Salam 19 Ramadan. Setelah beberapa lama baru dapat menulis dari rumah sendiri di Bandar Sungai Buaya. Bersambung daripada Pantai Timur Ramadan 2025 - Menyelesaikan ziarah dan imbauan sejarah di Perak walau harus berkejar.
Petang Selasa 18 Mac 2025 bersamaan 17 Ramadan 1446 Hijriah, hari Nuzul Quran. Selepas menginap dan berehat di rumah pusaka keluarga isteri di Kampung Tanjung Sepat kami keluar sebentar sekitar jam 2.30.
Kami telah membasuh baju-baju kotor sepanjang perjalanan di rumah. Pergi kedai dobi untuk membuat pengeringan lalu sambil menunggu dihasilkan lalu diterbitkan artikel Pantai Timur Ramadan 2025 - Jejak legasi wali-wali Kelantan.
Selepas jam 4.30 baru betul-betul meninggalkan kampung. Menyusur jalan Pantai Barat ke arah utara...
Pergi ke wad ICU (pusat penjagaan rapi) hospital Banting untuk melihat keadaan abang isteri yang sedang ditidurkan.
Alhamdulillah, kelihatan harapan untuk terus hidup malah boleh jadi lebih sihat kini lebih kuat. Bukan seperti hari itu kelihatan begitu nazak sehingga isteri meminta agar berkejar ke kampung secepat mungkin. Sedangkan kami sedang berada begitu jauh di Lenggong, lebih 350 km perjalanan. Rujuk kembali cerita berkenaan dalam artikel Pantai Timur Ramadan 2025 - Mencari jejak Puteri Saadong hingga ke puncak Bukit Marak.
Dengan itu perjalanan diteruskan lebih ke utara lagi melalui laluan Pantai Barat.
Oh. Kakak tertua isteri yang datang dari Felda Jelai di Negeri Sembilan ikut sekali dalam kereta kecil kami sejak dari Tanjung Sepat.
Kami pergi ke rumah seorang lagi kakak isteri di Kampung Jenjarom lalu menginap malam itu. Berbuka puasa juga bertarawikh bersama adik bongsu isteri dan keluarga yang datang dari Semenyih. Kiranya sepanjang hari Nuzul Quran asyik bersama keluarga baik di Tanjung Sepat mahupun di hospital Banting begitu juga di Jenjarom. Kalau tidak kerana abang jadi nazak tentu sudah ikut rancangan asal menginap dan beriktikaf di masjid warisan keluarga belah bapa saya di Batak Rabit, Teluk Intan. Tengah hari harus masih berlegar di Perak menziarahi makam-makam kerabat yang ada kena mengena sebelum kembali ke rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan