Dalam artikel Asbab khidmat kepada ibu bapa - Dari majlis tentang Islamofobia ke Tuan Tulis ke Tok Gubah yang ditulis lalu dipersembahkan semalam ada dinyatakan bahawa esok (iaitu hari ini), sebelum kembali ke rumah, hendak mengikuti 2 majlis ilmu. Satu telah diikuti pagi tadi. Seterusnya dijadualkan bermula jam 3 petang. Sementara itu biar dipersembahkan artikel sambungan perjalanan ini.
Adapun saya dan isteri sampai ke rumah ibu bapa saya di Muar sekitar jam 10 Ahad malam Isnin 16 November. Esoknya pagi Isnin 17 November 2025 menghantar lalu menemani mereka membuat pemeriksaan kesihatan berjadual di klinik dalam kawasan hospital daerah.
Sebetulnya kami telah berjanji akan menghantar dan menemani sejak dapat tahu jadual, ketika kembali ke Muar dalam perjalanan lebih sebulan awal. Rujuk Beraya' ke selatan penghujung 2025 yang dipersembahkan tepat sebulan lalu. Komitmen dapat diberikan kerana isteri telah pencen dari pekerjaan tetap bermula 1 November. Sementara saya pula sejak beberapa lama bekerja sendiri.
Seperti biasa apabila dapat keluar berjalan bersama dibawalah ibu bapa berjalan pusing Muar.
Malah dipanjangkan perjalanan sehingga melepasi pekan Parit Sulong di Batu Pahat. Saya hendak menunjukkan satu rangkaian bukit yang telah didaki semasa kembali ke Muar dalam satu perjalanan terdahulu. Lihat artikel Asbab ke Muar awal Zulkaedah yang dipersembahkan lebih setengah tahun lalu.
Sambil itu saya juga mahu melihat bahagian belakang rangkaian bukit yang belum pernah disinggahi sebelum ini.
Selepas itu membawa mereka makan asam pedas di Panchor.
Malam itu keluar bersama isteri makan di medan selera Bentayan.
Apabila kembali ke rumah ibu bapa didapati saya sudah memandu 491 km sejak meninggalkan rumah pagi Sabtu 15 November.
Pagi Selasa 18 November saya dan isteri keluar beriadah pusing kawasan kampung.
Memang kami selalu keluar beriadah bersama sejak isteri pencen. Sedikit hal berkenaan ada diceritakan dalam artikel Antara santai outdoor bersama isteri, majlis Maulud dan melaksanakan Merah Silu Live di Tiktok yang dipersembahkan Selasa malam Isnin 17 November.
Selasa malam Rabu dilaksanakan edisi ke-13 Merah Siru Live di Tiktok. Kali ini, perjalanan lama saya yang diketengahkan adalah seperti berikut :-
22. Perjalanan 2 bulan ke Pantai Timur dan Selatan lalu ke Utara 2006-2007 - lebih 4,000 km. Lihat Mengenang kembali pengembaraan 2 bulan Disember 2006-Februari 2007.
Gambar ini pula diambil selepas tengah hari Khamis 20 November. Sebetulnya sejak petang Selasa kami bertukar cara aktiviti riadah dengan membersihkan halaman rumah. Ketika itulah isteri dapat membongkar ubi kayu besar ini.
Malam itu malam Jumaat. Walaupun penat kerana banyak kerja perlu dibuat - orang tua kami kedua-duanya sudah berumur 83 tahun, ibu sudah susah hendak berdiri apa lagi berjalan lalu bapa yang lebih kuat jadi terkekang aktiviti - saya keluar untuk bersolat Isyak di masjid jamek Muar yang terletak hampir 8 km dari rumah ibu bapa. Ini untuk melepaskan rindu. Masjid menjadi tempat saya membesar zaman kanak-kanak, ketika kami sekeluarga menetap dengan ibu bapa kepada ibu saya di rumah lama 600 meter dari masjid.
Pagi Jumaat 21 November, setelah dua jam lagi menyambung kerja membersihkan halaman rumah saya dan isteri keluar berjalan lalu pergi menziarah makam Panglima Lidah Hitam di Parit Sakai. Buatlah satu video Tiktok. Lihat sini.
Masuk waktu solat Jumaat membawa bapa ke masjid Kampung Bukit Treh.
Gambar ini pula diambil Sabtu malam Ahad 22 November. Sekali lagi membawa isteri makan di Bentayan.
Petang Ahad 23 November menyertai mesyuarat agung tahunan Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Perak secara atas talian.
Lewat petang keluar bersama isteri mencari tapak bersejarah Kota Buruk yang sudah lebih 10 tahun tidak disinggahi.
Kali ini menghadapi masalah kerana laluan asal telah ditutup oleh bangunan kilang yang muncul kemudian. Sedangkan percubaan masuk melalui laluan-laluan lain akhirnya dihalang belukar tebal atau parit boleh tahan besar.
Pagi Isnin 24 November. Mengambil gambar halaman rumah yang sudah dibersihkan 6 hari kebelakangan berturut-turut.
Selepas itu menghantar dan menemani ibu bapa mengambil keputusan pemeriksaan perubatan di klinik hospital.
Alang-alang dah bersiap keluar bawalah mereka berjalan-jalan lagi makan-makan dan sebagainya...
Kami mengorak langkah meninggalkan Muar selepas waktu Asar.
Dari semenjak sampai Ahad malam Isnin 16 November sehinggalah bergerak petang Isnin 24 November lebih seminggu berada di Muar bersama ibu bapa. Yang kami keluar sendiri suami isteri itu sebab memang ibu tak larat nak ikut sama. Kalau ibu tak keluar takkan bapa nak tinggalkan bersendirian? Itulah paling lama saya berada di Muar, seingat saya sejak tahun 2008. Selepas itu balik paling lama pun dalam 4 hari 3 malam gitu.
Oh. Hari ini 26 November 2025 adalah ulang tahun kelahiran saya yang ke-55. Nanti akan dikongsikan cerita berkenaan ya.



























Tiada ulasan:
Catat Ulasan