Khamis, September 21, 2023

Teater syair Redap Duka Pulau Seychelles di Pulau Misa Melayu

OK. Satu cerita sampingan tetapi kena mengena untuk menyokong penceritaan perjalanan di Perak.



Sekitar 2 minggu lalu terlihat di WhatsApp poster bagi satu pertunjukkan teater pada 16 September 2023.



Oleh kerana pada 14-15 September saya dijadualkan berada di Ipoh untuk mengikuti perbicaraan di Mahkamah Syariah tentang harta Laksamana Muhammad Amin di Mekah maka biarlah pergi melihat teater tersebut di Pulau Misa Melayu yang terletak di Bota Kiri, tidak begitu jauh dari Ipoh.







Pulau Misa Melayu merupakan satu penempatan yang mengangkat tinggi kebudayaan Melayu.













Adapun saya pergi itu disebabkan tajuk menyebut Pulau Seychelles. Untuk makluman moyang atau lebih tepat, moyang kepada datuk saya iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin termasuk antara pembesar Perak yang dibuang ke pulau kerana dikatakan terlibat dalam pembunuhan Residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch pada 2 November 1875.






Teater dibuka dengan satu persembahan tarian diikuti persilatan oleh anak-anak ahli jemaah Pulau Misa Melayu.







Kemudian baru cerita sendiri dimulakan dengan menunjukkan watak Sultan Abdullah, Sultan ke-26 Perak menzahirkan keresahan terhadap campur tangan British yang semakin menjadi-jadi selepas berlakunya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874.







Secara rata apa yang dikisahkan adalah sejarah negeri Perak selepas Perjanjian Pangkor membawa kepada pembunuhan Birch yang pada saya sangat banyak mengambil creative license (menterjemahkan ikut selera sendiri atas nama kreativiti) oleh penulis. Ini mungkin bagus untuk tatapan juga pelajaran bagi orang ramai. Diakui ada keperluan kreativiti bagi menterjemahkan rasa kecewa, marah dan sebagainya. Tetapi bagi pengkaji sejarah seperti saya merangkap seorang anak cucu mereka yang terlibat dalam peristiwa?




Harapan untuk mendapat maklumat baru tentang apa yang berlaku dalam tempoh buangan di Pulau Seychelles (dari tahun 1877 sebelum dipindahkan ke Singapura tahun 1895) tidak kesampaian. Yang disentuh tentang Seychelles cuma hal sebenar Sultan dibuang, yang turut dibuang sama termasuk moyang saya yang bahkan diakui British sebagai kuasa sebenar di Hilir Perak cuma disebut sepintas lalu. Malah didapati fakta sejarah tidak tepat kerana ditunjukkan Dato' Maharajalela dan Dato' Sagor sebagai dua orang pembesar yang paling selalu mendampingi Sultan sehinggalah berlaku peristiwa pembunuhan Birch di Pasir Salak. Fakta sebenar sejarah, yang selalu mendampingi sebenarnya adalah Laksamana Muhammad Amin dan menantunya Syahbandar Uda Ma'amor yang menetap berdekatan Sultan di Hilir Perak. Nama Dato' Maharajalela dan Dato' Sagor sebenarnya cuma naik ketika hampir berlaku pembunuhan di kawasan mereka di Perak Tengah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan