Jumaat, September 05, 2025

Membina peranan bagi memperkuatkan ASEAN dan hubungan dengan masyarakat antarabangsa

Salam pagi Jumaat 12 Rabiulawal 1447 Hijriah. Salam Maulidur Rasul. Sebetulnya baru selepas Subuh teringat hari ini malah malam tadi lagi, malam Jumaat lagi sudah hari Maulidur Rasul. Mungkin kerana kepenatan amat siang Khamis semalam ada mendaki bukit setinggi sekitar 400 meter seorang diri. Tak lah tinggi sangat namun sangat mencabar disebabkan bentuk muka bumi memerlukan turun naik tebing batuan besar hampir menegak di beberapa bahagian. Ini kerana perlu mendaki beberapa puncak sebelum dapat sampai ke puncak tertinggi. Laluan denai yang digunakan untuk turun pula sangat teruk bersemak malah berduri juga banyak pokok tumbang menghalang disebabkan bertahun tidak dilalui orang. Lalu proses mendaki dan turun memakan masa 7 jam.

Merujuk pada artikel Ringkasan aktiviti 12 hari terakhir Ogos yang dipersembahkan Rabu 3 September lewat malam Khamis. Ada dinyatakan siang sebelumnya Selasa (2 Sept) ada menghadiri majlis ilmu sepanjang hari di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Artikel pula  dipersembahkan selepas menghadiri majlis ilmu di kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Rabu malam Khamis. Sekarang biar dikongsikan sedikit cerita tentang majlis di ISTAC.



Seperti kali terakhir menghadiri majlis ilmu di ISTAC iaitu pada 30 Julai (lihat Mendekati pemikiran Ibnu Khaldun dalam penulisan sejarah) saya datang Selasa 3 September 2025 dengan menaiki motosikal besar kesayangan.



Poster bagi majlis. Ada pelancaran buku juga pelancaran satu institut baru tentang ASEAN (persatuan negara-negara Asia Tenggara) di bawah UIAM, badan induk yang menaungi ISTAC.



Saya sampai lewat lalu terlepas kedua-kedua pelancaran.




Ketika sampai Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir baru selesai melakukan pelancaran lalu hendak meninggalkan majlis.



Apapun, yang lebih mahu diikuti adalah pengisian berkenaan. Selepas pelancaran ada ucaptama oleh Duta Besar Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke diikuti Duta Besar Jepun,  Shikata Noriyuki.



Secara rata mereka menerangkan peranan dan sumbangan negara masing-masing terhadap kelangsungan Malaysia dan ASEAN .



Seterusnya adalah perkongsian tentang apa yang boleh dilakukan untuk memajukan ASEAN dan peranan Malaysia dalam keadaan negara kita sedang menjadi pengerusi ASEAN. Ahli panel adalah Dr Phar Kim Beng yang merupakan Profesor Kajian ASEAN dan pengarah institut yang baru dilancarkan hari itu iaitu INTAS (Institute of International and ASEAN Studies - Institut Pengajian Antarabangsa dan ASEAN), Chuah Yeo Hang yang merupakan pengarah urusan Inter-Asia Links, Profesor Madya Dr Chin Jit Kai dari Universiti Petronas dan penganalisa bebas Dato' Dr Hamzah Ahmad. Saya paling tertarik dengan perkongsian oleh Chuah. Dibesarkan di Gurun, Kedah beliau menjadi graduan cemerlang di Tokyo University lalu membina kerjaya yang agak luar biasa dalam bidang kewangan di Jepun dan peringkat antarabangsa. 

Saya tertarik apabila diberitahu China tahun 1990an pernah meminta nasihat beliau bagaimana hendak memajukan negara mereka yang agak mundur ketika itu, pada kala masyarakat antarabangsa memandang serong (disebabkan ia negara komunis yang dilihat bersifat kuku besi, tidak menghormati 'hak asasi manusia') lalu memboikot. Nasihat beliau perlu mendapat pelaburan besar dari luar. Sebelum itu perlu meyakinkan pelabur antarabangsa terlebih dahulu. Caranya, dapatkan penilaian (rating) yang baik daripada penilai antarangsa. Kedua, turunkan nilai matawang negara (Renmimbi), yang saya dengar dari 5.5Yuan = USD1 menjadi 8.1Yuan = USD1. Chuah terlibat secara langsung dalam kedua-dua proses. Ini menyebabkan pelaburan masuk berbondong-bondong kerana kos untuk menghasilkan barangan dilihat sangat murah di China. Banyak kilang dibina, pekerjaan dicipta, lalu memacu kemajuan negara.



Jam 2 petang pula bermula seminar tentang perkara.



Sesi pertama adalah tentang menangani konflik di selatan Thailand. Bagaimana hendak membina keamanan dan kesejahteraan mendatang.




Rupa-rupanya tiada badan khas dalam sekretariat ASEAN untuk menangani perkara. Nampaknya disebabkan polisi tidak mahu campur tangan dalam masalah dalaman suatu negara. Sedangkan ia sebenarnya turut memberi kesan kepada negara lain.



