Selasa, September 09, 2025

Manusia dan alam tabii di Kota Nabi - Hablun Min al Alam al Tabi'i

Adapun selepas mempersembahkan artikel Membina peranan bagi memperkuatkan ASEAN dan hubungan dengan masyarakat antarabangsa pagi Jumaat lalu cadangnya petang atau malam akan ditulis lalu dikongsikan artikel majlis ilmu seterusnya yang dihadiri dalam waktu terdekat. Namun entah kenapa jiwa raga terasa penat sangat dan kurang sihat. Oleh kerana tidak mahu terlebih lewat digagahkan juga petang ini mahu dikeluarkan artikel tersebut.



Majlis ilmu yang dikongsikan ceritanya dalam artikel Membina peranan bagi memperkuatkan ASEAN dan hubungan dengan masyarakat antarabangsa berlaku pada pagi hingga petang Selasa lalu 2 September. Majlis seterusnya pula pada Rabu 3 September 2025 malam Khamis seperti tertera dalam poster. Saya meninggalkan rumah selepas menunaikan solat Maghrib dengan jangkaan dapat sampai ke lokasi  iaitu kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) 40 km perjalanan sekitar 8.20 malam. Walaupun poster menyatakan majlis bermula jam 8 itu termasuk masa menunggu semua hadirin sampai, pengenalan, doa selamat dan sebagainya. Selepas itu baru bermula syarahan.



Tengok-tengok ada kesesakan luar biasa di jalan pintas Rawang. 



Google Map menyatakan ada halangan menyebabkan jangka waktu sampai melebihi 33 minit daripada sepatutnya.




Nasib baik teringat majlis ada dipancarkan melalui Youtube rasmi UIAM. Saya pun membuka untuk mengikuti majlis.



Alhamdulillah dapat mengikuti dengan jelas sepanjang perjalanan. Sampai ke tempat parkir di UIAM terus mengikuti melalui telefon pintar sehinggalah masuk ke bilik majlis.



Di sini biarlah dikongsikan secara ringkas ya. Syarahan oleh Rektor UIAM iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar ini adalah yang ke-5 dalam siri berkenaan. Alhamdulillah setakat ini dapat mengikuti semua edisi. Lihat artikel-artikel berikut :-






Syarahan kali ini banyak menekankan tentang konsep alam. Ini meliputi hal alam sekitar dan bagaimana manusia harus menanganinya.



Ditekankan istilah 'alam ta'bii' untuk merujuk pada apa yang biasa disebut sebagai "alam semulajadi". Ini kerana menurut Osman istilah "alam semulajadi" bermasalah. Ia ada konotasi alam wujud secara sendiri tanpa ada pencipta seperti sering diwar-warkan orang Ateis atau tidak percayakan Tuhan.



Sedangkan "alam tabi'i" merujuk pada hakikat sebenar alam yang kita diduduki ini. Ia boleh dilihat sebagai kitab yang menyatakan penciptaan Tuhan lalu boleh dibaca dan dimanfaatkan dengan cara yang benar.




Melalui sudut pandang yang betul maka interaksi dengan alam juga jadi lebih bermakna, bukan sentiasa hendak menguasai alam lalu sengaja atau tidak menerbitkan banyak kemusnahan seperti dilihat sering berlaku hari ini atas nama pembangunan dan teknologi.



Melalui sudut pandang yang betul jika juga dapat melihat lalu menghormati hak makhluk lain yang turut wujud di alam ini. Untuk mengetahui lebih lanjut sila tonton rakaman video berikut.


Hmm. Mungkin ada sebab juga hari ini baru mendapat cukup kelapangan dan kekuatan untuk menulis dan mempersembahkan artikel. Untuk pengetahuan pada tarikh ini 9 September 2006 iaitu tepat 19 tahun lalu, jasad moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dibawa kembali dari Singapura ke Perak setelah lama berada dalam buangan. Almarhum dibuang negeri ke Pulau Seychelles tahun 1877 selepas dituduh terlibat dalam pembunuhan Residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875. Beliau dipindahkan ke Singapura tahun 1895 lalu meninggal dunia dan dikebumikan di sana tahun 1904. Lebih seabad kemudoan baru disemadikan di kawasan pemakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.