Rabu, Oktober 11, 2023

Kebudayaan Bugis dan Makassar dalam kesusasteraan Indonesia

Salam semua.  Seminggu lalu saya telah berkongsi satu cerita tentang hal orang Bugis (dan Makassar) melalui artikel Seminar Antarabangsa Islam dan Masyarakat Bugis Asia Tenggara di APIUM. Ini ada satu lagi cerita. Bezanya majlis berkenaan cuma dapat diikuti secara atas talian kerana diadakan di Indonesia.



Kelihatan adalah poster bagi majlis. Terlupa sama ada terlihatnya di Facebook atau WhatsApp, sekitar 2-3 hari lalu. Selain tajuk melibatkan Bugis dan Makassar saya tertarik untuk mengikuti kerana ada nama Prof Dr Nurhayati Rahman sebagai salah seorang pembentang. Ini kerana beliau merupakan kenalan yang sudah lama tidak hubungi. Beliau bertanggungjawab membawa saya dan keluarga berjalan-jalan melihat tempat-tempat bersejarah orang Bugis dan Makassar ketika kami pertama kali sampai ke Sulawesi Selatan tahun 2013.  Lihat koleksi artikel-artikel lama dalam Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - The compilation.




Majlis dijadualkan bermula jam 10 pagi. Tetapi apabila masuk saluran Youtube berkenaan tengok macam tak ada apa-apa. Cuba masuk Zoom melalui alamat atas talian yang diberikan pun tiada maklum balas. Tengok-tengok jam 10.31 tiba-tiba saya dimasukkan secara automatik lalu mendapat paparan atas. 

Namun majlis masih belum bermula. Yang ada muzik latar moden seperti kebiasaan apabila menunggu suatu acara atas talian. Sehingga ayat seterusnya ini ditulis jam 10.58 pun begitu keadaannya. Cuma kelihatan jumlah peserta melalui Zoom sudah bertambah menjadi 73 orang.




Jam 11. Baru majlis bermula dengan pengenalan oleh pengerusi majlis (saya kurang tangkap namanya, seorang wanita). Hadirin kemudian diminta berdoa menurut keyakinan masing-masing. Selepas itu majlis diserahkan kepada seorang lelaki yang saya juga kurang tangkap nama, kedengaran seperti Bapak Sugio. Nampaknya wakil penganjur iaitu Universitas Gadjah Mada (UGM) di Jogjakarta.




Daripada penerangan beliau baru dapat tahu bahawa majlis diadakan secara ad hoc setelah mendapat tahu Nurhayati dan Faisal Oddang, seorang lagi pensyarah daripada Universitas Hasanuddin iaitu di kota Makassar, Sulawesi Selatan sedang berada di Jogja. Mereka merupakan kenalan beliau lalu diajak untuk berkongsi ilmu melalui majlis.




Majlis seterusnya diserahkan kepada moderator/pemudah cara iaitu Dr Cahyaningrum Dewojati daripada UGM. Yang ini tahu nama kerana ada dalam poster. Beliau memperkenalkan para panelis atau pembentang terutama Nurhayati atau Ibu Nurhayati yang diakui ramai sebagai pakar La Galigo (merujuk pada hikayat atau  sastera besar Bugis dahulukala) Ketika Cahya mula berbicara sudah lebih 160 orang mengikuti majlis melalui Zoom. 



Jumlah terus meningkat sambil Nurhayati memulakan bicara.




Tajuk yang dipilih beliau.




Beliau memulakan dengan menyatakan nilai hidup. Dinyatakan, semua bangsa dan suku kaum ada nilai masing-masing termasuk dalam hal melibatkan maruah ("sirri/siriq" bagi bangsa Bugis). Cuma cara penghayatan juga menzahirkan nilai sahaja mungkin berbeza berdasarkan lingkungan masing-masing. Adalah penting untuk memahami ini demi menjaga keharmonian dalam negara sebesar Indonesia yang begitu ramai penduduk (lebih 300 juta) dan luas jangkauan wilayahnya (perlu penerbangan 8 jam dari hujung ke hujung).




Setelah itu baru ditumpukan pada nilai suku kaum Bugis dan Makassar di Sulawesi Selatan, nilai yang turut dibawa di perantauan walau sudah lagi berhijrah dan terbit beberapa lapis keturunan di tempat lain seperti di Malaysia.




Apa yang dikongsikan setakat tadi telah saya dengar dalam banyak majlis tentang orang Bugis termasuk yang minggu lepas di Universiti Malaya. Lihat kembali artikel Seminar Antarabangsa Islam dan Masyarakat Bugis Asia Tenggara di APIUM. Masuk yang atas ini baru ada pemecahan makna "siriq" melibatkan maruah yang terasa "baru".




Seterusnya disebut tentang kosmologi orang Bugis seperti boleh ditemui dalam epik La Galigo. Yang ini jarang diceritakan. Tetapi saya pernah baca dan dengar daripada berbagai sumber termasuk perbualan dengan Nurhayati. Penghayatan kosmologi sebegini inilah yang kemudian membentuk cara pemikiran juga tatacara sosiopolitik orang Bugis dan Makassar. Ada ketertiban yang mengambil kira banyak pandangan namun menurut keutamaan tingkat-tingkatnya daripada pihak penguasa atasan membawa ke rakyat bawahan.




Namun nilai-nilai asal jadi terputus akibat penguasaan Belanda. Walaupun kuasa Barat itu sudah mula menjajah wilayah-wilayah orang Bugis dan Makassar di Sulawesi Selatan lebih 300 tahun (seawal tahun 1667, melalui Perjanjian Bongaya selepas kerajaan Gowa kalah perang dengan Belanda), Nurhayati melihat pemutusan nilai ini cuma betul-betul berjaya dilakukan Belanda tahun 1901 yang mana mereka dapat menyekat misalnya kebebasan wanita yang wujud sekian lama (perempuan membuat "kerja laki-laki" seperti memanjat pokok kelapa juga menjadi pemimpin tinggi asalnya adalah perkara biasa dalam masyarakat Bugis dan Makassar). 




Seterusnya berlaku perubahan-perubahan sosiopolitik dan ekonomik abad ke-20 yang mempengaruhi cara orang Bugis dan Makassar menzahirkan rasa melalui penulisan. Inilah yang masuk menjadi karya kesusasteraan Indonesia (ingat, negara Indonesia cuma terbentuk pada tahun 1945). Turut diliputi perkembangan kesusasteraan mereka sehingga masa kini. Ini disampaikan oleh panelis seterusnya iaitu Faisal.Untuk tahu lebih lanjut lihat rakaman majlis di sini.

Nota tambahan: Walaupun cuma menulis sedikit sahaja di sini saya sebenarnya mengikuti majlis melalui Zoom sehingga selesai. Hampir jam 1 baru tersedar bahawa memang benar acara bermula jam 10 pagi seperti dinyatakan pada poster. Cuma terlupa itu adalah waktu Indonesia. Ia adalah bersamaan jam 11 pagi di Malaysia. Tu dia. Satu jam saya menunggu tanpa tahu kenapa acara boleh jadi "lewat". Selepas ini hendak ikut satu majlis ilmu di Malaysia bermula jam 2.30 petang. Tetapi melibatkan seorang tokoh yang dijangka bakal menjadi Presiden Indonesia tahun 2024. :]




Tiada ulasan:

Catat Ulasan