Ahad, Disember 03, 2023

Membawa aspirasi Laksamana ke Pesta Buku Selangor 2023

Salam. Pada petang Jumaat 1 November saya telah memuatnaik poster-poster berikut dengan teks berkenaan ke Facebook.








MEMBAWA ASPIRASI LAKSAMANA KE PESTA BUKU SELANGOR
Salam petang Jumaat 1 Disember 2023 bersamaan 17 Jamadil Awal 1445 Hijriah. Adapun Pesta Buku Selangor tahun ini telah pun bermula pagi tadi dan akan berlangsung sehingga Ahad malam Isnin 10 Disember. Sukacita dimaklumkan buku ke-14 saya "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad : Perjuangan yang Belum Selesai" boleh didapati di reruai Taman Pustaka yang berkongsi tempat dengan Yayasan Karyawan, pada harga diskaun 20%. Esok hari Sabtu 2 Disember insyaallah saya akan menjengok persekitaran bermula selewatnya jam 2 petang. Pada Sabtu 9 Disember pula dijadualkan membentang tentang buku dan perkara jam 3-4 petang di pentas utama dalam kawasan berkenaan. Jom jumpa di sana.


Poster kedua pula kemudian dimuatnaik dengan teks ke WhatsApp. Sekarang biar dikongsikan sedikit cerita berkenaan iaitu tentang Pesta Buku Selangor 2023 seperti dilihat pada hari keduanya, Sabtu 2 Disember.



Menurut rekod yang dilekapkan oleh kamera digital kompak gambar ini diambil pada jam 2.04 petang itu.







Nampaknya terlewat sedikit sampai daripada waktu yang dicadangkan dalam teks bersama poster. Saya ada menyebut, insyaallah akan sampai selewatnya jam 2.







Tak mengapa. Sekurang-kurangnya telah berusaha untuk sampai cukup dekat dengan waktu yang dicadangkan.







Setelah menyelesaikan beberapa urusan di rumah baru dapat bergerak ke lokasi Pesta Buku Selangor di Pusat Konvensyen MBSA (Majlis Bandar Raya Shah Alam) dekat 50 km perjalanan. Apabila sudah berdekatan harus mengharungi kesesakan banyak kereta yang mahu ke Pesta Buku.






Satu rasa yang timbul sebaik sahaja sampai adalah wahhh. Pesta Buku Selangor nampaknya sudah hampir menyaingi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang biasa diadakan di PWTC (Putra World Trade Centre), sekarang dikenali sebagai World Trade Centre.







Saya ingat pernah ke Pesta Buku Selangor ini sejak sebelum tahun 2010, ketika ia masih diadakan di Kompleks PKNS di Shah Alam. Ketika itu terasa ia begitu jauh ketinggalan berbanding PBAKL.







Masuk tahun 2015, ketika ia sudah diadakan di bangunan baru SACC (Pusat Konvensyen Shah Alam) di sebelah Kompleks PKNS baru mula direkodkan keadaan dalam CATATAN SI MERAH SILU. Kelihatan ia sudah mendapat sedikit aura PBAKL. Lihat artikel-artikel berikut :-








Pada tahun 2020 sempat menghadiri lagi sebelum berlaku PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung penularan wabak virus Covid-19. Lihat Pesta Buku Selangor 2020 dan kecenderungan untuk keluar mengembara dan menginap di masjid seorang diri. Apabila PKP mula berkuatkuasa 18 Mac boleh kata semua majlis umum dibatalkan bagi tahun itu termasuk PBAKL 2020 (kemudian dijalankan secara atas talian).







Pada penghujung tahun 2021 baru diadakan kembali Pesta Buku Selangor di lokasi sama iaitu SACC. Tetapi menurut rekod peribadi saya tidak hadir kerana banyak kesibukan lain. Antaranya adalah menganjurkan satu acara sendiri di rumah. Lihat Bicara sufi Martabat 7 di Baitul Hikmah.







Penghujung 2022 baru ada hadir lagi. Ketika itulah kali pertama diadakan di tempat baru iaitu Pusat Konvensyen MBSA ini. Lihat Celoteh tentang aktiviti 9 hari kebelakangan dan signifikan nombor 13.







Kali ini acara terasa jauh lebih meriah. Siap ada kemah putih besar untuk menempatkan lebih banyak reruai.







Dalam kemah ini, di ruang yang kelihatan dalam gambar inilah saya akan berbicara tentang buku ke-14 saya "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad : Perjuangan yang Belum Selesai", pada petang Sabtu 9 Disember jam 3-4  nanti.







Buku pula boleh didapati di reruai Taman Pustaka di sudut berdekatan.







Memang meriah Pesta Buku Selangor kali ini. Dapatlah meluangkan masa bersama seorang daripada guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) dahulu, pejuang bahasa Melayu terkenal, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan...





Tiada ulasan:

Catat Ulasan