Sesi kedua adalah tentang membina jambatan kepercayaan antara penganut  agama Islam, agama Buddha dan ajaran Confucius. Dinyatakanlah 42% penduduk ASEAN adalah penganut Islam, 40% penganut Buddha sementara ajaran Conficius diamalkan oleh sebahagian penganut Buddha. Di negara China yang memiliki kepentingan hubungan dengan ASEAN pula ajaran Conficius menjadi amalan umum penduduk walaupun ia negara Komunis. Ia dilihat mempengaruhi cara hidup yang merentasi pegangan agama lalu turut diamalkan orang Islam di China. Kefahaman antara agama dan cara hidup masing-masing amat penting untuk keharmonian semua. Cukuplah perkongsian ini ya.


Rabu, September 03, 2025

Ringkasan aktiviti 12 hari terakhir Ogos

Salam. Adapun pagi higga petang Selasa semalam saya telah menghadiri satu majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran Islam) setelah lebih sebulan tidak ke sana. Malam tadi pula  menghadiri satu majlis ilmu bulanan di kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak. Kali terakhir CATATAN SI MERAH SILU dikemaskinikan adalah melalui artikel Islam agama persekutuan - Langkah peneguhan dan pelaksanaannya pada 21 Ogos. Demi kesinambungan, sebelum berkongsikan cerita daripada majlis-majlis ilmu terbaru itu, biar dikongsikan terlebih dahulu sedikit cerita tentang apa yang berlaku dalam tempoh 12 hari sehingga habis bulan.



Ada disebut dalam  Islam agama persekutuan - Langkah peneguhan dan pelaksanaannya bahawa saya menghadiri acara berkenaan pagi Rabu 20 Ogos 2025 setelah menghantar isteri ke pejabatnya yang di belah Bangsar untuk satu tugasan. Menyambung dari situ biar diberitahu, selepas acara singgah ke Menara Telekomunikasi di Bukit Nenas.






Selepas singgah ke beberapa lagi tempat di tengah bandar raya Kuala Lumpur baru kembali ke Bangsar untuk mengambil isteri kembali ke rumah.



Esoknya Khamis 21 Ogos isteri harus ke Bangsar lagi untuk tugasan sama lalu saya menghantar dengan motosikal besar kesayangan. Kali ini tidak berpuasa sunat hari Khamis seperti kebiasaan sejak beberapa tahun kebelakangan (juga setiap Isnin) Ini kerana tengah hari mahu makan nasi beringin dekat sebelah pejabat lama saya, The New Straits Times.



Petang sedikit timbul rasa untuk mencari lalu naik ke puncak bukit satu kawasan berdekatan.



Naik  pula ke atas tangki air di sebelah puncak bukit. Biarlah lokasi tepat tidak dinyatakan.




Sabtu 23 Ogos balik ke kampung isteri untuk perjumpaan keluarga.



Ada beberapa perkara penting dibincangkan demi merapatkan silaturrahim keluarga besar isteri yang memiliki 13 orang adik beradik, separuh sudah bercucu malah ramai pula...



Petang Selasa 26 Ogos tiba-tiba timbul rasa untuk naik motosikal kecil masuk jalan kebun lereng bukit menyeberang dari Kampung Sungai Buaya ke Prima Beruntung. Seterusnya timbul rasa hendak naik ke bukit bersebelahan kampung Orang Asli sana. Lihat artikel To the power pylons on top a hill besides the Orang Asli settlement near Prima Beruntung di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Sejurus sebelum hari gelap sempat meneroka terowong bagi laluan kereta api lalu ECRL (dari Pantai Timur yang masih dalam binaan) sekitar 5-6 km dari rumah.



Gambar ini pula diambil lewat petang Rabu 27 Ogos, selepas dapat mencapai puncak tertinggi bukit berdekatan Kampung Sungai Buaya, tidak beberapa jauh dari rumah. Bukit setinggi 202 meter dari paras laut ini adalah yang tertinggi dalam lingkungan lebih 10 km dari rumah. Lihat Climbing to the summit of the highest hill near Kampung Sungai Buaya.


Pagi Jumaat 29 Ogos menghantar isteri bermesyuarat di pejabatnya yang di Bukit Raja, Klang (syarikat beliau memiliki pejabat di seluruh Malaysia). Lalu diambil kesempatan untuk berjalan di beberapa tempat. Lihat artikel Lawatan baru ke (New visit to) Masjid Diraja (Royal Mosque of) Sultan Suleiman, Klang diikuti Lawatan baru ke (New visit to) pemakaman diraja (royal mausoleum of) Selangor, Klang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Lihat juga Views from the tower of Sultan Suleiman mosque in Klang.

.

Petang Sabtu 30 Ogos menghadiri majlis perkahwinan di tengah bandar raya Shah Alam.


Pagi Ahad 31 Ogos, Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-68, mengambil anak-anak yang belajar di tahfiz dan duduk asrama keluar outing.


Seharian dihabiskan bersama mereka sehingga jam 6 petang lalu tidak dipedulikan sangat sambutan Hari Kemerdekaan. Begitulah lebih kurang ringkasan aktiviti saya 12 hari terakhir Ogos.