Khamis, Mac 20, 2025

Pantai Timur Ramadan 2025 - Ke Shah Alam diikuti majlis ilmu dan iftar di UIAM

Pergi pada hari terakhir perjalanan yang dipanjangkan sehari lagi akibat hal yang telah diceritakan. Bersambung daripada Pantai Timur Ramadan 2025 - Nuzul Quran bersama kaum keluarga isteri.



Pagi Rabu 19 Mac 2025 bersamaan 18 Ramadan 1446 Hijriah. Selepas bermalam di rumah kakak isteri di Jenjarom kami menyambung lagi perjalanan.



Keluar menghadap arus kesesakan lalu lintas  orang hendak pergi berkerja seperti halnya pada hari pertama perjalanan. Lihat Pantai Timur Ramadan 2025 - Sasaran yang sedikit lari.



Cuma dari arah yang bertentangan tetapi sama tujuan, untuk menghantar isteri masuk ke pejabat di Shah Alam.



Sebelum sampai ke pejabat ada terlihat ramai orang memakai baju Melayu cantik seperti hendak beraya, di Yayasan Restu. Selepas isteri turun kereta terasa hendak singgah melihat...



Rupa-rupanya ada rakaman takbir raya satu badan korporat yang terkait dengan kerajaan negeri. Ingatkan ada majlis bacaan Al Quran atau sebagainya. Mungkin boleh turut serta walau tidak berpakaian seperti mereka.




Alang-alang sudah menjejakkan kaki masuklah ke dalam. Teringat pernah menjayakan acara anjuran sendiri di bangunan ini hampir 13 tahun lalu. Lihat artikel Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).



Carilah ruang yang cukup selesa boleh duduk santai. Membaca beberapa muka surat Al Quran untuk proses pengkhataman bulan Ramadan. Ketika itu sudah masuk juz ke-21.



Kemudian baru beriktikaf di masjid negeri, satu perkara yang menjadi kebiasaan sebulan kebelakangan sejak selalu menghantar isteri ke tempat kerja.



Petang selepas mengambil isteri bergerak lagi ke Lembah Klang.




Pergi ke kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak untuk satu majlis ilmu.




Menurut rancangan asal majlis mahu diikuti setelah kembali ke rumah dari perjalanan Pantai Timur  Selasa malam Rabu 18 Mac. Tetapi disebabkan perubahan seperti diceritakan dalam artikel-artikel sebelum ini ia menjadi sebahagian daripada perjalanan kerana belum kembali ke rumah lalu belum putus permusafiran.



Membaca beberapa muka surat lagi Al Quran sementara menunggu majlis bermula. Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar kemudian memperkenalkan dengan memberitahu, pembicara iaitu Imam Feisal Abdul Rauf dari Amerika Syarikat adalah anak kepada Rektor pertama iaitu almarhum  Tan Sri Profesor Dr. Muhammad Abdul Rauf, seorang tokoh akademik kelahiran Mesir keturunan Arab. Osman yang merupakan guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa  Pemikiran dan Tamadun Islam) adalah Rektor ketujuh. Majlis diadakan dalam bangunan utama pentadbiran universiti yang diberi nama Abdul Rauf Building, sempena nama almarhum.




Feisal diminta berkongsi keadaan semasa Islamifobia atau fobia terhadap Islam di Amerika. Pada mulanya saya tertarik dengan perkongsian ilmu beliau tentang keadaan semasa disertai huraian tentang perbezaan mazhab dan pendekatan dalam ilmu feqah. Tetapi masuk sesi soal jawab di mana saya sempat melontarkan soalan tentang hukum fekah bagaimanakah menurut beliau harus terpakai bagi warga minoriti Islam di Amerika supaya tidak dilihat serong oleh majoriti bukan Islam timbul rasa kurang enak. 

Beliau lebih menumpukan pada bagaimana harus menyesuaikan diri dengan budaya Barat lalu kedengaran menjurus ke arah fahaman liberal. Antaranya dengan menyatakan aurat boleh dibuka bahkan ketika bersolat sekali pun kerana katanya ada dalil pernah berlaku begitu pada zaman Nabi Muhammad SAW. Sehingga menyatakan menutup aurat itu sendiri cuma perintah terhadap golongan atasan, bukan semua umat Islam. Kalau golongan bawahan terutama dalam kalangan hamba sahaya berlaku banyak contoh buka aurat yang menurut beliau tidak dilarang Nabi. 

Khilaf ini, yang saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya, kelihatan mahu diangkat bagi memberikan kelonggaran. Itu belum lagi bab sentuh menyentuh antara dua jantina yang dianggap biasa dalam kalangan orang Barat. Pada masyarakat mereka tiada masalah memeluk dan mencium bahkan isteri orang sekali pun atas nama keramahan dan persahabatan. Takkan kita pula hendak menerima atas dasar perlu menurut uruf, budaya tempatan demi 'menjaga keharmonian'? 

Tetapi jawaban beliau kedengaran menjurus ke arah penerimaan. Dan kelihatan juga beliau seperti mengelak daripada menjawab apa yang ramai di luar sana dapat lihat. Bahawa Islamifobia, serangan terhadap orang Islam dan ajaran syumulnya adalah gerakan terancang yang sudah dilaksanakan sejak zaman berzaman. Bukan kerana silap faham tetapi disebabkan musuh, terutama gerakan Zionis Israel, sangat bencikan Islam.




Iftar atau berbuka selepas majlis. Ada orang mengajak mengambil gambar dengan Feisal. Saya yang sudah berdekad biasa bertemu golongan VVIP tidak terasa hendak bergambar. Memang jarang sekali hendak bergambar dengan tokoh, apatah lagi bila sudah hilang rasa hormat.




Ke masjid Sungai Chinchin tidak jauh dari UIAM untuk menunaikan solat Tarawikh...







Sampai ke rumah lewat malam didapati sudah memandu lebih 1,712 km dengan selamat. Alhamdulillah. Insyaallah akan ada lagi perjalanan-perjalanan menyusul dalam masa terdekat :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan