Ah. Baru tersedar hari ini tarikh menarik 24/04/2024. Harus menulis sesuatu.
Adapun pagi semalam Selasa 23 April 2024 telah bermula satu majlis ilmu selama 2 hari yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai Seminar Antarabangsa Pembaharuan Pemikiran dan Tamadun Islam di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Ini kerana perkataan bahasa Inggeris "renewal" juga "reform" apabila ditanya terjemahan dalam bahasa Melayu kepada 'Pakcik" Google didapati sama-sama membawa makna "pembaharuan". Perkataan "reform" seringkali juga diberi terjemahan mudah (dan 'malas' sebenarnya) "reformasi". Namun kalau melihat pada akar kata bahasa Inggeris yang merupakan gabungan perkataan "re" dengan "form" ia harus membawa makna "membentuk kembali", ada nuansa lebih mendalam bersifat perjuangan bagi memartabatkan Islam berbanding sekadar "pembaharuan". Cuma kalau diletakkan dalam terjemahan tajuk jadi seperti terlebih panjang. Jadi cukuplah digunakan "pembaharuan".
Walaupun cukup suka pada majlis ilmu yang membawa tajuk-tajuk sebegini apa lagi di tempat belajar saya di ISTAC saya tidak dapat menghadiri kerana beberapa kekangan. Antaranya baru memulakan penulisan bagi tesis cadangan PhD, walaupun belum mendaftar, awal pagi semalam. Ini dilakukan setelah lebih sebulan sibuk menelaah bahan-bahan berkaitan. Hal menelaah ini ada diceritakan sedikit sebanyak melalui siri artikel Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah yang dikumpulkan lalu dipersembahkan 1 Syawal, tepat 2 minggu lalu (hari ini sudah 15 Syawal).
Kini pun masih menelaah sambil menulis sedikit demi sedikit apabila dapat ilham dan gerak. Proses ini dijangka akan berterusan buat beberapa lama sambil mencari banyak lagi bahan. Cadangnya kalau dah berjaya menulis lebih setengah daripada jangkaan isi tesis barulah mendaftar secara rasmi di ISTAC. Guru merangkap penyelia tesis sarjana saya dahulu di ISTAC (lihat Menerima ijazah Sarjana ISTAC pada hari lahir ke-53), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar sudah sedia maklum tentang rancangan juga perkembangan lalu telah memberikan restu.
Pun begitu saya telah meluangkan masa untuk menonton perkongsian ilmu majlis bagi sesi hari ini secara langsung melalui Youtube. Kini mendengarnya sambil menulis artikel ini. Sebenarnya, fikirnya nanti apabila ada lebih banyak kelapangan (bukan kelapangan sebenarnya tetapi lebih pada beralih fokus sebentar pada hal-hal lain apabila kepala dah berasap sangat memikirkan hal tesis) akan ditonton penuh seluruh rakaman 2 hari majlis kemudian baru diulas menjadi artikel. Apabila terlihat ini terasa elok dikongsikan cerita hari ini juga walau secara sepintas lalu.
Dengan ini biar dikongsikan video-video berikut daripada saluran Youtube ISTAC TV...
Hari pertama majlis...
Hari kedua.
Ketika menulis ini ada pembentangan sangat menarik oleh Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty tentang pemikiran dan perjuangan cendekiawan terkenal, arwah Professor Dato' Prof. Dr Siddiq Fadzil.
Nota tambahan (dibuat hampir jam 12 tengah hari Khamis 25 April) : Pagi ini tergerak untuk menonton rakaman perjalanan hari pertama majlis daripada. Ternyata memang banyak perkara menarik dibincangkan, antaranya dalam ucap-ucaptama oleh dekan ISTAC, Profesor Datuk Dr Abdelaziz Berghout, kemudian guru saya Prof Osman yang merupakan penyandang Kursi Al-Ghazali di ISTAC. Namun paling tak disangka apabila masuk sesi pembentangan ilmu oleh peserta. Pembentang pertama, bercakap melalui video secara langsung dari UAE (United Arab Emirates) rupa-rupanya adalah Dr Mohamed Haj Yousef. Ini adalah orang yang buku-buku dan beberapa penulisannya berdasarkan kosmologi Ibnul Arabi menjadi antara bahan kajian dalam cadangan tesis PhD saya. Itulah yang banyak ditelaah dalam bulan puasa lalu. Hmm...