Jumaat, Februari 28, 2025

Kolokium Sejarah Maritim Alam Melayu Dalam Peta Dunia - Hari 2

Dalam artikel sebelum ini iaitu Kolokium Sejarah Maritim Alam Melayu Dalam Peta Dunia - Hari 1 ada dinyatakan selepas selesai mempersembahkan artikel harus mengejar 10 muka surat terakhir Al Quran bagi proses pengkhataman bulan Sya'aban kemudian mendaki ke puncak sebuah bukit berdekatan bagi mendapatkan pemandangan 7 buah planet  yang katanya boleh dilihat selari di langit selepas matahari terbenam. Alhamdulillah, bacaan Al Quran telah berjaya dikhatamkan sebelum jam 6.30 petang. Tetapi turun pula hujan lebat lalu tidak jadi mendaki bukit. Namun selepas hujan berhenti tetap keluar untuk mencari tempat yang sesuai bagi melihat pemandangan. Tetapi awan tebal pula menutupi langit.

Apapun beberapa lama selepas Maghrib keluar perisytiharan rasmi bahawa puasa bulan Ramadhan akan bermula pada hari Ahad 2 Mac. Jadi ada tempoh masa setengah hari lagi untuk mengeluarkan artikel sambungan majlis ilmu sebelum bulan Ramadhan bermula waktu Maghrib Sabtu 1 Mac. Timbul pula rasa, sebelum berpuasa hendak berjalan-jalan keluar hiking mendaki bukit, satu di Kuala Kubu sebelum tengah hari, satu di Tanjung Malim pada petangnya kemudian bersolat Maghrib, Isyak dan Tarawikh di mana-mana masjid dalam laluan kembali ke rumah. Oleh itu biar dilepaskan dahulu artikel sambungan ini.


Atur cara bagi hari kedua majlis "Kolokium Sejarah Maritim Alam Melayu Dalam Peta Dunia", Rabu 26 Februari 2025.



Kali ini isteri ikut sekali. Beliau teringin hendak bertemu Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.



Ketika masuk ke dewan pembentang ketujuh (hari sebelumnya sudah ada enam pembentangan), Dr Mohd Rohaizat Abdul Wahab dari UPM (Universiti Putra Malaysia) baru sahaja menamatkan judul "Penemuan Motif Maritim Kuno Pada Perahu Tradisional Melayu di Pantai Timur Semenanjung Malaysia".



Pembentang kelapan, Ahmad Mukhlis Amin, seorang lagi kurator Muzium Pahang (hari sebelumnya ada seorang membentang) membawa tajuk "Jalur Rempah & Imperialisme Botani : Jejak Kolonialisme Dalam Beberapa Tumbuhan Terpilih"...







Menurut jadual Tengku Ampuan Pahang akan datang menyertai majlis pada jam 11.15. Lalu baginda akan menyaksikan Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dari Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberikan ucaptama diikuti pembentangan-pembentangan seterusnya. Tengok-tengok Tunku Azizah tidak dapat sampai pada waktu itu. Mungkin kerana perlu lebih masa untuk berehat kemudian bersiap, setelah sibuk melakukan rewang masak-masak bumbur lambuk di kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) pada pagi itu.

Dengan itu masa diisi degan pembentang kesembilan Dr Jelani Halimi, pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak dan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) dikehadapankan waktu pembentangannya. Kalau ikut jadual beliau sepatutnya membawa tajuk "Kapal dan Perkapalan Melayu Tradisional" setelah masuk jam 12 tengah hari.













Pembentang ke-10, Firman Fathurohman, kurator Museum Bahari Indonesia yang membawa tajuk "Museum Maritim dan Kota Pelabuhan : Peran dan Relevansi" juga dikehadapankan waktu.




Menurut jadual asal beliau sepatutnya mula membentang pada jam  2.15 petang iaitu selepas rehat makan tengah hari. Tengku Ampuan Pahang sampai sekitar jam 1.04 petang, ketika Firman sedang membentang, tetapi tidak masuk ke dewan.



Selepas rehat makan tengah hari saya menyelesaikan sedikit hal lain. Masuk kembali ke dewan jam 2.42 petang pembentang ke-11, Profesor Dr Pisol Maidin, mantan pensyarah UiTM (Universiti Teknologi MARA) sedang membawa tajuk "Perahu Pontian : Kepentingan Kepada Teknologi Maritim dan Aktiviti Perdagangan Malayonesia Zaman Awal" sambil disaksikan Tengku Ampuan.

 





Satu menarik tentang permaisuri kepada Sultan Pahang yang pernah menjadi Raja Permaisuri Agong 2019-2024 ini adalalah sifatnya yang begitu bersahaja spontan suka bercerita dan berkongsi pandangan. Kelihatan baginda memberikan saranan kepada pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang berdasarkan dapatan daripada pembentang.




Pembentang ke-12 dan terakhir, Wan Mohd Aimran Wan Mohd Kamil dari Akademi Jawi Malaysia membawa tajuk "Ilmu Falak Melayu untuk Pelayaran"...







Selepas itu baru Shamsul Amri yang asalnya dijadualkan bercakap jam 11.30 memberikan ucaptama. Ketika itu sudah jam 4 petang.





Menariknya beliau banyak bercakap tentang Jalan Penarikan yang menyambungkan Sungai Muar di Pantai Barat Semenanjung dengan Sungai Pahang di Pantai Timur. Rujuk artikel  lama Kumpulan artikel "Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang" tentang perkara.



Untuk mengikuti sendiri perjalanan majlis tonton video atas. 





Isteri mendengar Tengku Ampuan Pahang bercakap tentang minat kepada hal di Aceh. Ini adalah selepas semua perkongsian ilmu selesai lalu hadirin menuju ke tempat makan petang.




Sebelum itu baginda telah bertanya kepada saya  tentang gelaran bagi kerabat diraja Kesultanan Aceh (saya sebut Tuanku) juga apakah kedudukan mereka yang bergelar Teuku dan Teungku di sana. Baginda memberitahu sudah banyak kali ke Aceh. Apabika ditanya tentang almarhum Tuanku Yusuf, ayahanda kepada seorang sahabat aktivis saya di sana iaitu Tuanku Warul, Tunku Azizah menyebut masih ingat pernah mengajak berhijrah ke Malaysia. 

Almarhum Tuanku Yusuf adalah cucunda kepada Sultan terakhir Aceh, Sultan Daud. Saya pernah bertemu beliau di rumahnya di Banda Aceh. Dan beliau bersama anaknya Tuanku Warul pernah menghadiri majlis yang dianjurkan pihak saya bersama rakan-rakan aktivis sana. Lihat artikelAcara kedua puluh HIKMAH di Rumah Cut Nyak Dhien, Aceh 19 Mac 2017  di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Sekian perkongsian.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan