Khamis, November 13, 2025

Antara Bugis dan Rumi - Dua majlis ilmu menarik di Universiti Malaya

Pada awal pagi Isnin saya telah menulis lalu memaparkan artikel Konvensyen Seni Silat Melayu Antarabangsa 2025 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) bagi menunjukkan aktiviti hari Ahad sebelumnya. Beberapa jam kemudian pergi ke Universiti Malaya untuk menghadiri dua majlis ilmu. Ini ceritanya.



Paling hendak dituju adalah majlis tentang orang Bugis di Jabatan Sejarah. Saya mendapat tahu petang Jumaat beberapa hari lebih awal lalu sudah bertekad untuk menghadiri.



Tengah hari Ahad, ketika berada di majlis persilatan di Muzium Negara pula mendapat tahu ada majlis tentang wali Allah dan pujangga terkenal Rumi di Akademi Pengajian Melayu akan diadakan pada hari sama. Letaknya sekitar 1 km sahaja dari Jabatan Sejarah. Bolehlah pergi selepas majlis tentang Bugis nanti.



Itupun hampir tak jadi sebenarnya kerana sekembalinya dari Muzium Negara petang Ahad, batuk-batuk dan demam saya menjadi-jadi. Namun apabila difikirkan rugi kalau tak pergi digagahkan juga bergerak ke UM pagi Isnin 10 Oktober 2025.



Apabila melihat kembali poster - majlis Bugis bermula jam 10 tanpa dinyatakan bilakah habis, harus sebelum jam 12, sedangkan majlis Rumi bermula jam 9 dan dinyatakan habis jam 1 - terfikir juga boleh ke majlis Rumi terlebih dahulu kemudian bergegas ke majlis Bugis kemudian kembali ke majlis Rumi.



Namun masuk ke kawasan kampus UM pun sudah jam 9.40 gitu maka teruslah ke Jabatan Sejarah. Setelah beberapa lama melilau mencari parkir, sampai ke luar dewan syarahan berkenaan jam 9.56.



Tengok-tengok Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah pun ada. Baginda adalah Canselor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), badan yang menaungi Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) tempat saya membuat ijazah Sarjana 2018-2023, sekarang sedang PhD. Tunku Azizah pula menyambung ijazah Sarjana dalam bidang melibatkan Alam Melayu di ISTAC bermula tahun lalu. Jadi sudah beberapa kali terserempak sebagai pelajar di kampus kami di Bukit Tunku. Pun begitu, saya baru dapat tahu baginda telah dianugerahkan PhD kehormat dalam bidang Seni Kreatif oleh UiTM (Universiti Teknologi MARA) pada 13 November 2024 iaitu tepat setahun lalu. Tunku Azizah memulakan pengajian di ISTAC sekitar sebulan sebelum itu.




Pergi pada pengisian majlis. Syarahan yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Bugis Dalam Sejarah Malaysia" disampaikan oleh sejarawan terkenal, Profesor Leonard Andaya dari Jabatan Sejarah, University of Hawaii, Honolulu.



Dinyatakanlah tujuan utama syarahan adalah :-


1. Untuk menjelaskan siapakah "Bugis" dalam sejarah Melayu dan membezakan dengan Bugis di tempat asal mereka.

2. Untuk menunjukkan persamaan antara orang Bugis dengan orang Melayu sebagai masyarakat pelayar dan kelautan lalu menerangkan kejayaan Bugis dalam dunia Melayu

3.  Menegaskan kemunculan identiti Bugis-Melayu sebagai masyarakat campuran yang tersendiri sejak pertengahan abad ke-18.



Ditunjukkan tempat asal orang Bugis iaitu di selatan Sulawesi.



Disorot penglibatan Bugis dalam politik dunia Melayu, bermula selepas peristiwa Sultan Mahmud mangkat dijulang di Johor tahun 1699.



Dinyatakan bagaimana institusi pemerintahahan Melayu dan Bugis bergabung selepas itu.



Namun dinyatakan apa yang kita di belah sini biasa sebut sebagai "Bugis" itu sebenarnya berbeza dengan di tempat asal mereka. Di sana ada orang suku Bugis, suku Makasar, suku Mandar dan sebagainya. Tetapi di sini semuanya diserkap jarang sebagai orang "Bugis".



OK. Tak perlulah ditunjukkan semua slaid apa lagi hendak diulas segalanya...



Cukuplah ditambah ada persamaan bagaimana orang Melayu dan orang Bugis melihat dunia mereka yang kebanyakannya adalah tanah/pulau yang dikelilingi air laut.



Dengan itu masing-masing adalah pelayar dan pelaut yang hebat. Pun begitu selepas beberapa lama orang Bugis dapat mengungguli...









Harus dinyatakan bahawa "Bugis" yang datang ke kerajaan-kerajaan Melayu itu sebenarnya ada pelbagai pihak yang bersaing sesama mereka. Namun kemudian berkahwin campur dan sebagainya membentuk identiti Melayu-Bugis yang tersendiri.
 


Antara yang terkenal adalah pujangga abad ke-19, Raja Ali Haji.






Syarahan yang selesai jam 11 lebih diikuti sesi soal jawab yang agak meriah di mana saya berpeluang berdialog dengan Andaya juga Tunku Azizah di hadapan semua. Sebaik sahaja selesai hampir jam 12 terus bergegak ke APM untuk mengikuti majlis Rumi.






Tengok-tengok ia sudah selesai. Yang sedang berlaku adalah memberi penghargaan kepada para pembentang, termasuk Profesor Dato' Dr. Ahmad Murad Merican dari ISTAC, orang yang memberitahu tentang majlis kepada saya melalui WhatsApp.


Saya telah menjawab dengan memberitahu mahu ke majlis tentang Bugis di Jabatan Sejarah terlebih dahulu lalu menghantar poster. Apabila diberitahu Tengku Ampuan Pahang ada, beliau menjawab dia yang memberitahu agar Tuanku ke situ. Untuk pengetahuan, Ahmad Murad adalah penyelia tesis Sarjana Tunku Azizah di ISTAC. Walau terlepas pengisian ilmu tentang Rumi cukuplah dapat berbual tentangnya bersama hadirin sambil makan tengah hari.


Isnin, November 10, 2025

Masyarakat Madani Nabawi - Keteraturan dan keadilan, sebuah teladan abadi untuk umat manusia

Salam semua. Merujuk pada artikel Manifestasi kemaruk senarai panjat bukit dan gunung yang dipersembahkan Rabu lewat malam Khamis hampir 5 hari lalu. Pada penghujungnya ada diletakkan gambar serta teks berikut :-



Ini pula tadi Rabu malam Khamis 5 Nov. Sepatutnya saya hadir ke majlis berkenaan di kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak. Sudah beritahu sejak lebih seminggu lalu kepada guru merangkap penyelia saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, Rektor UIAM, pensyarah majlis ini bahawa akan datang. Sebaliknya apabila sampai masanya tak jadi kerana memang tak sihat. Tekak masih sakit, nak keluar suara susah. Badan demam-demam. 


Setakat itu sahaja ada disebut tentang majlis. Ini kerana tidak dapat memberikan tumpuan lantaran banyak perkara lain sedang bermain dalam fikiran. Itu yang ditulis Manifestasi kemaruk senarai panjat bukit dan gunung, bagi melepaskan rasa dan mendapatkan kelegaan. Sekarang,  biar gambar-gambar seterusnya digunakan untuk menyambung penceritaan.




Hari-hari selepas itu saya disibukkan dengan pelbagai perkara. Ahad 9 November dimulakan di Shah Alam dengan suatu macam aktiviti kemasyarakatan kemudian ke Muzium Negara untuk mengikuti majlis persilatan yang disulam pengisian akademik hingga ke petang. Isnin 10 November, iaitu beberapa jam sahaja dari sekarang, mahu mengikuti dua majlis ilmu di Universiti Malaysia .

Selepas Muzium Negara dan singgah ke beberapa tempat saya dan isteri sampai rumah dalam keadaan penat amat. Apa lagi kami sama-sama demam-demam sebenarnya. Sakit tekak dan batuk masih melanda lalu selepas selesai solat terus tertidur kepenatan. Beberapa jam kemudian tiba-tiba saya terbangun lalu timbul rasa untuk menyambung tontonan majlis di UIAM. Gambar atas ini diambil jam 1.31 tadi malam.



Pembentang iaitu Osman pun menyatakan, majlis yang merupakan ke-7 dalam siri sudah masuk ciri utama ke-5 tentang kesempurnaan kota Madinah Nabi yang dijadikan contoh terbaik peradaban, yang disebabkan itu timbul istilah Madani sebagai satu gagasan ketamadunan tinggi kemanusiaan. Alhamdulillah saya dapat mengikuti dan menghadiri secara fizikal 5 edisi terawal acara bulan ini sebelum terpaksa mengikuti edisi seterusnya secara atas talian disebabkan harus berada jauh di luar kawasan. Berikut adalah artikel-artikel yang telah ditulis tentang edisi-edisi itu :-






Pergi pada pengisian edisi ke-7 yang baru dapat betul-betul diikuti rakamannya tadi. Tema yang hendak dibawa adalah "Masyarakat Madani Nabawi - Keteraturan dan keadilan, sebuah teladan abadi untuk umat manusia". Osman meletakkan singkatan MMN bagi Masyarakat Madani Nabawi dalam slaid. Apabila menyebut tentang idea-idea besar yang menjadi punca dan sumber hal berkenaan disebut baru-baru ini ada Festival Idea diadakan di Putrajaya.



Dibawa tentang pandang semesta yang membentuk masyarakat seperti pernah berlaku di Madinah, Pandangan Semesta Nabawi atau PSN. Dasarnya adalah 6 Rukun Iman dan 5 Rukun Islam. 




Rukun Iman yang dimulakan dengan beriman kepada Allah SWT dinyatakan sebagai bersifat teoritikal, Rukun Islam yang dimulakan dengan dua kalimah syahadah bersifat praktikal.



Rasanya tak perlulah diulas lagi slaid...






Sila ikut sendiri perkongsian melalui rakaman di bawah...