Jumaat, Disember 08, 2023

Menggapai makna Tauhid dan KeTuhanan melalui neurosains?

Merujuk pada artikel Membawa aspirasi Laksamana ke Pesta Buku Selangor 2023 yang dipersembahkan Ahad malam Isnin 5 hari lalu. Ada diberitahu bahawa pada petang Sabtu 9 Disember (iaitu esok) saya akan berbicara tentang buku ke-14 saya "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad" di Pesta Buku Selangor 2023 di Shah Alam. Dengan itu saya seharusnya sudah mula berehat ketika ayat ini ditulis jam 9.34 malam apa lagi baru sahaja kembali ke rumah jam 9 setelah melalukan beberapa urusan di Kuala Lumpur. Namun untuk memberikan kepala rasa kelapangan bagi menjayakan acara harus dilepaskan terlebih dahulu cerita tentang satu majlis ilmu yang dihadiri di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) petang tadi.



Tajuk majlis seperti diiklankan dalam poster boleh diterjemahkan sebagai "Apa yang Otak Boleh Beritahu Kita Tentang Fikiran dan Budayanya". Difahamkan ia diadakan di ISTAC mengambil kesempatan atas kehadiran seorang pengkaji terkenal dalam bidang neurosains iaitu kajian otak, Professor Georg Northoff yang datang ke Malaysia untuk satu urusan. 



Sejak melihat poster diwar-warkan di media sosial 2-3 minggu lalu saya berazam untuk hadir secara fizikal. Petang Jumaat 8 Disember 2023 iaitu selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berdekatan rumah di Sungai Buaya, Rawang saya pun berkejar ke ISTAC.




Majlis bermula jam 3 petang.




Kelihatan berbaju hitam dekan ISTAC, Profesor Abdelaziz Berghout yang bertindak sebagai moderator/pemudah cara memperkenalkan Northoff dan memberikan sedikit latar belakang. Penceramah adalah cendekiawan kelahiran Jerman yang berhijrah ke Kanada. Beliau dinyatakan sebagai pakar dalam bidang falsafah dan saikologi (ilmu jiwa) selain neurosains.




Northoff membuka bicara dengan meringkaskan bagaimana otak berfungsi. Untuk makluman ilmu neurosains adalah tentang bagaimana saraf-saraf otak berhubung dan  memproses maklumat. Biar cerita diteruskan menggunakan tangkapan-tangkapan layar daripada rakaman majlis di Youtube.




Oh. Beliau mengubah tajuk menjadi "Dari Otak ke Minda - Neurosains Ruang-Masa dan Falsafah". Kata beliau ini lebih kena dengan pendekatan yang akan diberikan.




Dinyatakan beliau hadirin mendalami bagaimana otak dan fikiran berfungsi...




Disentuh tentang kesedaran atau ke'aku'an diri, bagaimana ia terkait dengan masa, bagaimana kita melihatnya dan mengalaminya.




Dinyatakan bagaimana pergerakan saraf dalam otak dapat dicerap lalu menunjukkan corak-corak tertentu.








Ke'aku'an diri yang memberi rasa "aku ini wujud", "aku ini lain daripada dia" itu ada lapisan-lapisannya. Ia dapat dicerap mengambil ruang menzahirkan aktiviti urat saraf di bahagian-bahagian tertentu dalam otak manusia.







Di sini saya ingin meringkaskan perkongsian lalu memaparkan sedikit sahaja slaid yang dipersembahkan. Antaranya ditunjuk kesan meditasi/refleksi diri pada bagaimana kita melihat hubungan diri dengan dunia sekeliling kita.




Kelihatan Northoff sebenarnya sedang membina hujah-hujah saintifik yang boleh dicerap dalam makmal untuk akhirnya menyatakan minda kita ini, kesedaran diri yang terkait tidak boleh dipisahkan dengan alam semesta.




Pada saya beliau hendak memberitahu alam semesta ini sebenarnya ada 'kesedaran diri'. Ia sesuatu yang hidup dan boleh berfikir. Kalau dianjakkan pemahaman semakin mendalam dan tinggi, saya melihat bahawa secara isyaratnya beliau hendak menyatakan tentang wujud kesedaran maha tinggi yang meliputi segala sesuatu dan ia merujuk kepada Tuhan. Tetapi ia dilakukan tanpa menyatakan secara harfiah sebegitu halnya demi menangani realiti sebenar dunia sains yang mana ramai 'pakar' menolak akan wujudnya Tuhan lalu apa-apa bentuk pernyataan ke arah itu oleh seorang yang bergelar saintis berisiko untuk ditolak dan diketepikan begitu sahaja. Sila ikuti sendiri majlis melalui rakaman di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan