Rabu, Julai 26, 2023

Metafizik Sunni : Status Ontologi Universals

Merujuk pada artikel Kejelasan dalam kerancuan : Al-Ghazali, Ibnu Rushdi dan pemikiran saintifik yang dipersembahkan jam 3 petang Jumaat lalu 21 Julai 2023. Sebetulnya ia mula ditulis pagi itu dengan harapan dapat diselesaikan lalu disiarkan sebelum bermula satu majlis ilmu lain di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) jam 10 pagi. Tetapi saya dapat membuatnya cuma sampai separuh sahaja sebelum harus menangguhkan untuk mengikut majlis pagi. Sekarang biar dikongsikan sedikit tentang majlis jam 10 itu.



Tajuk majlis atau syarahan boleh diterjemahkan sebagai "Metafizik Sunni : Status Ontologi Universals" (saya tidak dapat menemui perkataan Melayu yang boleh mewakili maksud Universals itu). Dipersembahkan oleh Profesor Dr Omar Qureshi dari Zaytuna College di Amerika Syarikat ia melibatkan pemahaman ilmu falsafah dan metafizik yang tinggi. Universals merujuk pada konsep abstrak yang mana suatu perkara boleh diberikan pemaknaan umum yang dianggap boleh terpakai dalam semua situasi. Misalnya apabila menyebut perkataan spesis atau jenis makhluk. Itu satu konsep umum yang termasuk sebagai satu Universals. Ontologi pula merujuk pada satu cabang ilmu metazifik tentang wujud diri. Maka di manakah duduk letaknya Universals dalam ilmu/perbincangan wujud diri?




Persoalan ini sebenarnya telah lama ditanggapi oleh para ilmuwan silam Islam juga ilmuwan silam Barat (di Eropah). Antara persoalan yang bermain dalam dunia falsafah, teologi (kajian kefahaman teras dalam agama) dan logik/mantik adalah apakah yang difikirkan dalam kepala kita ada wujud di luar fikiran? Persoalan sebegini mungkin kelihatan membuang masa bagi yang bukan ahlinya. Tetapi ia sangat penting bagi mereka yang berfikiran mendalam, mahu mencari kebenaran.

Bagi masyarakat umum cukup jelas ada yang wujud dalam fikiran memang wujud di dunia nyata. Misalnya apabila terlihat seekor kera (contoh daripada saya). Maka fikiran kita pun menanggapi rupa atau sifat kera yang jelas wujud di hadapan mata. Itu tiada masalah. Tetapi apa kata kalau terlintas dalam fikiran suatu jenis naga berkepala lapan. Apakah ia semata-mata permainan fikiran? Atau ia ada wujud yang nyata di satu alam lain di luar kewujudan biasa?

Ini masih lagi contoh mudah. Bagi mereka yang berfikiran abstrak bagaimana? Misalnya melihat bentuk-bentuk warna yang tiada makna bagi pemerhati biasa tetapi dapat dilukis di atas kanvas. Bagi orang biasa ia mungkin kelihatan seperti conteng-conteng kanak-kanak. Namun ia sangat bermakna bagi orang yang artistik atau cukup memahami. Atau misalnya ahli matematik melihat pelbagai simbol dan formula dalam membuat suatu kira-kira. Ini pun tiada makna bagi masyarakat umum namun lebih mudah dilihat sebagai sesuatu yang cukup bermakna walau tidak dapat difahami.

Persoalannya di manakah wujud semua itu? Di manakah wujud warna-wana dan bentuk abstrak atau formula matematik itu? Apakah dalam fikiran semata-mata? Satu contoh yang terlintas dalam fikiran saya - Bagi orang Islam yang beriman terhadap perkara ghaib apa sahaja yang dapat difikirkan atau terlintas dalam hati memang wujud dalam suatu alam lain. Sekurang-kurangnya ia ada tercatat di Loh Mahfuz.




Saya faham persoalan-persoalan sebegini dan saya rasa ramai pembaca juga boleh faham jika dapat diterangkan menggunakan bahasa dan contoh mudah. Tetapi apabila membincangkan dalam kalangan ilmuwan bidang semuanya harus menggunakan terma atau terminologi yang tepat. Maka kena faham istilah-istilah seperti extramental, nominalist, occasionalism dan sebagainya. Ini ada gunanya bagi kelancaran perbincangan ilmu.  Namun boleh jadi alasan bagi sesetengah orang merasakan diri lebih pandai daripada orang lain.




Di sini saya harus akur kelemahan. Untuk betul-betul mengikuti perbincangan harus juga mengikuti dan faham sejarah perkembangan ilmu mantiq dan falsafah juga metafizik di dunia Islam juga Barat selain arif istilah.




Buat masa ini saya belum ada kelapangan untuk betul-betul menelaah. Selain kesibukan hal-hal lain pembacaan saya buat masa ini sedang ditumpukan pada satu kumpulan buku terjemahan dalam bahasa Inggeris terhadap kitab Tarikh Wal Rusul Wal Muluks (sejarah para rasul dan raja) tulisan Imam Tabari 1,000 tahun lalu. Sejak memulakan seminggu lalu baru hendak masuk jilid ke-3 daripada 38 jilid.




Terus terang cakap saya menghadapi masalah untuk menghadam syarahan ini kerana tidak cukup ilmu. Namun tetap terpanggil untuk menyatakan sesuatu sebelum bercadang untuk mengikuti satu majlis lain di ISTAC petang ini, Rabu 26 Julai.



Di sini, selain sedikit ulasan yang diberikan biar dikongsikan screen shot berkenaan daripada apa yang dikongsikan pembentang, diambil daripada rakaman di Youtube.




Untuk mengikut sendiri syarahan boleh masuk sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan