Menurut kiraan falak besar kemungkinan tarikh 1 Syawal akan jatuh malam karang menjadikan siang ini 29 Ramadan hari terakhir berpuasa. Tetapi katakanlah kalau 1 Syawal bermula malam keesokannya sekali pun malam tadi tetap adalah malam ganjil terakhir bulan puasa. Dengan itu biar disambung gerak penceritaan daripada artikel Iktikaf 27 Ramadan di ISTAC - Tercapai hajat sempena hari lahir ke-56 menurut kiraan Islam.
Tanda masa pada artikel Iktikaf 27 Ramadan di ISTAC - Tercapai hajat sempena hari lahir ke-56 menurut kiraan Islam menyatakan ia diterbitkan pada jam 2.34 petang Jumaat 28 Mac 2025. Sebetulnya selepas itu saya mengambil masa lebih sejam lagi untuk menyemak artikel lalu membuat beberapa pembetulan. Setiap kali ada pembetulan diperbaharui atau update artikel. Disebabkan itu sekitar jam 4 baru meninggalkan ISTAC. Sampai rumah sekitar jam 5. Selepas tengah malam yang sudah masuk tarikh 29 Mac bersamaan 28 Ramadan 1446 Hijriah, hari Sabtu, pula keluar lagi bermusafir. Terus mengambil Lebuh Raya Utara Selatan.
Kali ini membawa isteri dan tiga orang anak lelaki bersama. Gambar ini diambil jam 2.41 pagi. Kami makan lewat malam merangkap sahur awal di hentian rehat Seremban.
Kami mahu balik beraya di rumah ibu bapa saya di Muar. Selepas melepasi Senawang mula terasa penat mengantuk amat. Tetapi digagahkan juga hingga keluar tol Tangkak. Di tepian tol baru berehat berbaring di sebuah pondok.
Dipendekkan cerita sampai ke rumah ibu bapa sebelum Subuh. Dapatlah 'top up' sedikit sahur sebelum mula berpuasa siang 28 Ramadan. Petang itu saya dan isteri sibuk mengemas rumah. Kelihatan dalam gambar anak-anak menolong datuk mereka mendirikan khemah. Ia mahu digunakan bila adik beradik semua sudah kembali membawa keluarga masing-masing. Boleh jadi bilik spare...
Malam itu masuklah tarikh 29 Ramadan, malam ganjil terakhir bulan puasa. Saya bergerak seorang diri ke masjid jamek Muar.
Bersolat Tarawikh di masjid mengingatkan zaman kanak-kanak.
Masjid ini dan persekitarannya adalah tempat permainan bersama kawan-kawan. Di sinilah saya mula mengenali alam persilatan termasuk permainan batin pukulan jarak jauh Nasrul Haq.
Ceruk-ceruk masjid ini menjadi tempat memanjat, turun naik tiang, main kejar-kejar bagai. Dahulu bumbung pejalan kaki dalam tengah gambar tidak berbentuk melengkung tapi mendatar. Saya dan kawan-kawan selalu berlari ulang alik atas bumbung. Teringat sekali seorang kawan sekelas Darjah Enam sekolah rendah melompat dari atas dataran batu ke bumbung sambil menjerit "The Professionals" (nama satu siri televisyen terkenal tahun 70an). Tetapi terbobos bumbung pecah lalu jatuh masuk ke dalam parit. Macam-macam... :]
Gambar ini diambil jam 11.39 malam memandang ke arah belakang dewan utama solat. Saya ada terlihat seorang sudah tidur di balik tiang belakang, di bahagian belakang masjid sekitar 50 meter ke luar dewan pula ada dua orang.
Jam 1.22 pagi Ahad 30 Mac. Kelihatan ada beberapa orang sudah datang bersolat.
Jam 3.48 pagi. Makin ramai muncul menunaikan ibadah. Di sebalik tiang ramai sedang tidur nyenyak.
Jam 4 dimulakan Qiyamulail berjemaah.
Alhamdulillah dapat bersama menunaikan solat Tahajud, solat Hajat dan solat Tasbih.
Saya ada memberitahu isteri akan kembali bersahur di rumah selepas solat Tahajud. Tengok-tengok ada sahur di masjid. Saya pun menelefon untuk memberitahu mahu bersahur di situ. Selepas Subuh baru kembali ke rumah.
Tengok-tengok selesai sahaja makan isteri menelefon memberitahu abangnya yang sedang sakit, baru ini masuk ICU (rujuk artikel Pantai Timur Ramadan 2025 - Menyelesaikan ziarah dan imbauan sejarah di Perak walau harus berkejar diikuti43. Pantai Timur Ramadan 2025 - Nuzul Quran bersama kaum keluarga isteri) telah kembali ke rahmatullah. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Saya pun bergegas kembali ke rumah. Selepas bersiap kemudian solat Subuh kami pun mengorak langkah ke kampung isteri di Tanjung Sepat.
Terus ke masjid di mana jenazah sudah sedia menunggu.
Sempatlah bertahlil dan solat jenazah kemudian baru jenazah diangkat untuk ke tanah perkuburan.
Begitulah takdir merubah rancangan. Jika kurang 2 minggu lalu saya dan isteri bercadang mahu bermalam 17 Ramadan, hari Nuzul Quran di masjid warisan keluarga saya di Batak Rabit tetapi harus bergegas ke Tanjung Sepat kerana mendapat berita abang sedang nazak, kali ini rancangan raya pula bertukar. Sepatutnya 1 Syawal di belah keluarga saya di Muar, malamnya, masuk 2 Syawal baru ke Tanjung Sepat. Kini sudah lebih awal berada di kampung isteri. Insyaallah malam 3 Syawal bergerak semula ke Muar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan