OK. Merujuk lagi pada artikel Kepentingan sumber dalam pengkajian sejarah - Apa kata Arkib Negara? yang dipersembahkan pada pagi Jumaat 16 Ogos. Ada disebut bahawa pagi itu jam 8.30 hingga 10 pagi (sebelum mempersembahkan artikel jam 11.04) saya telah mengikuti satu majlis ilmu secara atas talian. Petang itu jam 3 mahu mengikut satu lagi majlis atas talian. Lalu kedua-dua dicadangkan mahu ditulis cerita tentangnya, selewatnya sebelum hari Isnin. Sekarang biar dikongsikan cerita berkenaan.
Ini adalah poster bagi majlis waktu pagi. Ia adalah berupa wawancara secara langsung bersama tokoh ilmuwan Barat, William Chittick yang sudah menulis banyak buku tentang Sufi (Tasawuf) dan falsafah Islam.
Ternyata ramai yang berminat untuk mengikuti.
Gambar menunjukkan William Chittick sedang menjawab soalan ini diambil jam 8.49 pagi. Sejam kemudian, ketika majlis masih lagi berlangsung dapat pesanan WhatsApp dari adik di Melaka bahawa seorang bapa saudara di sana, adik kepada bapa, baru sahaja meninggal dunia jam 9.35. Jenazah dirancang mahu dikebumikan selepas solat Jumaat. Kebetulan saya dan isteri sudah merancang untuk kembali ke rumah ibu bapa saya di Muar lewat petang atau malam. Bolehlah singgah ke rumah almarhum dalam perjalanan.
Ini pula adalah poster bagi majlis ilmu atas talian yang dicadangkan mahu diikut sebelah petang. Ia adalah anjuran ISTAC (Institut Antarabanga Pemikiran dan Tamadun Islam). Disebabkan majlis mahu diadakan petang Jumaat bermula jam 3 maka diskusi buku saya dipercepatkan tarikh ke petang Khamis 15 Ogos. Lihat Diskusi buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di ISTAC 16 Ogos? diikuti Diskusi buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di ISTAC dimuktamadkan 15 Ogos. Ternyata ada hikmahnya.
Gambar ini diambil jam 3.47 petang dari dalam kereta. Selepas mengikuti majlis melalui Youtube ISTAC TV dalam televisyen pintar (Smart V) sehingga jam 3.30 saya membawa isteri dan anak menuju ke rumah almarhum bapa saudara di Melaka lalu menyambung tonton melalui sistem video kereta. Apabila mendapat tahu ada makcik dari Kuantan mula bergerak dari Kuantan tengah hari itu saya merasa tidak mahu menunggu lewat untuk ke Melaka. Saya pun memberitahu isteri lalu beliau mengambil cuti setengah hari. Anak pula dipontengkan dari sekolah petang. Selepas menyelesaikan beberapa urusan termasuk menunaikan solat Jumaat di surau berdekatan rumah bergeraklah kami ke sana.
Gambar ini pula diambil jam 6.13 ketika berhenti makan di Alor Gajah. Kalau majlis diskusi buku diadakan petang Jumaat harus selepas jam 5 baru dapat meninggalkan ISTAC. Selalunya trafik aliran lalulintas sangat sesak petang Jumaat. Kalau jam 6.13 mungkin baru setakat melepasi Sungai Besi ataupun Cheras.
Ketika sudah menerima makanan itulah dapat tahu bahawa pengkebumian jenazah dilewatkan ke sekitar jam 5.45. Kalau tahu lebih awal tentu tak berhenti makan kerana sebelum memesan makanan masih ada cukup masa untuk sampai ke tanah perkuburan sekitar 30 minit lagi perjalanan. Tapi tu le, kami tak terfikir pun nak kejar pengkebumian kerana awalnya diberitahu ia mahu dilakukan selepas solat Jumaat. Bila dapat tahu pertukaraan masa sudah terlambat. Tidak ada gunanya lagi terkejar-kejar.
Majlis tahlil di rumah almarhum selepas Isyak. Almarhum sudah lama sakit teruk kencing manis, sehingga dipotong kedua-dua kaki paras lutut. Beliau juga sudah beberapa kali masuk hospital dalam keadaan kritikal. Lalu tidak hairan sudah sampai masa untuk pergi. Alhamdulillah dapat bertemu ramai saudara mara belah bapa, daripada satu cabang utama keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Ada yang sudah beberapa tahun tidak ditemui.
Malam itu saya, isteri dan anak juga ibu bapa menginap di rumah adik. Hampir tengah hari Sabtu 17 Ogos baru keluar lalu terus menuju ke tempat peranginan Tanjung Emas berdekatan kuala Sungai Muar untuk makan.
Ketika itulah seorang lagi adik, yang menetap di Muar, menghantar WhatsApp bertanya jika saya hadir ke majlis perkahwinan anak seorang kawan lama kami zaman kanak-kanak, jiran sebelah rumah lama keluarga. Ah. Memang asalnya bercadang untuk hadir tapi tak ingat. Apabila melihat tempat majlis tak sampai satu kilometer dari Tanjung Emas bergegas lah kami ke sana.
Pagi Ahad 18 Ogos makan nasi beringin di sebelah stesyen bas dan Sungai Muar.
Selepas Asar mengorak langkah untuk kembali ke rumah sendiri di Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor.
Singgah di Pantai Siring, Melaka pekena asam pedas ikan mayong. Kami memilih warung berdekatan menara-menara eletrik ke Pulau Besar. Lihat artikel The electric cable towers from Pantai Siring to Pulau Besar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Lalu jalan ke barat bandar raya Melaka.
Menjamakkan solat Maghrib dan Isyak di Masjid Taboh Naning. Di perkarangan luar terdapat makam pejuang Melayu terkenal Dol Said.
Sampai rumah hampir tengah malam didapati kami sudah berjalan sejauh 517 km.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan