Sabtu, Ogos 31, 2024

Fenomenologi wujudiah sujud - Apa kebendanya itu?

Merdeka! Merdeka! Merdeka. Ya. Hari ini sudah masuk tarikh 31 Ogos 2024, hari ulang tahun kemerdekaan Malaysia atau lebih tepat, Persekutuan Tanah Melayu yang ke-67. Walaupun tidak bercadang untuk keluar rumah pagi ini bagi mengikuti sambutan di mana-mana, setakat mahu menghadap siaran langsung dalam televisyen sahaja, bermula tengah hari hingga lewat petang perlu keluar untuk aktiviti-aktiviti berkaitan. Sebelum itu biar dilepaskan beberapa cerita dari petang Jumaat hingga lewat malam bermula dengan ini.



Petang tadi 30 Ogos 2024 saya ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) untuk bersolat Jumaat lagi.



Kali terakhir datang bersolat Jumaat di situ adalah pada hampir 2 bulan lalu. Lihat Ismail al Faruqi - Relevan untuk kajian kontemporari




Seperti biasa saya bersolat Jumaat di ISTAC kalau ada majlis ilmu mahu dihadiri sama ada pada pagi atau petangnya. Biasanya belah petang.



Tajuk majlis kali ini harus menimbulkan tanda tanya. Apa kebendanya "Fenomenologi Wujudiah Sujud" ini?




Sampai masanya majlis pun bermula.




Satu perkara menarik selain tajuk adalah penampilan pembicara iaitu Dr Fauzi Naeim dari Universiti Kuala Lumpur. Saya pernah terjumpa beliau sekali dua sebelum ini di ISTAC. Beliau kelihatan suka memakai baju Melayu dan songkok secara orang kampung. Lebih menarik adalah beliau berambut panjang beberapa inci melepasi bahu, sama seperti saya. Susah nak jumpa orang yang diiktiraf dalam dunia akademik Malaysia sebegini rupa. Selalunya akan dipandang semacam seperti orang tercicir sekolah. Kecuali setelah beberapa lama dikenali dan terbukti berintelektual tinggi.




OK. Di sini tidak perlulah diulas panjang kerana majlis diadakan dalam bahasa Melayu. Lalu slaid-slaid yang ada harus cukup bagi menerangkan perkara.




Selepas memberikan abstrak atau ringkasan awal perkara Fauzi menerangkan apakah makna solat. Dengan cara penerangan yang mengambil kira bahawa orang bukan Islam juga mengikuti majlis lalu tidak faham secara automatik seperti kita-kita yang sudah sedia menganut Islam.








Selepas itu baru boleh diterangkan apakah itu sujud, perbuatan apakah itu...












Lalu dibuat perbandingan bagaiman perbuatan sujud itu juga wujud dalam budaya lain dan bagaimanakah pemahaman mereka...








Selepas itu baru diterangkan apakah makna perkataan "Fenomenologi" pada tajuk majlis...




Seterusnya, diterangkan apakah "Wujudiah" dalam tajuk. Rupa-rupanya bukanlah wujudiah yang selalu dikaitkan dengan orang yang dianggap Sufi 'ekstrem' seperti Ibnul Arabi, Mansur Al-Hallaj malah orang seperti Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Siti Jenar di Alam Melayu. Sebaliknya ia adalah ungkapan pembicara untuk 'meMelayukan' istilah falsafah ekistensialisme (existensialism) merujuk kepada persoalan-persoalan melibatkan kewujudan diri.




Dikaitkan pula dengan istilah yang disebut sebagai 'gestura badan', daripada perkataan bahasa Inggeris body gestures yang membawa maksud apa-apa sahaja pergerakan badan. Dengan itu istilah turut meliputi perbuataan rukuk dan sujud dalam solat orang Islam.




Selepas itu dimasukkan tentang beberapa hal keTuhanan menurut Ibnu Arabi. Aha. Ini macam nak masuk hal 'wujudiah' yang lebih abstrak dan tinggi. Kalau silap pemahaman boleh sesat ini.




Teringat bahawa sekitar seminggu lalu majlis sama dipromosikan dalam poster sebagai "Fenomenologi Ibnu Arabi menurut Henry Corbin". Lebih kurang begitulah tajuk asal yang dapat saya ingat sebelum poster itu dipadamkan lalu digantikan dengan poster tajuk baru. Sebetulnya ada satu slaid menyebut tentang bagaimana Henry Corbin yang merupakan seorang pengkaji Barat terkenal dalam bidang Sufi dan Tasawuf melihat perkara. Tetapi tak sempat nak ambil gambar dah tukar slaid.




Secara rata apa yang mahu diperkatakan adalah bagaimana perbuatan sujud dalam solat itu boleh membawa pada satu keadaan yang mana kita boleh jadi 'tenggelam' dalam keasyikan ingat kepada Allah SWT lalu boleh lupa akan wujud diri sendiri.




Ketika masuk hal penerangan tambahan tentang sujud itulah baru muncul guru saya Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar menyertai majlis. Majlis diadakan atas nama Bicara Falsafah Kerusi Al-Ghazali dan beliau adalah pemegang kursi.













Untuk  betul-betul mengikuti majlis memerlukan suatu peringkat kefahaman yang cukup tinggi. Paling kurang, keterbukaan untuk tidak menghukum tetapi sedia untuk bertanya dan mengkaji, akur dengan kelemahan diri sendiri, kalau tidak dapat memahami.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan