Sabtu, November 23, 2024

Kepelikan masa dan dimensi alam - Satu kupasan 'awal'

Menyambung gerak penulisan daripada artikel Kedatangan Islam di Alam Melayu : Telaah Manuskrip Melayu.


Park gambo ni dulu...


Merujuk pada artikel Menyambung urusan rumah hingga ke Bangi yang dipersembahkan pada hari Rabu 13 November. Ada diletakkan gambar ini lalu dinyatakan "... berkejar ke Gombak untuk mesyuarat membincangkan pengisian satu Podcast yang mahu dirakam dalam masa terdekat." Ini berlaku selepas melakukan beberapa perkara Selasa 12 November. Perkara-perkara itu pula adalah susulan daripada permusafiran kecil yang bermula petang Isnin sebelumnya. 



Gambar ini dikongsikan di Facebook tengah hari Jumaat 15 November berserta teks berikut : "Semalam malam Jumaat punya cerita. Insyaallah akan disiarkan seminggu dari sekarang." Ini untuk membayangkan rakaman bagi Podcast berkenaan sudah diadakan  malam itu. 




Semalam Jumaat malam Sabtu 22 November baru disiarkan Podcast. Tajuk "Kepelikan Masa dan Dimensi Alam" diberikan oleh saya berdasarkan ilham yang timbul apabila diminta memberikan cadangan. Kenapa begitu tajuknya? Sila tonton sendiri rakaman. Ia boleh dianggap kupasan 'awal' kerana masih banyak lagi perkara berkenaan tidak sempat dikongsikan dalam masa yang diperuntukkan. Walaupun belum sampai 24 jam disiarkan sudah ada banyak permintaan untuk menyambung kisah. 

 

Kedatangan Islam di Alam Melayu : Telaah Manuskrip Melayu

Salam semua. Ada perkongsian daripada satu aktiviti semalam.



Sejak mempersembahkan artikel Menyambung urusan rumah hingga ke Bangi 10 hari lalu banyak lagi perkara telah berlaku. Antaranya adalah meneruskan lagi urusan rumah di satu pejabat kerajaan negeri di Shah Alam hari Rabu 20 November diikuti hal-hal lain sehingga ke Pangsun di Hulu Langat. Esoknya sambung lagi urusan rumah sama di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Semalam baru bertukar rentak apabila pergi ke majlis ilmu. 



Kali terakhir saya bercerita tentang majlis ilmu adalah apabila mempersembahkan artikel Ulasan buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di Edu Hub Pagoh tepat sebulan lalu. Tetapi itu berdasarkan ulasan orang lain sedangkan saya sendiri tidak dapat hadir kerana sedang berada di Perak. Lihat Asbab mesyuarat agung persatuan.




Kali terakhir saya menghadiri majlis ilmu adalah di kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak pada 25 Oktober. Lihat Menjuarai epistemologi ketauhidan - Syarahan perdana Osman Bakar sebagai Rektor ke-7 UIAM




Majlis ilmu terbaru, dihadiri semalam Jumaat 22 November 2024 diadakan Universiti Malaya. Disebabkan dekat dengan pejabat lama saya The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar singgahlah makan nasi beringin di medan selera sebelah kemudian bersolat Jumaat di masjid universiti. Selepas itu baru masuk ke kampus.




OK. Ini adalah poster bagi majlis. Sebelum itu ia diiklankan mahu diadakan di pusat sumber Jabatan Sejarah UM. Selepas beberapa lama baru keluar poster baru ini menyatakan dialihkan ke The Cube, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM.



Saya ingat dekat setengah jam juga mencari di manakah tempat yang dikenali sebagai The Cube itu. Bila guna Google Map diarahkan ke Bangunan Canselori padahal tiada pun di sana. Selepas bertanya beberapa orang baru jumpa yang tahu lalu diberitahu. Rupa-rupanya setiap fakulti ada "The Cube" sendiri iaitu bilik diskusi khas. Kemudian baru dapat jumpa, tak jauh pun dari bangunan Jabatan Sejarah yang merupakan sebahagian daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial.




Perubahan lokasi berlaku kerana didapati ramai termasuk orang luar berminat untuk mengikuti majlis. Bilik diskusi boleh menampung lebih 3 kali banyak kehadiran berbanding pusat sumber. Gambar ini diambil sebelum majlis bermula. Selepas beberapa lama kelihatan semua kerusi diduduki.



Tidak lama kemudian bermulalah syarahan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali, seseorang yang dianggap sebagai sejarawan ulung negara pada masa kini. Dikongsikanlah pengalaman terlibat dalam beberapa kajian lapangan sejarah sebelum menyatakan kajian manuskrip bukanlah kepakaran beliau. Namun beliau membaca dan merujuk banyak manuskrip sebagai bahan kajian tambahan selain dokumen-dokumen rasmi.

Beberapa manuskrip, kebanyakannya telah dibukukan dalam bentuk moden dirujuk untuk syarahan ini. Paling utama nampaknya adalah Hikayat Merong Mahawangsa dan At-Tarikh Salasilah Kedah, kedua-duanya ada cerita tentang bagaimana raja Kedah memeluk Islam, pada tarikh bersamaan 1136 Masihi. Cuma ada perbezaan perincian sahaja. Kemudian diambil cerita daripada kitab Sulalus Salatin atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu tentang bagaimana raja Melaka mula menerima Islam diikuti Hikayat Patani tentang bagaimana raja Patani mula memeluk Islam. Turut dirujuk kajian tentang Batu Bersurat Terengganu walaupun tidak melibatkan rujukan manuskrip. Boleh ikuti sendiri majlis melalui rakaman di sini.