Jumaat, Julai 28, 2023

Simbolisma kelautan tamadun Melayu-Islam : Kesan-kesan ekologikal

Salam petang Jumaat 10 Muharram, hari Asyura yang penuh keberkatan. Dalam artikel Metafizik Sunni : Status Ontologi Universals yang dipersembahkan pagi Rabu lalu ada disebut bahawa saya bercadang untuk mengikuti satu majlis lain di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) petang itu. Sekarang biar dikongsikan cerita tentang majlis tersebut.


Majlis kali ini merupakan yang ke-14 dalam siri syarahan "Tanah Air", suatu projek kelautan tamadun Melayu yang dimulakan hampir 2 tahun lalu. Kali ini pembentang adalah Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dan beliau membawa tajuk yang boleh diterjemahkan sebagai "Simbolisma Kelautan Tamadun Melayu-Islam : Kesan-kesan Ekologikal".  Sampai masanya jam 2.30 petang saya pun mengikutinya melalui Zoom. Namun talian Internet yang asyik tersekat-sekat petang itu mengganggu penghayatan majlis. Selain itu saya juga harus bersiap untuk bergerak ke Perak bersama keluarga bagi satu urusan lalu keluar rumah sekitar jam 3.20.


Pun begitu majlis boleh diikuti kembali melalui rakaman Youtube. Kelihatan di sini Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican yang sering menangani isu-isu sejarah dan tamadun Melayu di ISTAC memperkenalkan majlis diikuti pensyarah. Selepas itu Osman membuka dengan menceritakan sedikit kenapa dipilih tajuk melibatkan ekologi itu.



Dipaparkan slaid menunjukkan Abstrak bagi syarahan. Abstrak yang telah lebih awal diwar-warkan bersama poster tentang majlis dalam grup-grup WhatsApp ISTAC boleh diterjemahkan seperti berikut :-


Tamadun Melayu secara tradisional dikenali sebagai tamadun yang dibina pada pertemuan (interface) ekologikal tanah dan air. Maka itu sejarah tamadun Melayu secara asasnya adalah sejarah pertemuan ini, yang bersifat banyak dimensi daripada segi liputan dan watak, sepertimana dibentuk oleh kebijakan etnik Melayu. Tujuan syarahan ini adalah untuk menonjolkan sejumlah simbol kelautan yang terkait dengan identiti dan watak tamadun Melayu. Simbol-simbol ini boleh ditemukan dalam pelbagai ruang lingkup tamadun Melayu tradisional, termasuk bahasa, manifestasi sosio-budaya, pembandaran, politik, ilmu jiwa, dan agama. Watak Nusantara dunia petutur bahasa Melayu memberikan cabaran ekologikal bagi kelangsungan hidupnya sebagai satu tamadun unik yang sekaligus bersifat tradisional dan moden.




Di sini biar perkongsian dibuat berdasarkan paparan slaid. Dinyatakanlah bahawa ada dua teori digunakan untuk membantu  syarahan. Pertama adalah teori asal usul tamadun yang mana dikatakan tamadun adalah 'anak hasil perkahwinan' antara keetnikan dan keagamaan. Ini berdasarkan teori pemikir purba Yunani iaitu Aristotle berkenaan bentuk/bakat (form) dan bahan (matter). Keetnikan adalah bahan dan keagamaan adalah bentuk. Dalam tamadun Melayu ada sejarah panjang 'perkahwinan budaya' dengan banyak agama, setiap satunya menghasilkan identiti ketamaduan Melayu yang unik. Etniknya tetap merujuk kepada orang Melayu. Namun agama yang menjadi pegangan pernah berubah-ubah daripada Hindu ke Buddha dan akhirnya Islam, setiap satu melahirkan ketamadunan tersendiri.




Teori kedua adalah tentang pembangunan tamadun. Ia melibatkan empat tiang seri iaitu kewilayahan, demografi, ideologi dan perundangan-etika-moral. Ini adalah berdasarkan bagaimana Nabi Muhammad SAW sendiri membina tamadun di Madinah. Madinah adalah asas wilayah (bermakna dalam wilayah atau tempat itulah dibina suatu tamadun), orang Arab 'baru' (yang sudah berubah daripada zaman Jahiliah iaitu setelah menerima Islam) sebagai pengisi demografi, ajaran Islam sebagai ideologi and Syariat Nabi Muhammad sebagai asas perundangan-etika-moral. 

Dalam hal tamadun Melayu wilayah adalah Nusantara, demografinya orang Melayu dan/atau cabang-cabang etnik orang Melayu iaitu rumpun Melayu, ideologinya berdasarkan agama yang menjadi anutan utama pada suatu waktu sementara asas perundangan-etika-moralnya adalah kesusilaan/adab. Oh. Saya kurang gemar penggunaan terma Nusantara bagi merujuk kepada wilayah di Asia Tenggara ini. Ini kerana ia asalnya adalah rujukan bersifat 'supremacist/ketuanan Jawa' kerajaan Majapahit terhadap wilayah-wilayah di luar Pulau Jawa yang didakwa berada di bawah penaklukan dan penguasaannya pada abad ke-14 dan 15 Masihi. Pada saya terma yang lebih patut adalah Alam Melayu atau Kepulauan Melayu. Tapi tak mengapalah bukan saya yang bersyarah...




Tentang simbolisma kelautan (maritim) dalam identiti tamadun Melayu ia adalah tentang bagaimana aktiviti-aktiviti manusia terkait dengan laut atau kawasan persisiran. Saya tidak mahu bercakap panjang lagi kerana ketika menulis ayat ini sudah jam 1 petang. Saya mahu selesaikan perkongsian sebelum keluar untuk bersolat Jumaat.




Dinyatakan tentang semangat yang membentuk tamadun Melayu...




Tentang empat elemen teori alam semulajadi (api, air, tanah, angin) yang terkait dengan jiwa Melayu...




Berbanding tamadun Arab yang berdiri di atas kawasan tandus padang pasir kita ada kata-kata peribahasa seperti 'air dicincang takkan putus' bagi menunjukkan bagaimana orang Melayu itu sangat terkait dengan air (kerana wilayah kita melimpah dengan air).







Kita ada misalnya tulisan pujangga Hamzah Fansuri yang diberi tajuk "Syair Perahu" juga "Syair Dagang" juga melibatkan air.



Seterusnya dibincangkan tentang masa hadapan tamadun kelautan Melayu (lihat sahaja bagaimana pentingnya kedudukan Selat Melaka dalam perdagangan dan perkapalan dunia sehingga hari ini). Bagaimana pula implikasinya terhadap perkembangan material moden dan sebagai. Untuk memahami lebih lanjut sila ikuti sendiri syarahan di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan