Isnin, April 01, 2024

Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Membuka dengan wacana Imam Ghazali di ISTAC

OK. Merujuk pada artikel Kamera ke-12 untuk permusafiran iktikaf 10 hari terakhir Ramadan yang dipersembahkan petang Jumaat Ramadan 1445 Hijrah. Ada dinyatakan bahawa dalam tempoh kurang 24 jam (setelah keluar artikel) saya akan memulakan satu permusafiran merangkap iktikaf dari masjid ke masjid bagi 10 hari terakhir Ramadan. Sukacita dimaklumkan kini sudah 3 hari 2 malam saya bermusafir. Dengan adanya sedikit kelapangan dan kesempatan biar dikongsikan ceritanya yang pertama.



Turut dinyatakan dalam artikel Kamera ke-12 untuk permusafiran iktikaf 10 hari terakhir Ramadan bahawa antara asbab saya keluar bermusafir kali ini adalah anak yang sedang belajar di tahfiz di Janda Baik meminta agar menghadiri hari terakhir majlis daurah di tempatnya petang Ahad hingga malam Isnin 21 Ramadan.




Namun saya keluar lebih awal pagi Sabtu 30 Mac 2024 bersamaan 19 Ramadan 1445 Hijriah kerana mahu mengikuti majlis ilmu di ISTAC (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Selepas itu baru bergerak ke arah Janda Baik.




Poster tentang majlis ilmu.




Bukan selalu diadakan wacana ilmu mengenengahkan begitu banyak perspektif tentang ilmuwan ulung Islam dahulukala Imam Ghazali.




Tentu saya perlu hadir mengikuti apatah lagi pembentang pertama adalah guru saya di ISTAC, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, pemegang Kursi Al-Ghazali...



Ia diadakan di kafe ISTAC, kali kedua saya mengikuti majlis ilmu di situ. Kali pertama adalah pada penghujung bulan Februari. Lihat Bermusafir mengikuti pelbagai majlis dan aktiviti selama 2 hari.




Osman yang membawa tajuk "Epistemologi Imam Ghazali" memulakan dengan menerangkan panjang lebar asal usul makna perkataan "epistemologi". Ia adalah ilmu tentang ilmu atau kaedah mendapatkan ilmu lalu turut dinyatakan sebagai wawasan ilmu. Selepas itu baru dipanjangkan tentang bagaimana Imam Ghazali menanggapi ilmu. Pokok pangkalnya, ilmuwan silam Islam itu mahu mencari kebenaran tentang hal-hal seperti penciptaan alam dan keTuhanan. Beliau yang lahir tahun 1058 Masihi sudah cukup cemerlang dapat menjadi seorang bertaraf profesor ulung dalam bidang feqah di Baghdad pada usia 30 tahun namun belum puas dengan jawaban yang diterima pada peringkat itu. Disebabkan itu beliau mendalami lalu cuba mencari melalui ilmu kalam kemudian falsafah sebelum menemui kepuasan dan jawaban setelah lama berkelana menjadi ahli sufi/tasawuf.




Selepas jam 12, pembentang kedua. Dato' Dr Afifi Al-Akiti yang cukup dikenali sebagai ilmuwan hasil didikan sekolah tradisional pondok Malaysia tetapi dapat mencipta nama di University of Oxford di United Kingdom sebagai pensyarah yang arif pelbagai bidang agama membawa tajuk "Di Sebalik Gelaran Hujjatul Islam". Diceritakanlah bahawa Imam Ghazali itu sebenarnya bernama Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Muhammad tetapi dikenali sebagai Abu Hamid al-Ghazali atas sebab-sebab tertentu. Lebih penting lagi dihuraikan kenapa digelar oleh kawan dan lawan sebagai Hujjatul Islam (yang membuktikan kebenaran Islam). Ini adalah hasil keluasan ilmunya dalam pelbagai bidang. Sehingga dikatakan kitab-kitab beliau ada diterjemahkan untuk bacaan dunia Barat lalu memangkin pemikiran tokoh-tokoh ilmuwan ulung Eropah seperti Thomas Aquinas ((1224/6—1274 M) dan Rene Descartes (1596–1650).



Masuk waktu rehat Zohor saya menunaikan solat lalu berehat sebentar di masjid ISTAC. Kiranya ini masjid pertama yang "diiktikafi" (saja-saja test penggunaan perkataan ikut sedap diri sendiri... :]) bagi permusafiran ini.




Majlis bersambung kembali sekitar jam 2.30 petang, lewat setengah jam berbanding jadual asal.




Pembentang kedua Ustaz Mohd Nasir bin Mohd Tap, seorang lulusan UIA (Universiti Islam Antarabangsa) yang telah menulis satu tesis sarjana tentang Imam Ghazali, membawa tajuk "Mengaji Munqidh Min Al-Dalal Secara Tematik". Kitab Munqidh Min Al-Dalal sering dinyatakan sebagai autobiografi Al-Ghazali. Melalui tulisan dalam buku dipanjangkanlah tentang perjalanan hidup beliau, kenapa walau sudah mencipta nama yang sangat ulung dalam bidang feqah mahu pula menyelami ilmu kalam kemudian falsafah diikuti tasawuf demi mencari kebenaran hakiki tentang alam dan Maha Pencipta.



Pembentang keempat dan terakhir Fazril Saleh, seorang peneraju NGO Islam yang telah menulis beberapa buah buku, membawa tajuk "Imam Al-Ghazali dan Faham Kepimpinan : Refleksi Pesan-pesan Pengutuhan Keperibadian Nasihat Al-Muluk". Kitab Nasihat Al-Muluk adalah satu kitab kenegaraan tulisan Al-Ghazali untuk memandu pembentukan peribadi para pemimpin Islam supaya dapat menjadi orang yang betul-betul amanah dengan tanggungjawab. Diceritakanlah latar belakang kenapa kitab ditulis sebelum dikongsikan sebahagian isi tentang bagaimana hendak dibentuk peribadi pemimpin bertanggungjawab itu.




Petang itu saya ke Dataran Merdeka untuk berbuka  puasa bersama orang ramai. Sudah lama tidak mengikuti majlis yang diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad bulan Ramadan oleh jabatan kerajaan ini.




Selepas itu bersolat Maghrib di masjid jamek Kuala Lumpur, masjid kedua "diiktikafi' dalam permusafiran ini. Ketika itu sudah masuk tarikh 20 Ramadan. Lalu memandangkan kiraan falak meletakkan kemungkinan bahawa bulan Ramadan kali ini cuma 29 hari sahaja, maka sudah masuklah 10 malam terakhir Ramadan.




Solat Tarawih pula dibuat di Masjid Al-Syakirin, Jalan Gombak. Kemudian baru ke sebuah masjid lain menuju lebih dekat ke Janda Baik untuk bermalam. 




Sebagai mengakhiri artikel biar dikongsikan rakaman-rakaman video bagi majlis di ISTAC menurut giliran pembentang...














Tiada ulasan:

Catat Ulasan