Khamis, Oktober 24, 2024

Pengalaman mengurus hubungan Malaysia-China bersama Syed Hamid Albar

Merujuk pada artikel Ulasan buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di Edu Hub Pagoh yang dipersembahkan petang semalam. Ada dinyatakan bahawa pada keesokannya pagi Khamis 24 Oktober  (hari ini) saya dijadualkan hadir di satu majlis ilmu di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur. Ini ceritanya.



Poster bagi majlis. Pembicara iaitu Tan Sri Syed Hamid Albar adalah orang yang cukup dikenali di Malaysia. Beliau yang kini sudah berusia 80 tahun pernah menjadi Menteri Luar Negeri dari tahun 1999 hingga 2008 selain pernah memegang pelbagai portfolio lain. Hubungan Malaysia-China adalah satu subjek yang sangat menarik apa lagi dalam keadaan Laut Cina Selatan sekarang sedang 'panas' akibat negara China menuntut hampir keseluruhan laut sehingga melanggar hak kedaulatan lain-lain negara ke atas bahagian perairan masing-masing. 

Termasuk yang dituntut adalah perairan negeri Sarawak yang berada di dalam kekuasaan sah Malaysia menurut undang-undang antarabangsa. Tetapi ini ditolak oleh China atas alasan, menurut sejarah (yang ditulis mereka) hampir keseluruhan laut jika tidak pun keseluruhan adalah hak mereka. Dengan itu mereka merasakan berhak menghantar kapal-kapal peronda ke perairan itu. Kita yang cuba membela hak kedaulatan sendiri pula yang dianggap sebagai menceroboh.




Sampai masanya saya pun ke lokasi majlis iaitu Wisma Sejarah di bandar raya Kuala Lumpur. Rasanya kali terakhir hadir majlis di situ adalah pada tahun 2018. Lihat  Kongres Sejarah Malaysia ke-3 - Sejarah Malaysia Pasak Masa Hadapan Negara. Untuk pengetahuan di Wisma Sejarah itulah saya mula menghadiri majlis-majlis ilmu sebegitu. Lihat artikel Seminar Beting Beras Basah, keluarga Al-Shahab dan faktor 191 yang ditulis hampir 15 tahun lalu. Sejak itu banyak majlis serupa dihadiri di pelbagai institusi. Lihat artikel-artikel kompilasi berikut :-



Saya sampai ke bilik majlis sedikit lewat. Kedengaran Syed Hamid sedang bercakap tentang bagaimana Persekutuan Tanah Melayu yang kemudian menjadi Malaysia harus menerima lambakan pekerja asal dari China yang dibawa oleh British untuk dijadikan rakyat, sebagai antara syarat mendapat kemerdekaan 31 Ogos 1957. Disorot pula ke zaman ketika China yang membawa ideologi Komunis Marxis namun ada acuan tersendiri bersifat Konfuciusma (ajaran tradisi Cina daripada pendeta Konfucius) sedang membangun kemudian bertukar sedikit ideologi ke pasaran bebas (free market) tetapi bukan kapitalis. Dengan itu timbul banyak syarikat besar milik kerajaan memacu kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan ketenteraan, bukan milik persendirian atau korporat seperti halnya di Barat.


Dikongsikan pengalaman beliau ketika menjadi Menteri Luar menangani perkara-perkara melibatkan China. Dinyatakan bahawa dahulu di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri  Malaysia dipandang tinggi oleh pelbagai pihak lalu suaranya lebih dihormati. Sekarang tidak lagi begitu.


Dalam hal tuntutan China terhadap Laut China Selatan yang semakin galak lantaran menyedari berapa banyak hasil bumi termasuk minyak dan gas terdapat di laut, disarankan agar negara-negara Asean (persatuan negara-negara Asia Negara) dapat bergabung sebulat suara untuk berhadapan dengan negara besar itu. Kalau ditangani secara unilateral iaitu satu negara ke satu negara sahaja satu persatu,, misalnya Malaysia dengan Cina satu rundingan, Indonesia dengan Cina satu rundingan lain ditakuti tidak ada cukup kekuatan juga maklumat bagi  mendapatkan persefahaman yang adil dan saksama. Kebetulan tahun 2025 Malaysia akan mempengerusikan persidangan Asean. Diharap pemimpin kita dapat menunjukkan jalan ke arah itu.


Selesai majlis kemudian makan tengah hari pergi ke Perpustakaan Negara yang terletak betul-betul bersebelahan Wisma Sejarah.


Di situlah ditulis artikel ini. Insyaallah selepas ini mahu hiking di sekitar Kampung Sungai Pusu membawa ke tasik buatan Klang Gates kemudian beriktikaf bermalam Jumaat di masjid sana. Dari situ dah cukup dekat ke kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) untuk majlis ilmu seterusnya pagi Jumaat 25 Oktober.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan