dan pemahaman biasa geopolitik paling kuat cuma boleh mendapatkan institusi seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk mengisytiharkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebagai penjenayah perang. Tetapi tidak dapat dikuatkuasakan kerana tiada kemampuan untuk menangkap. Sambil itu umat Palestin juga negara-negara Islam terus boleh diserang sewenang-wenang.
Memikirkan masak-masak hal, pada saya solusi sebenar adalah umat Islam memerlukan kekuatan. Baca Surah al-Anfal :-
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya;
Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir.
Jadilah seperti 313 orang Ahli Badar menentang lebih 1,000 golongan Musyrikin Mekah. Walaupun dhaif alatan perang dapat menang kerana layak mendapat bantuan Allah. Sejarah lebih 1,400 tahun Islam menunjukkan akal sahaja tidak cukup untuk membela ummah. Mesti ada kekuatan fizikal. Nabi sendiri turut berperang, bukan sekadar berteori lalu mengarahkan orang-orang 'kasar' membuat kerja 'buruh' untuk menang. Ya, saya tahu ada yang menganggap mereka yang ada kemampuan fizikal seperti boleh bersilat sebagai orang kasar, tidak intelektual. Kononnya orang intelektual itu cuma perlu menggunakan otak. Kalau menggunakan fizikal itu kerja orang bawahan yang belajar sekolah tak berapa pandai.
Tentang hendak mendapatkan kekuatan bukan semata-mata tahu ilmu perang, tangkas tegap otot. Tetapi jadi orang beriman sehingga ada riwayat mengatakan tebas dengan pelepah tamar (akibat tidak memiliki pedang) pun boleh putus kepala musuh. Sekian.



















Tiada ulasan:
Catat Ulasan