Khamis, Oktober 05, 2023

Perpustakaan di negeri Selangor kurun ke- 18 : Koleksi buku Panglima Besar Tengku Sayid Jafar

Salam malam Jumaat. Lagi perkongsian ilmu. Kali ini daripada majlis secara atas talian, melalui saluran Youtube ISTAC TV.



Antara bagusnya ada Facebook atau WhatsApp adalah ada sahaja pihak mewar-warkan acara. Misalnya seperti dinyatakan di atas ini. Ia berlangsung tadi petang Khamis 5 Oktober 2023.




Tidak seperti majlis ilmu sebelum ini yang berlangsung hari Selasa lalu dikongsikan ceritanya semalam hari Rabu dalam artikel Seminar Antarabangsa Islam dan Masyarakat Bugis Asia Tenggara di APIUM yang mana saya cuma dapa tahu tentangnya malam sebelum itu, yang ini sudah dilihat posternya sejak sekitar 2-3 minggu lalu. Cuma majlsi dilangsungkan sepenuhnya secara atas talian. Sampai masanya saya pun mengikuti melalui Youtube.




Gambar tadi menunjukkan Dr Wan Ali Wan Mamat dari ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) memberikan kata-kata pengenalan lalu memperkenalkan pembentang. Gambar atas menunjukkan pembentang Dr Annabel Gallop daripada British Library di London mula memperkatakan perkara. Jika Wan Ali yang pernah menjadi Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia menyatakan bagaimana kita telah banyak mengkaji tentang manuskrip Melayu tetapi seperti terlepas pandang untuk mengkaji bagaimanakah sistem perpustakaan pada zaman-zaman lalu yang boleh menempatkan manuskrip-manuskrip begitu Annabel menambah bahawa di Barat sendiri sudah muncul satu bidang kajian baru melibatkan itu. Kata beliau, selama ini kajian manuskrip lebih bersifat filologi yang cuma membaca dan membuat transliterasi juga terjemahan terhadap suatu manuskrip. Kini sudah ada kajian melibatkan asal usul suatu manuskrip, cara-cara pembuatannya, bahan seperti kertas, dakwat juga suasana setempat dan sezaman yang membawa kepada penerbitan manuskrip lalu menerbitkan ilmu pengetahuan baru.




Melalui kaeadah dan cara fikir inilah pembentangan menyorot tentang adanya satu perpustakaan awam di kota Deventer di Belanda yang sejak tahun 1791 ada menyimpan koleksi manuskrip Melayu dari Selangor.




Bagaimana sampai ke Belanda? Maka disorotlah sejarah bagaimana Kesultanan Selangor secara rasminya mula berdiri (tahun 1765) dengan naiknya seorang Sultan berketurunan Bugis. Pada tahun 1784 anaknya yang menjadi Sultan kedua Selangor, Sultan Ibrahim telah terlibat menyerang Kota Melaka yang sedang dikuasai Belanda, bersama saudaranya (bapa saudara sebenarnya) Raja Haji yang membawa angkatan perang dari Riau. Melaka hampir kalah sehingga mendapat pertolongan armada bantuan Belanda yang diketuai Laksaman (Admiral) Jacob Van Braam. Akhirnya angkatan Melayu dan Bugis itu kalah, Raja Haji terbunuh di Teluk Ketapang sementara Sultan Ibrahim berundur kembali ke Kuala Selangor.




Armada Belanda kemudian mengejar ke Kuala Selangor. Tetapi mereka menghadapi masalah untuk mendarat kerana keadaan muka bumi yang berlumpur. Selepas dua minggu baru dapat naik dan mengukuhkan kedudukan lalu dapat menakluk Kota Kuala Selangor. Sultan Ibrahim dan orang-orangnya pun berundur ke Hulu Selangor lalu masuk ke Pahang untuk mendapatkan bantuan.




Disebabkan penaklukan itulah dapat diambil sejumlah manuskrip Melayu lama lalu dibawa ke Belanda. Disebut bahawa Van Braam menyampaikan koleksi kepada seorang pengkaji.
.



Maklumat dalam katalog perpustakaan berkenaan menyatakan bahawa manuskrip-mansukrip itu diserahkan oleh Van Braam pada 22 Mei 1791. Dinyatakan ia diperolehi setelah bandar dan kota Selangor (di Kuala Selangor) ditakluk pada 2 Ogos 1784. Ia ditemui dalam rumah seorang imam besar berbangsa Arab yang dikenalpasti sebagai Sayid Jafar. Dikatakan orang ini pada mulanya melawan hebat dengan menembak ke armada laut Belanda. Tetapi apabila menyedari kekalahan tidak dapat dielakkan beliau cuba membakar rumah sendiri dengan harapan dapat membakar sekali seluruh kota. 




Nampaknya beliau lebih rela rumah dan kota rentung daripada ditawan, mungkin disebabkan ada barang-barang berharga yang tidak mahu jatuh ke tangan musuh. Melalui sumber lain seperti surat-surat kepada Francis Light yang menjadi wakil utama British di Pulau Pinang zaman itu dapat dikenali pasti orang yang dimaksudkan adalah Tengku Panglima Besar Sayid Jaafar.




Beliau ada hubungan dengan keluarga diraja Siak tetapi berkhidmat menjadi seorang panglima besar Selangor.




Disebabkan serangan itulah koleksi buku atau manuskrip milik Sayid Jafar dirampas Belanda.







Dipaparkan gambar-gambar koleksi berkenaan dan cerita di sebaliknya...










































Untuk penerangan lanjut sila ikuti sendiri perkongsian ilmu di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan